KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 31 Disember 2011

Kritik Secara Profesional: Piya


Badri Radzi

KAPTEN The Red Warriors, Badri Radzi berharap laporan media negara ini lebih bersikap profesional dan adil seandainya pasukan tewas atau tidak mempamerkan prestasi terbaik dalam sebarang perlawa-nan Liga Malaysia 2012.

Sebaliknya, Badri yang lebih dikenali sebagai Piya berharap pihak media menyampaikan kritikan berunsur nasihat dan tidak mengkritik keterlaluan.

“Sudah menjadi adat setiap perlawanan,­ bila menang sahaja pujian melambung diberikan dan laporan dipaparkan indah belaka. Tetapi, jika pasukan kalah teruk atau beraksi buruk mulalah tulisan berbaur negatif keterlaluan dilemparkan terhadap pemain dan pasukan.

“Pada saya, tidak salah mengkritik pasukan cuma biarlah secara membina kerana kami ada maruah yang perlu dihormati,” katanya kepada Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

Menurut Piya, mereka sudah melakukan yang terbaik ketika beraksi di padang dan berusaha menghiburkan hati penyokong yang hadir memberi sokongan di stadium.

Sementara itu, ketika diminta mengu­las sasaran empat piala Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), termasuk memenangi liga tanpa mencatat kekalahan kempen Liga Super, Piya enggan berjanji mengenai perkara berkenaan.

“Sasaran untuk mencipta rekod tanpa kalah saingan liga agak sukar, namun inilah cabaran yang perlu ditempuhi setiap pemain Kelantan.

“Ditambah kemasukan pasukan dari Singapura, Lions X11 pasti menjadikan saingan Liga Super musim depan lebih menarik dan menjanjikan pelbagai kejutan.

“Mengenai Lions X11, kami amat teruja untuk berdepan mereka kerana difahamkan terdapat beberapa pemain kebangsaan Singapura yang berada dalam skuad itu,” katanya.

Piya juga mempunyai matlamat peribadi menjelang saingan musim depan dengan bertekad, mengekalkan gelaran liga dan juga mendakap trofi Piala FA yang masih belum dimenangi sehingga kini.

Musim ini, skuad Kelantan dipimpin Peter Butler selepas pengendali terdahulu, Datuk M Karathu mengambil keputusan untuk tidak mengemudi juara Piala Malaysia 2010 itu.


GAMBAR SEKITAR MAJLIS PERLACARAN JERSEY











Khamis, 29 Disember 2011

Ringkas : Piala Sumbangsih 2012 - Tiket Harga RM30 dan RM15.

Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang petang tadi telah menetapkan Stadium Sultan Muhamad Ke-IV akan menjadi gelanggang rasmi perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2012.


Perlawanan adalah melibatkan juara Liga Super, Kelantan melawan juara Piala Malaysia Negeri Sembilan.

Jawatankuasa yang bersidang turut menetapkan harga tiket bagi tempat duduk astaka adalah berharga RM30 manakala bagi tempat duduk terbuka berharga RM15 untuk seorang.

Perlawanan akan diadakan pada 7 Januari 2012.

Sementara itu, dalam menjelaskan tentang harga tiket musim depan, pihak Jawatankuasa turut mengumumkan tiket perlawanan akhir untuk Piala FA dan Piala Malaysia ditetapkan pada harga RM40.

Bagi kejohanan antarabangsa Malaysia dan bawah 23 tahun pula, FAM menetapkan perlawanan persahabatan akan dikenakan RM20, peringkat kumpulan (RM30), separuh akhir (RM40) dan perlawanan akhir (RM50).

Kerajaan Negeri Jamin Baiki





Lantik perunding atasi masalah, bincang dengan Kafa mengenai ‘scoreboard’


KOTA BHARU – Berita baik untuk penyokong bola sepak Kelantan. Tiada lagi kerisauan mengenai skuad The Red Warriors yang perlu beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Semalam, pihak Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan masalah lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya memberi jaminan akan memperbaiki dan menyelenggara lampu limpah stadium berusia 44 tahun itu dalam tempoh terdekat.

“Kita memberi jaminan bahawa masalah lampu limpah stadium yang dikatakan tidak mencapai tahap pencahayaan sebanyak 900 lux itu akan dilakukan dengan kadar segera sebelum sepak mula perlawanan Sumbangsih, Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 Januari depan.

“Pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) sudah bermesyuarat tiga hari lalu dan kita memutuskan untuk melantik perunding dan kontraktor penyelenggaraan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Malah pihak Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan peruntukkan sebanyak RM80,000 bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kegusaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila Stadium Sultan Muhammad IV disenaraikan antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mematuhi peraturan pertandingan seperti diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak (FAM) baru-baru ini.

Menurut Abdul Fattah, hanya satu tempat dalam kawasan stadium itu mengalami masalah apabila tahap pencahayaan yang diukur tidak mencapai 900 lux dan beliau percaya masalah tersebut akan dapat diatasi bagi membolehkan skuad The Red Warriors beraksi pada sebelah malam.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pemasangan ‘scoreboard’ baru yang tertangguh sejak setahun lalu, Abdul Fattah menjelaskan beliau akan bertemu dengan pihak Kafa tidak lama lagi.

“Insya ALLAH, kita akan berbincang dengan Kafa mengenai pemasangan ‘scoreboard’ baru pada bulan depan sebelum kita memutuskan untuk memasangnya dengan yang baru,” katanya.

KELANTAN TEWAS DALAM PIALA UNITY 2011

Piala Unity ( kiri ) Milik Persebaya


Kelantan gagal membawa pulang Piala Unity 2011 ke Negeri Cik Siti Wan Kembang selepas tewas secara aggregat 4 – 3 pada aksi kedua Kelantan dan Persebaya di Surabaya Indonesia.

Terikat 1 – 1 pada perlawanan pertama di Kota Bharu 23 Disember lalu, Persebaya tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol selepas Andik Vermansyah berjaya menyumbat masuk gol pada minit ke 15″.

Gol kedua dan ketiga Persebaya hadir pada minit ke 65″ dan 73″ hasil kesilapan dan kelekaan pertahanan Kelantan.

Gol pertama dan kedua Kelantan menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan Indraputra Mahyuddin pada minit ke 48″ dan 93″.

Kelantan dilihat banyak melakukan serangan pada separuh masa kedua namun buntu mencari lebih banyak jaringan.

Tamat Perlawanan menyaksikan Kelantan tewas 4 – 3 secara aggregat kepada Persebaya Indonesia dan Persebaya muncul Juara Unity Cup 2011 buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun ini.

Perlawanan persahabatan Kelantan seterusnya ialah menentang sebuah lagi pasukan Gergasi Pantai Timur iaitu Terengganu pada 31 Disember 2011 Jam 8.30 malam di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

RM80,000 selesai masalah lampu limpah



Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyelenggarakan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV yang didakwa tidak menepati kadar pencahayaan seperti disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui peruntukan sebanyak RM80,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, penyelenggaraan itu akan dibuat sebelum bermulanya sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) bulan depan.

"Penyelenggaraan terhadap masalah lampu limpah yang dikatakan tidak mencukupi 900 lux akan dilakukan dalam kadar segera sebelum bermulanya Piala Sumbangsih 7 Januari ini," katanya ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) telah mengadakan mesyuarat bagi memutuskan untuk melantik perunding dan kontraktor bagi tujuan perkara berkaitan.

"Dari sembilan point yang diperiksa, perkara itu akan diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.
Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melahirkan kebimbangan berikutan kemungkinan akan beraksi di waktu petang dalam Liga-M musim depan berikutan masalah tersebut.

Pada 2003 pasukan Kelantan pernah beraksi pada sebelah petang selama separuh musim berikutan masalah yang sama.

Rabu, 28 Disember 2011

Info Tiket Pra Musim : Kelantan vs Terengganu.

Berikut adalah info tiket perlawanan pra musim melibatkan pasukan Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu pada 31 Disember 2011.


Harga Tiket

RM5 - Kanak-Kanak
RM10 - Terbuka
RM15 - Astaka 2 (Batu)
RM20 - Astaka Utama (Kerusi)

Tiket akan mula dijual pada 30 Disember bermula jam 10 Pagi di Kaunter Tiket Stadium.
Sila dapatkan tiket di kaunter sah, elakkan dari mendapatkan tiket dari Ulat/Orang tengah.

Prebiu Perlawanan Piala Unity 2011 : Persebaya 1927 mln Kelantan.

Kelantan turun perlawanan kedua Piala Unity dengan tekad tinggi untuk menjulang buat kali pertama piala yang dipertandingkan melawan Persebaya 1927 di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, malam esok.


Perlawanan pertama yang berkesudahan seri 1-1 bagaimanapun menjadikan laluan Kelantan dilihat sedikit sukar sementelah pasukan lawan yang dihadapi bukan calang-calang skuad selain mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

Persebaya sudah membuktikan bahawa kejagohan mereka mampu memberikan Peter James Butler dan anak didiknya tekanan dari minit awal sehingga tamat perlawanan.

Namun, Butler yakin skuad bimbingan yang dilatih bermula awal pra musim baru ini mampu bangkit untuk mengharumkan nama negara di pentas lawan seterusnya meneruskan langkah cemerlang skuad kebangsaan di bumi Indonesia.

Persebaya selaku juara Liga Prima Indonesia bagaimanapun tentu mahukan lebih daripada kemenangan kerana mereka tentu tidak mahu dimalukan di arena sendiri didepan penyokong setia mereka.

Justeru itu, jurulatih mereka, Divaldo Alves sudah menyiapkan barisan terkuat untuk membenam Kelantan dengan kelebihan tiga jaringan dan merangkul Trofi Unity di tempat sendiri.

Dengan mempunyai skuad sempurna, Divaldo mungkin melakukan perubahan besar termasuk menurunkan kembali kesemua pemain utama Persebaya yang tidak dapat turut serta ke Kota Bharu pada perlawanan pertama.

Taktikal

Persebaya 1927

Divaldo Alves dijangka tidak mengubah taktikal yang telah mereka pakai sewaktu mengikat Kelantan di Kota Bharu. Formasi 4-5-1 dilihat sesuai untuk memberikan mereka lebih bertahan kerana mereka selesa untuk bermain tanpa tekanan. Tetapi variasi penyerangan tetap dengan lebih menumpukan kepada hantaran pendek serta serangan pantas dari kedua-dua sayap diharap dapat menjelmakan jaringan yang dimahukan. Mereka juga dijangka akan menggunakan "man marking" serta serangan balas untuk memerangkap pertahanan pasukan Kelantan.

Kelantan

Seperti juga pelatih Kelantan, Peter James Butler dimana strategi beliau mungkin tidak berubah dimana Kelantan dijangka akan cuba menggunakan kelebihan yang ada pada pemain "midfield" untuk memperkasakan lagi formasi 4-3-3, tidak seperti perlawanan pertama tempoh hari. Taktikal menyerang akan diteruskan untuk memecah masuk kedalam kawasan Persebaya kerana posisi bertahan tidak memungkinkan Kelantan menjaringkan gol. Selain itu, Butler mungkin akan memberi penekanan kepada situasi bola mati untuk mendapatkan jaringan yang diperlukan di tempat lawan.

Kesebelasan Jangkaan.

Persebaya 1927

Persebaya dijangka mengekalkan penjaga gol mereka, Dedi Iman untuk perlawanan ini namun meletakkan penjaga gol nombor satu mereka, Dimas Galih selaku penganti. Mungkin juga Dimas dimasukkan kerana pelatih Persebaya mahukan skuad terbaik untuk menjadikan kubu mereka kebal dari jaringan pasukan Kelantan.

Barisan pertahanan yang juga ketua pasukan, Erol Iba dijangka terus memperkuatkan barisan pertahanan dengan bantuan daripada pemain import Brazil, Otavio Dutra. Jefry Presetyo akan memperkemaskan lagi barisan benteng manakala satu tempat lagi mungkin menjadi rebutan termasuklah pemain yang bermula di bangku simpanan pada perlawanan pertama, Khomad Suharto.

Jentera tengah menyaksikan Mat Halil mungkin bermain di posisi ini bersama dengan Jusmadi Adang. Namun berita gembira kepada kem Persebaya selepas kembalinya dua tonggak utama yang tidak dibawa ke Kelantan kerana menghadapi masalah pasport. Rendi Irawan mungkin diturunkan bagi mengantikan tonggak import mereka, Amaral yang dilihat tidak efektif membantu penyerang melakukan penyudah dalam perlawanan pertama. Feri Irawan, pemain yang bermain selaku "attacking" juga mungkin dimasukkan Divaldo bagi mengantikan Jusmadi Adang untuk pasukan Persebaya kerana pemain ini yang sudah mencetak tiga jaringan dalam perlawanan Liga Indonesia diharap melakukan jaringan kepada tuan rumah. Andik dan Mohd Taufiq terus kekal didalam skuad kerana dua pemain ini memainkan peranan penting melakukan serangan pantas daripada bahagian sayap untuk menceroboh benteng Sang Kijang dari kawasan kiri dan kanan.

Pemain serangan pula menyaksikan perubahan taktikal daripada Divaldo apabila tugasan meletakkan Andrew Barisic berseorangan ternyata gagal memberikan mereka jaringan pada perlawanan pertama. Justeru itu, ketua jurulatih berasal dari Portugal tersebut mungkin mencari seorang pemain untuk digandingkan dengan Barisic. Melihat pada senarai pemain, Miko Adrianto mempunyai peluang cerah dimasukkan berbanding penyerang lain.

Kelantan

Kehadiran Kelantan ke Persebaya dengan membawa empat penjaga gol termasuklah penjaga gawang nombor satu, Khairul Fahmi Che Mat dilihat langkah berjaga-jaga pihak pengurusan untuk perlawanan ini. Kemungkinan besar Khairul Fahmi akan beraksi di posisi permulaan manakala Shahrizan Ismail serta dua lagi pemain, Fakhrudin serta Syazwan akan diletakkan di posisi simpanan.

Jentera pertahanan, ketiadaan Nik Shahrul Azim dan Azizi Mat Rose kerana layangan kad merah memberikan peluang kepada Farisham Ismail untuk bermain selaku pemain utama disamping S. Subramaniam. Daudsu dan Aziz akan melengkapkan barisan pertahanan kiri dan kanan manakala Zamri Ramli serta Rizal Fahmi berada di tempat duduk simpanan.

Barisan tengah, tiada perubahan ketara dengan Shakir Shaari akan memulakan tempat di posisi permulaan manakala penjaring gol tunggal perlawanan pertama, Indra Putra Mahayuddin akan diletakkan di posisi sayap kiri. Norfarhan bermain sayap kanan manakala beberapa pemain tengah yang turut dibawa ke Surabaya seperti Badri Radzi, Azwan Roya, Izuan Rosli, S. Chanturu dan Zakaria mungkin tidak diturunkan pada permulaan perlawanan andai Butler kekal menggunakan formasi 4-3-3 seperti jangkaan.

Barisan serangan, Mohamed Mahmoud Ghaddar diletakkan selaku penyerang utama manakala Denny Antwi akan menjadi pembantu penyerang. Norshahrul Idlan pula mempunyai posisi lebih bebas di kawasan serangan dan tengah untuk mengatur serangan manakala Ramzul Zahini berada di bangku simpnanan.

Barisan Jangkaan dan Formasi

Khairul Fahmi Che Mat
Daudsu Jamaludin--Farisham Ismail--S.Subramaniam--Aziz Ismail
Norfarhan Mohamad--Shakir Shaari (Kp)--Indra Putra Mahayuddin
Denny Antwi--Mohamed Ghaddar--Norshahrul Idlan Talaha

mln

Andrew Barisic
----- Miko Adrianto -----
Andik Vermansyah--Mat Halil--Jusmadi Adang--Muhamad Taufiq
Otavio Dutra--Jefry Prasetyo--Khomad Suharto--Erol Iba
Dimas Galih

Kelantan Yakin.

Kelantan turun perlawanan kedua menentang Persebaya 1927 dengan keyakinan tinggi untuk merebut Piala Unity di Stadium Gelora 10 November, malam esok.


Perlawanan pertama di Kota Bharu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit masa perlawanan.

Menurut Peter Butler sebelum berlepas ke Surabaya kelmarin, dia yakin skuad kendaliannya dapat menewaskan tuan rumah berdasarkan situasi perlawanan pertama tempoh hari.

Butler turut lega setelah beberapa pemain utama termasuk penjaga gol nombor satu, Khairul Fahmi Che Mat sudah kembali bersama pasukan.

Dalam aksi timbal balik yang akan berlangsung esok, Butler mungkin akan menurunkan kesemua pemain terbaik yang dimiliki Kelantan.

Namun, Azizi dan Nik Shahrul Azim tidak dapat diturunkan selepas menerima kad merah dalam perlawanan pertama di Kota Bharu

Selasa, 27 Disember 2011

KAMI DATANG UNTUK MENANG – PETER BUTLER

“Kami datang ke sini untuk menang dan saya pasti kami akan memenangi perlawanan ini” kata Jurulatih Kelantan berasal dari England Peter James Butler.

Beliau juga berkata pasukan Kelantan akan tampil dengan kesebelasan terbaik bagi menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh dan akan berusaha memberi persembahan yang menarik dan bermain bersungguh sungguh dalam perlawanan ini.

Pada aksi pertama di Kota Bharu, Kelantan The Red Warriors sekadar seri 1 – 1 hasil jaringan Indraputra Mahyuddin dan Andik Vermansyah.

Kelantan dan Persebaya akan bertembung sekali lagi pada aksi kedua di Stadium Gelora 10 November pada 28 Disember jam 8.45 malam waktu Malaysia.Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro Bintang 141 dan Astro Arena 801 ( tertakluk kepada perubahan )

Jadual dan Sambutan Persebaya Kepada The Red Warriors.

Ketibaan pemain Kelantan ke Surabaya untuk perlawanan timbal balik Piala Unity diberi sambutan besar-besaran oleh pihak pengurusan Persebaya 1927 dan penyokong mereka (Bonek).


Menurut laman rasmi Bonek Online's, pemain dan pegawai pasukan The Red Warriors diberi sambutan ala tetamu negara di lapangan terbang Bandara Juanda sebaik tiba sebelum dibawa ke Hotel Garden Palace untuk daftar masuk.

Selama empat hari berada di Persebaya, skuad Kelantan akan menyertai beberapa acara penting termasuk makan malam dengan wakil Walikota Bambang DH di Hotel JW Marriot pada hari selasa selain perlawanan merebut Piala Unity di Gelora 10 November, sehari selepas itu.

Pemain dan pegawai pasukan Kelantan dijangka pulang ke Malaysia pada jam 12 tengahari, hari Khamis nanti.

Berikut adalah Jadual Pasukan Kelantan selama berada di Persebaya.

Panitia pelaksana (Panpel) pertandingan Persebaya merilis jadwal tim Kelantan FA selama di Kota Pahlawan. Rencananya, tim asuhan Peter Butler akan tiba di Surabaya, Senin (26/12/2011) pukul 17.55 sore nanti.

Selanjutnya, Kelantan dijamu Wakil Walikota Bambang DH dalam makan malam di Hotel JW Marriot, Selasa (27/12/2011) keesokan harinya.

Isnin, 26 Desember 2011 Pukul 17.55 WIB: Mendarat di Juanda dengan pesawat Air Asia.
Pukul 18.10 WIB: Rombongan meluncur ke Hotel Garden Palace

Selasa, 27 Desember 2011Pukul 14.00 WIB: Technical Meeting di Wisma Persebaya
Pukul 15.30: Latihan di Gelora Bung Tomo Benowo
Pukul 19.30: Majlis Selamat Datang oleh Wakil Walikota Surabaya di Hotel JW Marriot

Rabu, 28 Desember 2011Pukul 10.00: Prescon Unity Cup dan Piala Permai di Wisma Persebaya
Pukul 19.30: Pertandingan Persebaya vs Kelantan di Gelora 10 November

Khamis, 29 Desember 2011Pukul 12.10: Terbang ke Malaysia
Sumber: Laman Facebook Bonek Online's.

TRW Terbang ke Surabaya.

Skuad Kelantan terbang ke Surabaya untuk menghadapi perlawanan kedua Piala Unity menentang Persebaya 1927 di Stadium Gelora 10 November, malam esok.


Menurut pegawai media Persebaya, Ram Surahman, pegawai dan pemain Kelantan akan bertolak hari ini ke Persebaya dan mereka dijangka tiba pada jam 6.00 petang (waktu Malaysia) di Bandara Juanda.

Selepas diberi sambutan ringkas oleh pihak pengurusan pasukan tuan rumah, skuad Kelantan akan mendaftarkan diri di hotel penginapan tidak lama kemudian.

Juara Liga Super Malaysia tersebut turut membawa seramai 18 pemain serta 7 pegawai pasukan bagi menghadapi perlawanan timbal balik selepas terikat seri 1-1 di Kota Bharu.

Sementara itu, Peter James Butler yang di temui pihak media selepas perlawanan pra musim melawan Kuala Lumpur yakin pemain Kelantan mampu bangkit mencatatkan kemenangan keatas Persebaya.

Beliau turut menjangkakan saingan lebih sengit dan keras akan ditunjukkan kedua-dua pasukan tetapi mahu anak buahnya berhati-hati dengan sorakan fanatik daripada penyokong Persebaya (Bonek).

Isnin, 26 Disember 2011

JADUAL LIGA SUPER KELANTAN JANUARI FEBRUARI DAN MAC





Januari

10 Januari : vs Lions XII ( away )
14 Januari : vs PKNS ( home )
17 Januari : vs Johor FC ( home )
21 Januari : vs Kedah ( away )
28 Januari : vs KL ( home )

Februari

7 Februari : vs Sabah ( away )
11 Februari : vs Terengganu ( home )
14 Februari : vs Selangor ( away )

Mac

3 Mac : vs Negeri Sembilan ( home )
17 Mac : vs Perak ( away )
31 Mac : vs Felda United ( home )
Kelantan Akn Tewas 3-0 atau 4-1 Rabu Ini?


Inilah antara jangkaan awal ketua jurulatih Persebaya Divaldo Alves ketika ditemuramah media Indonesia. Keyakinan Divaldo berlandaskan keupayaan pemain-pemain mereka yang akan mencongak taktikal baru di stadium sendiri.

Bagi penyokong Kelantan yang hanya mampu memberi sokongan dari jauh, mereka yakin dengan perubahan strategi yang akan dibuat ketua jurulatih Kelantan Peter Butler malah perlawanan persahabatan Kuala Lumpur malam tadi ada sedikit kelainan dalam corak permainan Kelantan selain pemain perlu mempamerkan peningkatan dari semasa secara berpasukan.

Perang psikologi yang cuba dimainkan oleh ketua jurulatih Persebaya ini tidak akan melemahkan semangat pemain yang akan terbang ke sana pada hari ini. Perlawanan ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek yang dijangka akan menyaksikan dan menyampaikan secara bersama Menteri Sukan Indonesia.

SEMOGA PEROLEH KEMENANGAN, SELAMAT PERGI DAN BALIK KEPADA SEMUA BARISAN THE RED WARRIORS. GOMO KELATE GOMO

Pra Musim 2012 : KL Bukan Tandingan.

The Red Warriors mengatasi Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan persahabatan pra musim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.


Dua jaringan daripada penyerang import berasal dari Ghana, Denny Antwi sudah cukup buat Peter James Butler membuktikan persiapan Kelantan masih lagi di landasan tepat.

Melakukan pertukaran kepada keseluruhan skuad baru selepas terikat dengan Persebaya tempoh hari, Sang Kijang tampil bergaya melakukan jaringan pertama menerusi Denny Antwi pada minit ke-5.

Selepas jaringan tersebut, pemain Kelantan dilihat mula bergelut untuk menambah jaringan sehingga memberikan beberapa peluang baik kepada Kuala Lumpur untuk menyamakan kedudukan.

Tetapi skuad ibu kota gagal mengambil kesempatan aksi longlai pemain Kelantan untuk menamatkan separuh masa dengan satu jaringan.

Pada babak kedua, Denny Antwi tidak menunggu lama menjaringkan gol kedua peribadi selepas bijak menyempurnakan hantaran rakan sepasukan pada minit ke-54.

Jaringan tersebut bagaimanapun langsung tidak memberi sebarang kesan kepada Kuala Lumpur untuk melakukan beberapa lagi percubaan bahaya ke arah pintu gol Kelantan.

Usaha mereka bagaimanapun sia-sia selepas pertahanan Kelantan yang diketuai Farisham dan Rizal Fahmi terus bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan.

Selepas perlawanan ini, Kelantan akan terbang ke Surabaya untuk aksi timbal balik Piala Unity pada 28 Disember nanti.

Ahad, 25 Disember 2011

Scoreboard Dijangka Siap Bulan Mac.



Scoreboard elektronik Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2012.



Menurut maklumat yang disampaikan sumber kepada RedsfcNews, pihak Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan akan mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk pembinaan papan tanda tersebut.

Mereka turut akan memilih kontraktor yang akan dipertanggungjawabkan bagi menyiapkan pembinaan itu seperti yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Perbadanan Stadium turut akan membaiki lampu limpah untuk menepati syarat yang telah ditetapkan FAM serta melakukan pendawaian semula pada keseluruhan kawasan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV.

Sabtu, 24 Disember 2011

PIALA PERMAI 2011:KELANTAN, PERSEBAYA TERIKAT.




Kelantan gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Persebaya 1927 dalam perlawanan pertama merebut Trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia, malam tadi.

Bermain didepan hampir 20 000 penyokong setia, Kelantan bagaimanapun gagal menggunakan setiap peluang yang dimiliki kepada jaringan gol.
Malah mereka dilihat tertekan sepanjang aksi babak pertama sehingga Azizi Mat Rose dilayangkan kad merah terus selepas melakukan kekasaran tidak profesional keatas pemain Persebaya.

Kekurangan seorang pemain memberikan Persebaya ruang yang cukup luas mengatur gerakan demi gerakan kearah kubu The Red Warriors namun S. Subramaniam dan Aziz Ismail bertindak cemerlang menangkis segala asakan pelawat.

Pada babak kedua, Kelantan bermula garang apabila serangan pantas yang digerakkan melalui Norshahrul serta Norfarhan berjaya mengucar kacirkan pertahanan Persebaya yang diketuai Erol Iba.
Serangan bertali arus Sang Kijang akhirnya membuahkan hasil apabila bermula daripada gerakan Norfarhan ke dalam kawasan penalti Persebaya, Indra bijak merembat deras terus menerjah gawang menewaskan Dedi Iman pada minit ke-61.

Selepas jaringan tersebut, Kelantan mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi dua percubaan melalui Mohamed Ghaddar berjaya diselamatkan penjaga gol Persebaya.
Usaha Kelantan mempertahankan jaringan semakin sukar selepas Nik Shahrul Azim dilayangkan kad merah selepas bergaduh dengan pemain import pelawat, Andrew Barisic.

Kehilangan dua pemain nyata memberi kesan kepada The Red Warriors membolehkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-85 hasil gerakan solo Andik Vermansyah dari kawasan tengah.

Jumaat, 23 Disember 2011

KAFA Siap Sedia.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah bersiap sedia untuk menganjurkan perlawanan pembukaan merebut Trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (PERMAI) di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.


Menurut tinjauan RedsfcNews dan wakil KAFA, persiapan dilihat berjalan lancar tanpa sebarang masalah terutamanya padang yang akan digunakan untuk perlawanan.

Banner slogan "Football For Unity" turut telah dipasang dan dipamerkan di ruangan bawah scoreboard stadium pada petang tadi.


Jelas ditonjolkan semangat daripada pihak persatuan bola sepak The Red Warriors untuk menjadikan perlawanan pada malam esok sebagai medan bersatu padu antara rakyat Kelantan atau Malaysia khususnya dengan negera sejiran, Indonesia

Prebiu Perlawanan Piala PERMAI 2011 : Kelantan Mln Persebaya 1927.



Kelantan turun aksi persahabatan pertama apabila melayan kunjungan Persebaya 1927 merebut Piala Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (PERMAI) di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, malam esok.



Disifatkan perlawanan bertaraf antarabangsa oleh pengurusan pasukan pasukan masing-masing, Kelantan dan Persebaya bakal membuktikan jagoan memburu mahkota sulung kejuaraan trofi yang julung kali diperkenalkan buat kedua-dua negara.

Sebagai perbandingan, skuad bergelar The Red Warriors merupakan juara Liga Super Malaysia manakala Persebaya 1927 pula muncul johan dalam pertandingan Liga Prima Indonesia bagi tahun 2011.

Pilihan diletakkan kepada pasukan tuan rumah setelah mereka dilihat mempunyai banyak persediaan rapi untuk membenam pasukan lawan biarpun tentangan kali ini adalah juara dari liga negara jiran. Tambahan pula, Persebaya tidak bermula baik bagi musim baru mereka selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari tiga perlawanan selain hanya mampu melakukan dua jaringan sahaja selain mengutip tiga bolos.

Selain itu, perlawanan pertama di kandang sendiri memberi banyak kelebihan sebenarnya kepada Kelantan kerana pasukan pelawat hadir dengan skuad tempang termasuk kekurangan pemain utama ekoran pelbagai masalah sebelum berangkat ke Kota Bharu.


Kedua-dua pasukan dilihat seimbang dari segi kekuatan tetapi mampu memberi kejutan seandainya tidak diberi perhatian menyeluruh namun Sang Kijang dan Buaya Hijau pasti mahu mengungguli saingan untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan kedua seterusnya mencatatkan nama selaku pemenang pertama trofi PERMAI.


Statistik dan Taktikal.

Kelantan dijangka menurunkan skuad terkuat yang dimiliki selepas penjenamaan kembali selain kehadiran tonggak import di bahagian serangan. Peter James Butler mungkin akan mencuba taktikal 4-3-3 selepas perlawanan pra musim yang dilalui sebelum ini dilihat berkesan selepas berjaya mengungguli saingan dalam dan luar negara. Butler turut mungkin akan cuba memberikan lebih variasi kepada pemain di posisi "midfield dan Striker" untuk bergerak lebih bebas mengatur serangan ke arah kubu pasukan lawan. Bahagian benteng pula mungkin diperkukuhkan dengan tonggak pengalaman bagi membantu penjaga gol di posisi terakhir.

Persebaya 1927 pula dijangka mengekalkan formasi seperti mereka lakukan dalam Liga Prima Indonesia dengan banyak menerapkan formasi 4-4-2 selain memperkasakan hantaran "short pass" untuk mengelirukan pemain Kelantan. Divaldo mungkin terus menggunakan kepantasan di bahagian sayap kiri dan kanan untuk memerangkap barisan pertahanan tuan rumah disamping menggunakan ketinggian pemain import mereka didepan untuk melakukan jaringan. Barisan pertahanan mereka rapuh jika bermain dalam padang licin tetapi ketua jurulatih Persebaya ada taktikal ampuh untuk mengekang pemain Kelantan maju kedalam kubu mereka.

Barisan Kemungkinan.

Kelantan

Bagi tempat penjaga gol masih tidak diketahui pemain mana bakal menyarung posisi nombor satu yang bakal mengawal kubu terakhir pasukan. Dilihat pada kedudukan semasa mungkin Syazwan Yusoff terus digunakan Butler selepas Shahrizan dan Khairul Fahmi dilihat masih tidak cergas sepenuhnya. Selain itu, Butler turut mempunyai pilihan untuk menurunkan penjaga gol yang baru didaftarkan iaitu Mohd Fakhrudin Husin tetapi risiko tinggi kerana pemain ini masih belum mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi.

Jentera pertahanan tidak asing lagi dimana S. Subramaniam mungkin akan diletakkan bersama Azizi Mat Rose di bahagian benteng tengah. Daudsu akan bermain seperti biasa di posisi pertahanan kanan manakala Aziz Ismail melengkapkan posisi bawah di pertahanan kiri. Simpanan, Zairul Fitree masih cedera, Farisham, Rizal, Zamri dan Nik Shahrul Azim menanti di "bench" jika Kelantan memerlukan pertukaran.

Barisan tengah merupakan harapan besar pasukan Kelantan untuk merencanakan jaringan gol. Pada pertemuan terdahulu melawan T-Team, Butler menurunkan tiga pemain berpengalaman luas dan pelaburan tersebut dilihat berbaloi bila mana Indra Putra (kiri), Norfarhan (kanan) dan Shakir (center) bertindak cemerlang melakukan beberapa asakan bahaya. Taktikal keatas tiga pemain ini membuatkan barisan tengah Kelantan menjadi semakin ampuh dan menentang Persebaya, mungkin mereka bertiga akan terus dikekalkan biarpun Emmanuel Okine dan Zakaria Charara bakal menjadi pemain yang akan menghalang formasi anak tempatan di tempat tersebut. Badri Radzi serta Nurul Azwan juga mungkin tersenarai dalam kesebelasan utama manakala pemain muda serba boleh, Khairul Izuan Rosli juga dilihat mempunyai peluang cerah biarpun namanya berada di tempat terakhir untuk dipilih masuk bersama dengan S. Chanturu.

Posisi serangan tidak membimbangkan selepas gandingan mantap Antwi-Ghaddar-Norshahrul mungkin terus dikekalkan Butler bagi memecah barisan pertahanan Persebaya. Mereka bertiga sudah membuktikan biarpun mempunyai masalah komunikasi, mereka tetap merbahaya bila bermain bersama dalam satu pasukan. Antwi dengan status penjaring terbanyak pra musim, Ghaddar menjaringkan dua gol dalam dua penampilan dan kepantasan Norshahrul melakukan gelecekan, pintasan, larian serta cubaan tepat pasti menjadi igauan bagi pemain Persebaya. Ramzul Zahini kekal di bangku simpanan, Aris Zaidi mungkin tidak tersenarai manakala Azlan Ismail masih dalam proses pemulihan dari kecederaan panjang.

Persebaya 1927

Persebaya tidak mempunyai pilihan lain untuk diturunkan selaku penjaga gol utama selain Dedi Iman Sukango. Mereka hanya membawa pemain ini ke Kota Bharu selepas dua penjaga gol yang lain terpaksa direhatkan akibat masalah pasport dan kecederaan. Dedi Iman bagaimanapun dipertanggungjawab sepenuhnya mengawal kubu Persebaya selama 90 minit biarpun pada perlawanan Liga Prima beberapa minggu lalu melakukan kesilapan mudah yang membawa kekalahan kepada The Green Force.

Posisi pertahanan pula, kemungkinan Mat Halil dan Khomad Suharto akan mengetuai posisi terakhir termasuk pemain import yang berasal dari Brazil, Otavio Dutra. Ketua jurulatih mereka, Divaldo juga mempunyai beberapa lagi pilihan untuk melengkapkan barisan pertahanan melalui Revalino Ardiles, Nur Fasta, Erol Iba, dan Aulia Ardli.

Jentera tengah pula, tonggak utama yang menyarung jersi "Timnas Indonesia u-23", Andik Vermansyah akan diharapkan menjadi perancang utama ke arah kubu Sang Kijang. Bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain sayap, Muhamad Taufiq, Persebaya sebenarnya memberi tugas kepada dua pemain ini untuk mengucar kacirkan pertahanan tuan rumah. Selain itu, mereka turut dibantu pemain import berkelas tinggi, Alexandre da Silva Mariano atau Amaral dan beberapa tonggak tempatan Surabaya yang berkaliber seperti Ryan Wahyu, Edi Gunawan dan Jusmadi Adang.

Posisi serangan, Miko Adrianto serta Andrew Barisic dari Australia yang akan bertindak selaku pengempur utama kerana Divaldo menyenaraikan dua pemain ini untuk memberikan mereka sekurang-kurangnya jaringan tempat lawan sebelum aksi timbal balik di kandang sendiri pada minggu depan.

Barisan Jangkaan kelatebola
Kelantan

Syazwan Yusoff
Daudsu Jamaludin--Azizi Mat Rose--S.Subramaniam--Aziz Ismail
Norfarhan Mohamad --Shakir Shaari (Kp)-- Indra Putra Mahayuddin
Denny Antwi-- Mohamed Ghaddar-- Norshahrul Idlan Talaha

mln

Andrew Barisic--Miko Adrianto
Andik Vermansyah--Amaral--Jusmadi Adang--Muhamad Taufiq
Khomad Suharto--Otavio Dutra--Mat Halil--Erol Iba
Dedi Iman Sukango

Persebaya 1927


Piala Permai 2011 : Red Warriors Turun Skuad Terbaik.

Ketua Jurulatih The Red Warriors, Peter James Butler akan menurunkan pemain terbaik untuk aksi pertama merebut Piala Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia menentang Persebaya 1927 di laman sendiri, malam esok.


Bercakap kepada pihak RedsfcNews, Butler menjelaskan persiapan pasukan dilihat memberangsangkan dengan kesemua pemain berada di tahap terbaik untuk diturunkan.

Kita mampu menurunkan kesemua pemain terbaik pada perlawanan malam esok, jelasnya.

Kecuali dua tiga pemain yang masih dilanda kecederaan, secara keseluruhan kem Kelantan tidak menghadapi banyak masalah untuk membenam pasukan lawan.

Ditambah dengan kehadiran empat pemain import, skuad Kelantan akan memberikan aksi terbaik didepan penyokong sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum ke Surabaya

sumber :redsfc

Persebaya 1927 Runsing.

Juara Liga Prima Indonesia, Persebaya 1927 runsing gagal membawa skuad terbaik bagi menghadapi perlawanan pertama merebut Trofi Yayasan Persahabatan Malaysia Indonesia (Permai) di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, malam esok.



Menurut laman berita Tribunnews.com, pihak pengurusan Persebaya nyata berada dalam posisi kebimbangan kerana mereka hanya membawa 16 pemain termasuk seorang penjaga gol untuk menghadapi Kelantan.

Masalah kehilangan pasport menjadi penyebab utama beberapa pemain dan penjaga gol nombor satu mereka, Dimas Galih gagal terbang ke Kota Bharu.

Bagi meredakan tekanan, Persebaya dijangka melakukan beberapa taktikal palsu bagi mengurangkan jurang perlawanan kedua-dua pasukan sebelum aksi kedua di Surabaya.

Walaupun kekurangan pemain, Persebaya harus turun habis-habisan untuk aksi persahabatan kerana mereka membawa nama Indonesia ke pertandingan ini, jelas laman berita itu lagi.

Khamis, 22 Disember 2011


Persebaya Bawa 16 Pemain Sahaja.

Persebaya 1927 hanya membawa 16 pemain sahaja untuk aksi pertama merebut Trofi Yayasan Persahabatan Malaysia Indonesia 2011 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Jumaat depan.

Menurut Ketua Jurulatih Persebaya, Divaldo Alves, mereka terpaksa membawa skuad minima kerana beberapa pemain menghadapi masalah pasport dan kecederaan.

Paling merungsingkan, Persebaya turut hanya membawa seorang penjaga gol selepas dua lagi pemain tidak dapat dibawa kerana masalah seperti yang dinyatakan di atas.

Namun, jurulatih berasal dari Portugal tersebut yakin anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik selepas melalui beberapa sesi latihan intensif sebelum bertandang ke kubu The Red Warriors.

Dengan tambahan rakaman video yang diperolehi, Divaldo sudah mempunyai cara untuk diterapkan kepada pemain Persebaya 1927 mengekang pemain Kelantan dengan aksi hantaran pendek khas. -RedsfcNews-

Berikut Senarai Pemain Persebaya ke Kota Bharu

Goal Keeper

Dedi Iman

Defender

Otavio Dutra, Revalino Ardiles, Khomad Suharto, Nur Fasta, Erol Iba, Mat Halil, Aulia Ardli

Midfield

Jusmadi, Taufiq, Amaral, Ryan Wahyu, Edi Gunawan, Andik Vermansyah

Striker/Forward

Miko Ardianto, Andrew Barisic

Rabu, 21 Disember 2011


Majlis KAFA Ubah Ke KTC.

Majlis memperkenalkan pemain dan jersi The Red Warriors di KB Mall pada 31 Disember diubah tempat ke Kelantan Trade Center (KTC).


Menurut sumber KAFA, Hisham Lokman, majlis diadakan di Dewan Konvensyen KTC bermula jam 11 pagi sehingga 2.00 petang.

Selain memperkenal pemain dan jersi, KAFA turut akan merasmikan dua buah van yang akan dijadikan kenderaan rasmi pihak Warriors Solutions pada majlis tersebut.

Semua penyokong Kelantan di seluruh negara di jemput hadir untuk menyaksikan sendiri segala program yang telah diatur oleh KAFA.

Para penyokong juga berkesempatan untuk mendapatkan cenderamata The Red Warriors dan jersi rasmi yang akan dijual pada hari berkenaan.

Kepada penyokong yang tidak dapat hadir, mereka dapat saksikan perjalanan majlis tersebut melalui siaran langsung streaming yang dikendalikan oleh Gegar TV melalui saluran Redvision di internet.

Persebaya 1927 Lancar Perang Psikologi.

Tiga hari sebelum sepak mula perlawanan pertama merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (PERMAI) di Kota Bharu, ketua jurulatih Persebaya mula bermain perang psikologi ke atas pasukan Kelantan.


Komen "manis" yang dilontarkan Divaldo Alves jika dipandang pada sudut positif memang dilihat sebagai peringkat berwaspada jurulatih berasal dari Portugal saat menghadapi Sang Kijang yang juga juara baru Liga Super Malaysia.

Andai dinilai pada sudut sebaliknya dapat dilihat sikap Divaldo cuba bermain perang halus tetapi tidak menyembunyikan cita-cita besar untuk menjulang kejuaraan pada kejohanan yang julung kali diadakan.

Divaldo yang mengambil alih tugasan melatih Persebaya 1927 pada September lalu pasti sedar kesukaran akan mereka hadapi apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhamad Ke-IV menyebabkan mereka terpaksa melakukan serangan secara psikologi kepada pemain tuan rumah.

Namun, pemain Kelantan diharapkan tidak terbuai-buai dengan pujian yang diberikan tetapi menggunakan pujian itu untuk cuba menewaskan pihak lawan sama ada di tempat sendiri ataupun di tempat pasukan lawan.

Hanya dengan cara itu The Red Warriors dapat menampilkan perwatakan sebenar mereka kepada Persebaya seterusnya mengondol kejuaraan trofi Yayasan yang ditawarkan.

Selasa, 20 Disember 2011

BADHRI RADZI “PIYA” SEHEBAT RONALDO ?Piya Dipuji Jurulatih Persebaya Indonesia


Piala AFC 2012 : Kenapa Tidak Kerajaan Negeri, KAFA.

Kesediaan Terengganu untuk menganjurkan perlawanan Piala AFC di arena sendiri wajar diberi pujian oleh peminat pasukan bola sepak di seluruh negara.


Biarpun mempunyai kemudahan asas paling minima tetapi mereka tidak sangsi untuk memperbaiki Stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah di Kuala Terengganu agar menepati piawaian yang telah telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Satu berita gembira sebenarnya buat penyokong Sang Penyu kerana Kerajaan Negeri mereka bersama pihak persatuan sanggup mengenepikan seketika perselisihan peribadi bagi memenuhi impian besar para peminat.

Jika perkara ini dapat direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), tiada yang lebih gembira selain peminat setia The Red Warriors.

Apa tidaknya, penyertaan kali pertama dalam kejohanan antarabangsa dapat dianjurkan di gelanggang keramat, gelanggang yang telah menceritakan seribu satu macam tentang pasukan dukungan nombor satu Perwira Merah.

Para peminat ternyata bukan sahaja berterima kasih kepada KAFA malahan pihak Kerajaan Negeru juga akan turut terbabit sama mendapat pujian semua penyokong.

Kenapa tidak mereka ketepikan seketikan perbezaan politik dan duduk berbincang bersama secara rasmi untuk kebaikan semua pihak.

Jika perkara ini dapat dibuat, tiada perkara tidak dapat diselesaikan kerana keutamaan bukan sahaja untuk sebuah perlawanan bola sepak tetapi melibatkan semua perkara secara menyeluruh.

Justeru itu, diharapkan semua yang berada disebalik Kerajaan Negeri dan KAFA dapat memikirkan kembali sikap keras kepala bukan jalan penyelesaian terbaik untuk memajukan sukan yang sudah mendapat respon di seluruh negara betapa Kelantan kini semakin menjadi ikon oleh semua persatuan sukan di Malaysia.

sumber:redsfc

President Warriros Giat Jalani Sesi Latihan.

Skuad muda Kelantan yang bersaing dalam kejohanan Piala Presiden Malaysia giat mengadakan sesi latihan dibawah pengawasan ketua jurulatih, Hashim Mustapha dan Nafuzi Zain.


Sesi latihan skuad Presiden dikendalikan kedua-dua jurulatih berkenaan di Komplek Belia Sukan Panji.

Menurut Nafuzi yang ditemui RedsfcNews, pihak kejurulatihan telah mengenal pasti senarai 25 pemain yang akan didaftarkan oleh President Warriors untuk saingan musim depan.

Setakat ini, persiapan pasukan dilihat baik dengan kesemua pemain yang terpilih begitu bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada musim lepas.

Kita yakin pasukan muda Kelantan mampu pergi jauh dan berupaya menjadi juara sekali lagi.

Dalam perkembangan sama, saingan Piala Presiden akan bermula pada 26 Januari dengan Kelantan menerima undian kumpulan sukar selepas diletakkan sekali dengan beberapa pasukan kuat seperti SSBJ, Johor FC, Kedah, Selangor dan Sabah

Catatan Popular