KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 7 Disember 2011

Piala AFC, Satu Permulaan Mencipta Sejarah.

Enam tahun dahulu, tiada siapa yang menyangka pasukan yang telah diturunkan ke divisyen terbawah Liga Malaysia akan bangkit mencipta fenomena baru dalam kalangan pasukan gergasi negara kita yang lain.


Tiada siapa juga menduga, pasukan yang seringkali menerima nasib buruk dan menerima layanan anak tiri dari Persatuan Sukan terulung di Malaysia berjaya menjadi gergasi dan mewakili negara sehingga ke peringkat asia.

Perit jerih, pasang surut, maki hamun serta provokasi melampau akhirnya tertepis dengan kejayaan demi kejayaan sehingga menerbitkan rasa cemburu peminat dan pasukan yang bersaing di kejohanan domestik.

Selepas muncul antara pasukan yang paling berpengaruh di Malaysia, kini Kelantan bakal mencipta sejarah baru sepanjang penubuhan pasukan sejak beberapa puluh tahun lepas dengan kejayaan mara sehingga ke pentas kumpulan Piala AFC.

Permulaan di Liga FAM disudahkan dengan kejayaan ketiga Liga Perdana sebelum diberi kesempatan pergi lebih jauh untuk muncul juara Liga Super dan kini, Piala AFC menggamit Sang Kijang buat pertama kali memburu penghormatan cuba melepaskan diri lebih jauh daripada pasukan Malaysia yang terdahulu.

Adakah kejayaan yang diraih Kelantan akan disifatkan pasukan "mee segera" seperti yang dilaungkan dengan lantang oleh orang kuat sebuah persatuan yang kini menerima desakan dari peminat sendiri supaya meletak jawatan.

Tidak, sama sekali tidak kerana hinaan pasukan yang cepat naik dan mudah jatuh seperti yang dilemparkan tidak menjadi kenyataan malahan The Red Warriors terus menerus meningkat naik tanpa menoleh ke belakang lagi.

Kekuatan Sang Kijang kini dilihat menyeluruh dan wajar sama sekali semua penyokong pasukan lawan menerima dengan hati terbuka betapa delegasi yang telah dicipta bermula lima tahun lepas sudah matang dan bersedia untuk merebut sejarah pertama negara kita sebuah kelab dapat mencipta kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Siapa tahu, Kelantan bakal menjadi pasukan tempatan muncul pemenang yang dinanti-nantikan. Itulah harapan kita, para penyokong perwira Merah Putih. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular