KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 1 Disember 2011


Pra Musim Terakhir Kelantan Di Luar Negeri.

Persiapan Kelantan di luar negeri menuju kemuncak apabila turun perlawanan terakhir menentang Perak di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.


Selepas ini, semua pemain Kelantan akan dibawa pulang ke Kota Bharu untuk menjalani sesi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan yang telah diatur sehingga penghujung Disember nanti.

Sepanjang aksi yang dilalui di luar Kelantan, mereka berjaya mencatatkan tiga kemenangan ke atas Maldives, Balestier Khalsa serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu kekalahan kepada Negeri Sembilan.

Pertemuan melawan Perak sememangnya sangat dinantikan semua penyokong Merah Putih kerana dijangka kesemua pemain terbaru bersama tenaga import akan diturunkan buat pertama kali.

Mengetuai senarai ialah penyerang berasal dari Lebanon, Mohamad Ghaddar yang dijangka menyertai Denny Antwi di posisi serangan manakala Albert Banning turut akan beraksi untuk percubaan kedua.

Tiga pemain tempatan yang baru menyertai, Indra Putra Mahayudin, Norfarhan Mohamad dan Azizi Mat Rose turut dijangka mendapat tempat dalam kesebelasan utama pimpinan Peter James Butler.

Beberapa bintang sedia ada seperti Norshahrul Idlan Talaha, Azlan Ismail dan Khairul Fahmi mungkin tidak diturunkan kerana masalah kecederaan dan bercuti buat sementara.

Sementara itu dari kem Perak, Norizan Bakar turut dijangka akan menurunkan barisan terkuat yang dimiliki mereka termasuk menurunkan beberapa pemain import dalam perlawanan ini.

Seladang ketika ini sedang memperkukuhkan pasukan termasuk mencuba pemain baru tempatan selepas kehilangan beberapa tonggak utama mereka kepada pasukan pencabar.

Dijangka Kelantan dan Perak bersaing sengit sesama mereka untuk mempersiapkan pasukan dengan sebaik mungkin untuk menghadapi kejohanan panjang tahun hadapan.

Selain itu, kedua-dua pasukan juga dilihat akan melakukan penilaian awal dengan kekuatan pasukan masing-masing sebelum tirai musim 2012 dibuka sebulan dari sekarang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular