KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 4 Disember 2011

Pra Musim 2012 Luar Negeri : Analisis Ringkas.

Keinginan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengutip semua piala yang dipertandingkan pada musim hadapan menyaksikan beberapa perlawanan persahabatan di luar negeri telah diatur menentang pasukan dalam dan luar negara.


Berbekalkan dua tenaga import dari Ghana, skuad Kelantan yang rata-rata dibarisi pemain muda tampil cemerlang untuk mencatatan empat kemenangan dan satu kekalahan dari lima perlawanan.

Satu kelegaan sebenarnya kepada pihak pengurusan pasukan Kelantan pada awal persiapan pra musim selepas dilihat tidak silap memilih pemain import untuk diserapkan kedalam pasukan utama kerana deretan jaringan gol dan persembahan menyakinkan berjaya disempurnakan dengan jayanya oleh Denny Antwi dan Emmanuel Okine.

Biarpun cuba melakukan "trial" dengan beberapa lagi pemain import kebangsaan dan kelab terkemuka dunia seperti Mpulula, Zacharia, Banning dan Jocip, mereka berdua tetap terbaik dan mempunyai nilai bak kata Butler.

Begitu juga dengan starategi menurunkan barisan pemain muda dari skuad Piala Presiden apabila dua pemain, Mohd Syazwan Yusoff dan Nik Shahrul Azim yang diberikan peluang oleh Butler menggunakan segala ruang yang dimiliki untuk membuka mata ketua jurulatih Harimau Muda menyerapkan mereka kedalam pasukan negara untuk menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Australia.

Secara keseluruhan, persiapan pra musim The Red Warriors di luar negeri mencapai sasaran KAFA untuk melakukan persiapan terbaik sebelum sepak mula Liga Malaysia yang dijangka bermula pada 7 Januari 2012.

Berdasarkan lima perlawanan yang dilalui, Kelantan dilihat cukup tajam didepan pintu gol selepas menjaringkan sejumlah 13 gol dengan purata 2.6 gol untuk setiap perlawanan.

Sejumlah tujuh pemain berbeza melakukan jaringan untuk Kelantan dalam pra musim dengan penyerang import dari Ghana, Danny Antwi muncul penjaring terbanyak dengan meledak 7 gol.

Mereka turut bolos sebanyak tujuh gol dimana Negeri Sembilan menjadi pasukan terbanyak berjaya menjaringkan gol keatas Sang Kijang iaitu dengan tiga gol.

Kelantan 2-1 Maldives.


Perlawanan kompetetif pertama di atur KAFA menemukan Kelantan dengan skuad kebangsaan Maldives. Tidak seperti dijangka, The Red Warriors dapat mencatatkan kemenangan keatas Maldives hasil dua jaringan Danny Antwi. Biarpun pada satu ketika ketinggalan dengan jaringan kettua pasukan pelawat pada awal babak pertama, Kelantan bangkit seterusnya mengenepikan persepsi awal para pengkritik untuk mencatatkan kemenangan pada saat terakhir. Menurunkan gabungan barisan berpengalaman dan pemain muda, Sang Kijang berjaya mengekang segala asakan dan serangan dari pihak lawan selain menggunakan corak serangan balas untuk mencipta kejayaan.

Kelantan 3-0 Balestier Khalsa FC


Satu-satunya perlawanan pra musim di luar negeri berakhir tanpa bolos dimana Kelantan bertemu kelab pertengahan Liga Singapura. Balestier Khalsa bagaimanapun tidak mudah dihadapi barisan pemain Kelantan kerana tentangan hebat sehingga wisel penamat. Satu jaringan pada babak pertama melalui cubaan jarak jauh Emmanuel Okine memisahkan kedua-dua pasukan. Biarpun tuan rumah cuba bangkit, Nurul Azwan Roya tampil dengan jaringan kedua untuk menjarakkan kedudukan pada permulaan babak kedua. Tuan rumah cuba mengatur banyak serangan dan menguji ketangkasan penjaga gol muda Kelantan tetapi barisan benteng pantas menutup ruang mengekang sebelum S. Chanturu menggunakan serangan balas pada minit akhir untuk jaringan ketiga Kelantan di Toa Payoh.

Kelantan 4-2 ATM


Pertemuan yang sangat dinantikan kerana bekas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sedang menggunakan pengalaman mencipta barisan impian seperti yang dikehendaki Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dibarisi pemain ternama dalam negara, ATM cuba mengasak Kelantan tetapi kesudahan perlawanan bagaimanapun menjadi milik Sang Kijang selepas Danny Antwi terus mencipta nama penjaring dengan hatrik manakala Khairul Izuan Rosli menambah satu lagi jaringan. ATM cuba membalas dengan dua jaringan namun pemain Kelantan kekal dengan penguasaan penuh untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan ketiga.

Kelantan 1-3 Negeri Sembilan.


Tiga kemenangan yang diraih menyakinkan peminat betapa Sang Kijang bakal terus berleluasa turun perlawanan menentang barisan pincang Negeri Sembilan. Tetapi sebaliknya berlaku setelah pemain Jang tidak mudah menyerah kalah malah memberikan pengajaran berguna buat Kelantan dengan corak permainan pantas dan tersusun. Kesemua jaringan gol Negeri Sembilan yang dijaringkan oleh pemain import mereka, Omowana, Idris Karim dan Kunalan berpunca dari kesilapan barisan pertahanan dan penjaga gol. Kelantan cuba membalas melalui jaringan Danny Antwi tetapi ternyata Negeri Sembilan menggunakan pengalaman pemain utama mereka untuk mendedahkan kepincangan barisan The Red Warriors buat kali pertama selepas empat perlawanan.

Kelantan 3-1 Perak


Perlawanan terakhir sebelum pulang ke Kota Bharu, Kelantan dan Perak bersaing sengit dalam rangka persiapan dan pemilihan pemain untuk didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kelantan lebih bernasib baik kerana barisan pemain 80% "full team" mampu melakukan tiga jaringan berbanding pasukan lawan yang terpaksa berpuas hati dengan 1 gol daripada Shahrulnizam Mustapha. Beberapa percubaan Seladang terkena palang termasuk sepakan deras import dari Korea. Kelantan pula hanya mendapat peluang melalui dua sepakan penalti dan jaringan padang Indra Putra. Kehadiran beberapa pemain terbaru nyata menjadi inspirasi kepada Sang Kijang untuk mencatat keputusan positif.

Rumusan

The Red Warriors mendapat pendedahan berguna daripada KAFA untuk saingan musim depan dengan deretan persahabatan kelas A telah diatur pada permulaan pra musim. Lima perlawanan yang dilalui walaupun bukan bertemu kelab atau pasukan negeri yang besar, Kelantan menunjukkan prospek mampu mencapai sasaran pada musim depan. Walau bagaimanapun, keputusan persiapan ini tidak menjamin kejayaan berterusan kepada Sang Kijang dalam Liga Malaysia dan Piala AFC. Masih banyak kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki terutamanya penyudah penyerang dan ketahanan pemain pertahanan dan kita serahkan kepada Peter Butler untuk cuba memperbaiki segala kekurangan itu dalam persiapan di Kota Bharu pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular