KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 23 Disember 2011

Prebiu Perlawanan Piala PERMAI 2011 : Kelantan Mln Persebaya 1927.



Kelantan turun aksi persahabatan pertama apabila melayan kunjungan Persebaya 1927 merebut Piala Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (PERMAI) di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, malam esok.



Disifatkan perlawanan bertaraf antarabangsa oleh pengurusan pasukan pasukan masing-masing, Kelantan dan Persebaya bakal membuktikan jagoan memburu mahkota sulung kejuaraan trofi yang julung kali diperkenalkan buat kedua-dua negara.

Sebagai perbandingan, skuad bergelar The Red Warriors merupakan juara Liga Super Malaysia manakala Persebaya 1927 pula muncul johan dalam pertandingan Liga Prima Indonesia bagi tahun 2011.

Pilihan diletakkan kepada pasukan tuan rumah setelah mereka dilihat mempunyai banyak persediaan rapi untuk membenam pasukan lawan biarpun tentangan kali ini adalah juara dari liga negara jiran. Tambahan pula, Persebaya tidak bermula baik bagi musim baru mereka selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari tiga perlawanan selain hanya mampu melakukan dua jaringan sahaja selain mengutip tiga bolos.

Selain itu, perlawanan pertama di kandang sendiri memberi banyak kelebihan sebenarnya kepada Kelantan kerana pasukan pelawat hadir dengan skuad tempang termasuk kekurangan pemain utama ekoran pelbagai masalah sebelum berangkat ke Kota Bharu.


Kedua-dua pasukan dilihat seimbang dari segi kekuatan tetapi mampu memberi kejutan seandainya tidak diberi perhatian menyeluruh namun Sang Kijang dan Buaya Hijau pasti mahu mengungguli saingan untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan kedua seterusnya mencatatkan nama selaku pemenang pertama trofi PERMAI.


Statistik dan Taktikal.

Kelantan dijangka menurunkan skuad terkuat yang dimiliki selepas penjenamaan kembali selain kehadiran tonggak import di bahagian serangan. Peter James Butler mungkin akan mencuba taktikal 4-3-3 selepas perlawanan pra musim yang dilalui sebelum ini dilihat berkesan selepas berjaya mengungguli saingan dalam dan luar negara. Butler turut mungkin akan cuba memberikan lebih variasi kepada pemain di posisi "midfield dan Striker" untuk bergerak lebih bebas mengatur serangan ke arah kubu pasukan lawan. Bahagian benteng pula mungkin diperkukuhkan dengan tonggak pengalaman bagi membantu penjaga gol di posisi terakhir.

Persebaya 1927 pula dijangka mengekalkan formasi seperti mereka lakukan dalam Liga Prima Indonesia dengan banyak menerapkan formasi 4-4-2 selain memperkasakan hantaran "short pass" untuk mengelirukan pemain Kelantan. Divaldo mungkin terus menggunakan kepantasan di bahagian sayap kiri dan kanan untuk memerangkap barisan pertahanan tuan rumah disamping menggunakan ketinggian pemain import mereka didepan untuk melakukan jaringan. Barisan pertahanan mereka rapuh jika bermain dalam padang licin tetapi ketua jurulatih Persebaya ada taktikal ampuh untuk mengekang pemain Kelantan maju kedalam kubu mereka.

Barisan Kemungkinan.

Kelantan

Bagi tempat penjaga gol masih tidak diketahui pemain mana bakal menyarung posisi nombor satu yang bakal mengawal kubu terakhir pasukan. Dilihat pada kedudukan semasa mungkin Syazwan Yusoff terus digunakan Butler selepas Shahrizan dan Khairul Fahmi dilihat masih tidak cergas sepenuhnya. Selain itu, Butler turut mempunyai pilihan untuk menurunkan penjaga gol yang baru didaftarkan iaitu Mohd Fakhrudin Husin tetapi risiko tinggi kerana pemain ini masih belum mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi.

Jentera pertahanan tidak asing lagi dimana S. Subramaniam mungkin akan diletakkan bersama Azizi Mat Rose di bahagian benteng tengah. Daudsu akan bermain seperti biasa di posisi pertahanan kanan manakala Aziz Ismail melengkapkan posisi bawah di pertahanan kiri. Simpanan, Zairul Fitree masih cedera, Farisham, Rizal, Zamri dan Nik Shahrul Azim menanti di "bench" jika Kelantan memerlukan pertukaran.

Barisan tengah merupakan harapan besar pasukan Kelantan untuk merencanakan jaringan gol. Pada pertemuan terdahulu melawan T-Team, Butler menurunkan tiga pemain berpengalaman luas dan pelaburan tersebut dilihat berbaloi bila mana Indra Putra (kiri), Norfarhan (kanan) dan Shakir (center) bertindak cemerlang melakukan beberapa asakan bahaya. Taktikal keatas tiga pemain ini membuatkan barisan tengah Kelantan menjadi semakin ampuh dan menentang Persebaya, mungkin mereka bertiga akan terus dikekalkan biarpun Emmanuel Okine dan Zakaria Charara bakal menjadi pemain yang akan menghalang formasi anak tempatan di tempat tersebut. Badri Radzi serta Nurul Azwan juga mungkin tersenarai dalam kesebelasan utama manakala pemain muda serba boleh, Khairul Izuan Rosli juga dilihat mempunyai peluang cerah biarpun namanya berada di tempat terakhir untuk dipilih masuk bersama dengan S. Chanturu.

Posisi serangan tidak membimbangkan selepas gandingan mantap Antwi-Ghaddar-Norshahrul mungkin terus dikekalkan Butler bagi memecah barisan pertahanan Persebaya. Mereka bertiga sudah membuktikan biarpun mempunyai masalah komunikasi, mereka tetap merbahaya bila bermain bersama dalam satu pasukan. Antwi dengan status penjaring terbanyak pra musim, Ghaddar menjaringkan dua gol dalam dua penampilan dan kepantasan Norshahrul melakukan gelecekan, pintasan, larian serta cubaan tepat pasti menjadi igauan bagi pemain Persebaya. Ramzul Zahini kekal di bangku simpanan, Aris Zaidi mungkin tidak tersenarai manakala Azlan Ismail masih dalam proses pemulihan dari kecederaan panjang.

Persebaya 1927

Persebaya tidak mempunyai pilihan lain untuk diturunkan selaku penjaga gol utama selain Dedi Iman Sukango. Mereka hanya membawa pemain ini ke Kota Bharu selepas dua penjaga gol yang lain terpaksa direhatkan akibat masalah pasport dan kecederaan. Dedi Iman bagaimanapun dipertanggungjawab sepenuhnya mengawal kubu Persebaya selama 90 minit biarpun pada perlawanan Liga Prima beberapa minggu lalu melakukan kesilapan mudah yang membawa kekalahan kepada The Green Force.

Posisi pertahanan pula, kemungkinan Mat Halil dan Khomad Suharto akan mengetuai posisi terakhir termasuk pemain import yang berasal dari Brazil, Otavio Dutra. Ketua jurulatih mereka, Divaldo juga mempunyai beberapa lagi pilihan untuk melengkapkan barisan pertahanan melalui Revalino Ardiles, Nur Fasta, Erol Iba, dan Aulia Ardli.

Jentera tengah pula, tonggak utama yang menyarung jersi "Timnas Indonesia u-23", Andik Vermansyah akan diharapkan menjadi perancang utama ke arah kubu Sang Kijang. Bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain sayap, Muhamad Taufiq, Persebaya sebenarnya memberi tugas kepada dua pemain ini untuk mengucar kacirkan pertahanan tuan rumah. Selain itu, mereka turut dibantu pemain import berkelas tinggi, Alexandre da Silva Mariano atau Amaral dan beberapa tonggak tempatan Surabaya yang berkaliber seperti Ryan Wahyu, Edi Gunawan dan Jusmadi Adang.

Posisi serangan, Miko Adrianto serta Andrew Barisic dari Australia yang akan bertindak selaku pengempur utama kerana Divaldo menyenaraikan dua pemain ini untuk memberikan mereka sekurang-kurangnya jaringan tempat lawan sebelum aksi timbal balik di kandang sendiri pada minggu depan.

Barisan Jangkaan kelatebola
Kelantan

Syazwan Yusoff
Daudsu Jamaludin--Azizi Mat Rose--S.Subramaniam--Aziz Ismail
Norfarhan Mohamad --Shakir Shaari (Kp)-- Indra Putra Mahayuddin
Denny Antwi-- Mohamed Ghaddar-- Norshahrul Idlan Talaha

mln

Andrew Barisic--Miko Adrianto
Andik Vermansyah--Amaral--Jusmadi Adang--Muhamad Taufiq
Khomad Suharto--Otavio Dutra--Mat Halil--Erol Iba
Dedi Iman Sukango

Persebaya 1927


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular