KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 22 September 2010

Kelantan Lepas Peluang



Kelantan melepaskan peluang terbaik memungut mata penuh dalam saingan Piala Malaysia apabila diikat KL Plus 3-3 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Pada satu ketika, Kelantan selesa mendahului dengan dua gol namun mereka seakan hilang fokus pada minit akhir seterusnya membenarkan pasukan pelawat mencuri satu mata penting.

KL Plus hadir dengan tekad mencuri mata di gelanggang pelawat hampir didepan pada minit pertama apabila kuisan Rusydee Shamsudin dari jarak dekat berjaya ditampan Syed Adney.

Kelantan pula memperoleh peluang pertama melalui gerakan S. Chanturu pada minit ke-6 tetapi sepakan kencang Norshahrul Idlan berjaya diselamatkan penjaga gol KL Plus, Mohamad Faizal Rashid.

KL Plus sekali lagi mengancam kubu Kelantan apabila gerakan dari Fadzli Shaari dan Nizarudin Yusof berakhir dengan sepakan lemah tersasar dari pintu gol Kelantan.

Gol yang dinantikan pasukan pelawat hadir pada minit ke-21 setelah kawalan longgar S. Subramaniam memberi ruang buat Fadzli Shaari melorongkan bola kepada Azi Sharil didepan gawang menewaskan Syed Adney.

Bagaimanapun, Indra Putra berhasil menyamakan kedudukan buat Sang Kijang pada minit ke-35 apabila sepakan percuma ketua pasukan Kelantan itu mencecah jaring menceriakan hampir 15 000 penyokong setia tuan rumah.

Gol pertama bagai menyuntik semangat dalam diri pemain Kelantan untuk menambah jaringan tetapi beberapa peluang yang diperoleh Indra Putra, S. Chanturu dan Norshahrul berjaya diselamatkan penjaga gol KL Plus.

Pada babak kedua, KL Plus mengasak dan hampir didepan pada minit ke-46 namun kegopohan penyerang mereka menyebabkan peluang terbuka didepan gawang Kelantan disiakan begitu sahaja.

Untuk menambah sengat, Khairan Eroza dikeluarkan mengantikan pemain ini dengan Badri Radzi dan hasilnya Kelantan berjaya mendapat gol kedua melalui tandukan terbang Indra Putra Mahayudin pada minit ke-59.

Gol berpunca dari keadaan kelam kabut di kawasan penalti KL Plus, Badri Radzi melakukan satu hantaran lintang gagal ditangkap kemas Faizal Rashid dan Indra terus melayangkan badan menanduk masuk bola kedalam gol.

Akmal Rizal Rakhli berhasil memberikan gol ketiga kepada tuan rumah apabila bijak menyambar hantaran S. Chanturu walaupun dicabar Faizal Rashid dan Zaidi Ahmad pada minit ke-64.

Kelebihan dua gol memberikan pendahuluan selesa kepada Kelantan menyebabkan beberapa pemain mula memperlahankan rentak permainan walau B. Sathianathan mengarahkan anak buahnya terus melakukan serangan.

Akibatnya, Kelantan dihukum dengan gol kedua hasil jaringan Rusydee Shamsudin pada minit ke-90 setelah serangan balas dari sebelah kiri memberi ruang kepada pemain ini menyentuh bola kedalam gawang. Walau sempat dikeluarkan Azizi Mat Rose, pengadil perlawanan mengesahkan gol tersebut.

Terkejut dengan gol kedua pelawat, Kelantan melakukan satu serangan balas namun tandukan bebas Akmal Rizal hasil hantaran S. Chanturu keluar sedikit dari pintu gol.

Tanpa disangka-sangka, percubaan jarak jauh pemain pertahanan, Zaidi Ahmad pada minit ke-91 menerjah jaring Kelantan menewaskan sama sekali Syed Adney untuk gol penyamaan KL Plus seterusnya meranapkan impian Red Warriors mendapat kemenangan kedua berturut-turut.

Dua kad kuning dilayangkan pengadil iaitu kepada Indra Putra Mahayudin dan Mohd Abdul Aziz Ismail dari KL Plus.

Kesebelasan Utama:

Kelantan: B. Sathianathan (4-4-2)
Syed Adney Syed Hussien (gk), Azizi Mat Rose, S. Subramaniam (Rizal Fahmi Rosid), Khairan Eroza (Badri Radzi), Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu, Akmal Rizal Rakhli, Mohd Daudsu Jamaludin, Indra Putra Mahayudin (c) dan Zairul Fitree Ishak.

KL Plus: Janos Krecska (4-3-3)
Faizal Rashid (gk), Mohd Zaidi Ahmad, Norhafiz Zamani Misbah (c), Nizarudin Yusof, Ez Lizuan Zahid, Rusydee Shamsudin, Mohd Badrul Hisani, Mohd Abdul Aziz Ismail, Mohd Fadzli Shaari, Irwan Fadli Idrus dan Azi Shahril.

Penguasaan bola: Kelantan 55-45 KL Plus

Penulis RedsFC pada 07:28 0 Post Saim-Saim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular