KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 31 Julai 2013

Peringatan Annuar Kepada Skuad Kelantan

Annuar Musa
KOTA BHARU – “Jangan pandang rendah kemampuan pasukan lain.
Demikian ingatkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa kepada barisan pemain The Red Warriors menjelang saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 20 Ogos ini.
Annuar mengakui, skuad The Red Warriors bakal berdepan laluan getir selepas diundi bersama-sama dua lagi gergasi pantai timur, Pahang dan Terengganu serta bekas juara Piala Malaysia 2011 Negeri Sembilan dalam Kumpulan C.
Beliau berkata, kesemua pasukan tersebut mampu memberikan saingan dan The Red Warriors tidak boleh mengambil mudah cabaran dari ketiga-tiga pesaing berkenaan.
Menurutnya, kebiasaan pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan beraksi bermati-matian bagi memastikan mereka mencatatkan kemenangan ke atas The Red Warriors pada perlawanan tersebut.
“Mahu tidak mahu, Kelantan perlu tampil dengan lebih bersedia untuk menghadapi saingan kali ini, memandangkan lawan yang bakal ditentang bukanlah calang-calang pasukan dan kesemuanya sudah masak dengan saingan ini.
“Sehubungan dengan itu, saya harap barisan pemain dapat memberikan aksi terbaik, bagi memastikan peluang kita untuk muncul sebagai juara kumpulan tercapai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambah Annuar, ini penting bagi membolehkan Kelantan mengesahkan laluan ke peringkat seterusnya dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.
Dalam saingan musim ini, Kelantan gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super, namun kekecewaan The Red Warriors terubat selepas status sebagai juara Piala FA berjaya dipertahankan.
Annuar memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan Liga Super mahupun Piala FA.
Katanya, kebiasaannya pasukan yang kurang cemerlang dalam saingan sebelum ini akan menggunakan peluang untuk membuktikan sesuatu selepas gagal melakukannya sebelum ini.
“Pahang dan Terengganu merupakan semi finalis dalam saingan Piala FA musim ini, begitu juga dengan Negeri Sembilan bekas juara Piala Malaysia 2009.
“Ketiga-tiga pasukan ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing dan mereka pasti akan tampil dengan aksi terbaik bagi membuktikan reputasi sebagai salah satu pencabar terkuat kepada Kelantan,” ujarnya.
Sebagai persiapan menjelang saingan Piala Malaysia, Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Selangor dan T-Team masing-masing pada Khamis dan Isnin ini.

Selasa, 30 Julai 2013

Kelantan Mahu Empat warga asing

Azman Ibrahim
KELANTAN berharap FA Malaysia (FAM) akan membolehkan mereka untuk mendaftar empat rakyat asing untuk M-League musim depan.
Juara Piala FA Kelantan percaya langkah ini akan membantu mereka melancarkan serangan serius terhadap AFC Cup.
Setiap pasukan akan dibenarkan untuk menandatangani tiga warga asing musim depan tetapi mestilah Asia.
Walau bagaimanapun Kelantan dan Selangor, yang mempunyai kedua-dua layak untuk Piala AFC, tidak dibenarkan empat import tetapi hanya tiga boleh bermain dalam Liga Super.
Peraturan yang sama telah digunakan untuk mereka musim ini tetapi hanya dua dibenarkan dalam liga.
Walaupun jadual liga domestik sibuk, Kelantan dan Selangor membuat Piala AFC peringkat akhir-16 musim ini sebelum tunduk kepada pasukan ranking lebih rendah dari Hong Kong dan Maldives.
Pengurus Kelantan Azman Ibrahim berkata menghentikan kemajuan peraturan pasukan Malaysia dalam AFC Cup.
"Kita perlu semua import kita untuk bermain dalam liga kerana ia akan membantu mereka mengekalkan kecergasan menjelang kempen Piala AFC," kata Azman baru-baru ini.
"Kami mempunyai satu perlumbaan yang sukar baru-baru ini Piala AFC, sebagai dua pemain tidak mendapat perlawanan yang cukup manakala dua lagi bermain dalam liga tempatan.
"Saya percaya kita boleh buat lebih baik dan jika FAM mahu pasukan untuk membuat kesan pada pertandingan peringkat Asia, ia perlu fleksibel dengan peraturannya."
Kelantan membuat permintaan tidak rasmi untuk badan kebangsaan sebelum permulaan musim yang berterusan tetapi ia telah ditembak jatuh.
The juara bertahan Piala Malaysia secara rasmi akan menyerahkan dalam suatu permintaan bertulis kepada FAM tidak lama lagi.
"Kami berharap FAM akan memberikan permintaan kami kerana kami mencadangkan dasar putaran bagi pasukan dengan empat orang asing. Kami akan berputar menandatangani keempat kita dengan orang lain dalam perlawanan liga, "kata Azman.
Walau bagaimanapun, FAM tidak mungkin untuk memberikan permintaan Kelantan sebagai langkah untuk meningkatkan bilangan warga asing daripada dua kepada tiga telah diluluskan oleh jawatankuasa eksekutif baru-baru ini.
FAM pertandingan pengerusi jawatankuasa Datuk Affandi Hamzah berkata: "Keputusan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar apabila jawatankuasa itu di bawah Datuk Hamidin Mohd Amin. Bagaimanapun, kita akan melihat permintaan itu jika ia datang. "
Tiada pasukan Malaysia telah melampaui peringkat suku akhir sejak permulaan Piala AFC pada tahun 2004.
Hanya empat pasukan - Perak (2004, 2008), Selangor (2006), Kedah (2008) dan Kelantan (2010) - telah dipaparkan di suku akhir. Dengan Ajitpal Singh

Masa untuk Rajagobal berundur


I
RAJAGOBAL (kanan) dikritik hebat selepas Harimau Malaya dibelasah 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare pada Sabtu lalu.


SITUASI Harimau Malaya semakin kritikal selepas mempamerkan persembahan tidak menentu sepanjang mengharungi siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 23 Julai lalu.
Ramai pemerhati menganggap rekod dua kemenangan daripada 12 perlawanan persahabatan di pentas antarabangsa itu tidak dapat memberikan satu keputusan yang positif buat skuad negara.
Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare Sabtu lalu.
Kekalahan itu tidak dapat membendung kemarahan khususnya dalam kalangan peminat-peminat Harimau Malaya.
Rajagobal turut dikecam hebat selepas ranking skuad negara statik di tangga ke-159 dunia kerana Harimau Malaya lebih berminat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan berstatus kelab.
Ramai pengkritik menganggap tindakan tepat untuk menyelamatkan maruah skuad negara ialah dengan memecat Rajagobal yang cukup sinonim dengan pendekatan mahu menguji pemain atau bereksperimen.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) berkata beliau menganggap tindakan untuk memecat Rajagobal bukan satu jalan penyelesaian tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh menilai keupayaan bekas jurulatih Selangor itu.
"Saya rasa, prestasi pasukan negara selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak mampu bertahan sehingga sekarang.
"Rajagobal dilihat semakin 'kuat' biarpun beliau sering menerima kritikan dan pandangan sinis daripada bekas-bekas pemain serta jurulatih kebangsaan.
"Pecat jurulatih bukan satu titik noktah atau sesuatu yang baik buat pasukan tetapi pengurusan (FAM) perlu memandang serius terhadap teguran daripada pihak luar.
"Tidak hanya berminat untuk mencuba pemain bagi mewakili negara tetapi paling mustahak, beliau harus mengambil berat mengenai ranking skuad negara dan pandangan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM) serta Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Tengku Abdullah menggesa Rajagobal memantapkan skuad kendaliannya bagi menghadapi perlawanan penting termasuk menentang Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.
Baginda bertitah, ia bukan masa terbaik buat Rajagobal untuk terus menguji skuad kendaliannya selain mendesak Harimau Malaya mempamerkan persembahan lebih menyakinkan.
Sementara itu, pemain legenda Kelantan, Dali Omar tampil dengan nada berbeza apabila beliau menganggap jurulatih berusia 57 tahun itu telah kehabisan idea untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya.
"Kalau saya, sudah lama pecat (Rajagobal) dan perkara ini sepatut berlaku dua tahun lalu. Dulu beliau pernah berjanji nak letak jawatan secara sukarela.
"Saya sangat menyokong kenyataan Tengku Abdullah. Bagi saya, taktik Rajagobal sudah hancur. Jangan nak eksperimen lagi. Mungkin (kaedah) itu sesuai dengan budak sekolah sahaja," katanya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong penuh kenyataan Dali dengan menegaskan, Rajagobal perlu berundur dengan cara hormat.
"Rajagobal memang bagus tetapi beliau sudah sampai ke tahap tepu. Setiap orang ada batas dan tahapnya.
"Sejujurnya, beliau tidak boleh lagi untuk membimbing Harimau Malaya. Nasihat saya, berundurlah. Orang akan marah jika anda kekal lebih lama.
"Kita perlukan seseorang yang lebih baik," ujarnya.


Aksi Selangor, TRW Dijangka ‘Pukau’ Penonton Di Shah Alam

Kuala Lumpur: Pertembungan naib juara Liga Super, Selangor dan juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Khamis ini dijangka mampu menarik minat sekitar 1,000 penyokong kedua-dua pasukan meskipun ia berlangsung di bulan Ramadan.
Dalam dua pertemuan Liga Super musim ini, Selangor berjaya menewaskan skuad The Red Warriors (TRW) 2-0 di Shah Alam menerusi jaringan Francis Forkey Doe dan Ramez Dayoub sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Kota Bharu.
Tiket RM7
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru, Rosman Mohd Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa mengenakan bayaran tiket RM7 untuk penonton dewasa kerana perlu menampung kos anggota keselamatan.
“Kami jangka perlawanan ini mungkin akan dihadiri sehingga 1,000 penonton dari kedua-dua pasukan, jadi kami perlu memanggil anggota keselamatan dari polis dan Rela untuk memastikan keadaan di tempat duduk penonton terkawal. Ia membabitkan kos dan sebab itulah bayaran tiket RM7 dikenakan,” kata Rosman ketika dihubungi, semalam.
Rosman berkata, kaunter tiket akan dibuka mulai jam 5.30 petang pada hari perlawanan sehingga sepak mula pada jam 9.45 malam.
Kedua-dua pasukan dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini dengan Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama Tentera, Sime Darby dan Johor manakala Kelantan dalam Kumpulan C bersama Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Isnin, 29 Julai 2013

Ujian Getir Pasukan Pantai Timur


Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dijangka berdepan tugas getir untuk mengekalkan piala itu bagi tahun kedua berturut-turut apabila diundi dalam kumpulan maut bersama tiga bekas juara.
Pada majlis undian yang diadakan di Pusat Konvensyen TM, di sini hari ini, juara Piala FA 2013 itu diundi dalam kumpulan C bersama dua jiran mereka iaitu Pahang dan Terengganu selain juara tiga kali, Negeri Sembilan.
Juara Liga Super, Lions XII FC sebaliknya berpeluang cerah untuk menempah slot ke suku akhir berdasarkan faktor kelebihan beraksi di atas padang rumput tiruan di Singapura walaupun diletakkan dalam Kumpulan D bersama juara Liga Perdana, Sarawak serta Perak dan Kedah.
Dalam saingan kumpulan A, juara 32 kali, Selangor, yang merupakan naib juara Liga Super musim ini, diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby FC dan Johor FA.
Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang meraih tangga ketiga dalam saingan Liga Super musim ini, bakal mengetuai cabaran dalam kumpulan B bersama tiga pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS FC, T-Team dan Felda United FC.
Perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia hanya dijadualkan bermula pada 20 Ogos ini untuk memberi laluan kepada pasukan Kelantan dan ATM yang terlibat dalam Kejohanan Bola Sepak Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 12 dan 13 Ogos.
FAM masih mengekalkan format lama dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan itu layak secara automatik ke peringkat suku akhir manakala perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 3 Nov ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ahad, 28 Julai 2013

KAFA Pancing Tiga Anak Kelantan

Nazrin Nawi
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan tiga pemain kelahiran negeri ini yang beraksi dengan pasukan luar bakal memperkuatkan skuad The Red Warriors (TRW)  menjelang saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaupun belum mengumumkan secara rasmi nama ketiga-tiga pemain itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata,  rundingan perpindahan ke TRW selesai.
Annuar berkata, pemain tersenarai menunjukkan minat untuk kembali berkhidmat kepada negeri kelahiran bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan Kelantan.
Menurutnya, perpindahan ketiga-tiga pemain tersebut akan bermula musim depan selepas menamatkan kontrak dengan pasukan yang diwakilinya  Oktober ini.
“Mereka kini dalam proses menyelesaikan urusan bersama pasukan masing-masing dan kita menunggu kedatangan mereka menyertai TRW dan beraksi menjelang saingan Piala Malaysia musim depan,” katanya pada majlis
berbuka puasa TRW bersama 800 anggota tentera 8 Briged dekat Kem Desa Pahlawan.
Dipercayai pemain sayap  pasukan Negeri Sembilan dan pemain kebangsaan, Mohd Nazrin Mohd Nawi yang sebelum ini  dikhabarkan menjadi rebutan beberapa pasukan utama negara sehingga ditawarkan gaji RM40,000 antara nama dikaitkan dengan perpindahan tersebut.
Sebelum ini, Nazrin yang berasal dari Tumpat mengesahkan pasukan Kelantan dan Johor DT  antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun menegaskan beliau akan memilih pasukan memberinya peluang untuk beraksi berbanding tawaran lumayan.

Khamis, 25 Julai 2013

Piya Harap TRW Bukan Dalam Kumpulan Maut

Piya (kanan) sekadar menjalani latihan ringan di bawah pemantauan fisioterapi pasukan, Zainuddin Zakariar.
KETUA pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi berharap pasukannya tidak diundi sekali lagi dalam kumpulan maut pada kempen Piala Malaysia musim ini menjelang majlis pengundian di Menara TM, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Perit berdepan pasukan kuat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Kedah pada saingan musim lalu, Mohd Badhri atau sinonim panggilan Piya berkata, seboleh-bolehnya Kelantan perlu elak bertemu lawan itu pada aksi peringkat kumpulan.
“Tetapi, kami tidak boleh menolak ketentuan kerana semua pasukan perlu melalui proses pengundian. Kita tak tahu siapa lawan kita, harap-harap Kelantan tidak terjebak dalam situasi sama seperti musim lalu.
“Kalau diundi bersama ATM atau Terengganu sekali lagi, terpaksa kita terima. Malah, pasukan Liga Premier seperti Sarawak, Sime Darby FC, Johor dan Kedah juga cukup bagus dan keupayaan mereka tidak boleh dipandang rendah,” katanya.
Pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan itu akui pasukannya berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kejuaraan memandangkan pasukan seperti Terengganu, Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dilihat mampu memberi cabaran sengit pada kempen kali ini.
“Selangor pasti mencanangkan Misi 33 mereka, begitu juga Terengganu dan Johor DT memang cukup kuat. Jika Kelantan dapat masuk final lagi, kami harap dapat jumpa skuad kendalian Fandi Ahmad, rasanya tak puas bertemu mereka dalam perlawanan akhir Piala FA bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, kapten berusia 31 tahun itu berkata, proses pemulihan kecederaan pangkal pahanya menampakkan perkembangan positif meski pun beliau belum mampu menendang bola ketika menjalani latihan bersama Kelantan sepanjang Ramadan ini.
“Mengikut laporan fisioterapi, tahap kecederaan saya telah pulih sebanyak 70 peratus. Saya sudah boleh berlari dan melakukan pecutan, tetapi hendak menyepak bola rasanya belum boleh setakat ini,” katanya.
Perancang tengah itu berkata, beliau tidak akan mengambil risiko beraksi pada dua aksi persahabatan pasukannya awal bulan depan kerana tidak mahu kecederaan berulang dan hanya bersedia diturunkan pada perlawanan
Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) / Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menentang Tampines Rovers, 13 Ogos nanti.

Nazrin Dalam Dilema



Nazrin (kanan) menjadi buruan Kelantan dan Johor DT.
BENARKAH pemain sayap Negeri Sembilan, Mohd Nazrin Nawi ditawarkan gaji RM40,000 sebulan?
Khabarnya, tawaran itu menyebabkan Nazrin terpaksa berfikir dua kali dan membatalkan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan sebuah pasukan dari pantai timur.
Difahamkan, Nazrin hanya terima RM7,000 sebulan dan kontraknya dengan Negeri Sembilan akan tamat musim ini menyebabkan pemain itu terus dikejar pasukan elit.
Nazrin dikatakan mendapat tawaran gaji RM14,000 sebulan dari pasukan gergasi bola sepak tempatan dan ia dipersetujui bersama melalui MoU namun muncul pasukan kedua yang menawarkan kira-kira RM40,000 sebulan untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagi tuan empunya diri, Nazrin menjelaskan faktor tawaran gaji lumayan bukanlah menjadi keutamaan, namun peluang beraksi adalah menjadi alasan untuknya memilih pasukan baru.
“Apa guna jika diberikan gaji lumayan, namun kurang diberi peluang beraksi,” katanya.
Mengakui menerima tawaran dari Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk musim 2014, Nazrin bagaimana pun masih belum membuat keputusan.
“Saya akui menerima tawaran dari Kelantan dan JDT namun buat masa ini belum ada keputusan kerana saya perlu memikirkan aksi bersama Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia yang memulakan tirai 20 Ogos nanti.
“Kontrak saya dengan Negeri Sembilan akan tamat tahun ini atau sebaliknya, tapi tunggulah nanti kerana masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan,” katanya pada Majlis Jamuan Berbuka Puasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama Media di Petaling Jaya, Isnin lalu.
Selepas menyerlah dalam kem latihan pusat di Australia Jun lalu, pemain berusia 25 tahun ini terus mencuri perhatian dengan meledak hatrik membantu pasukannya menewaskan Sabah 4-0 dalam aksi playoff Piala Malaysia.

Jumaat, 19 Julai 2013

FAM tunda tarikh aksi pembukaan Piala Malaysia


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah bersetuju untuk menunda aksi pembukaan Piala Malaysia bagi memberikan laluan kepada Kejuaraan FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos depan.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah memberitahu, aksi pembukaan Piala Malaysia yang dijadualkan pada 17 Ogos telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Ogos.
"Seperti yang kita sedia maklumkan, aksi pembukaan Piala Malaysia berlangsung beberapa hari selepas kejuaraan tersebut.
""Jadi FAM membuat keputusan menunda tarikah asal saingan pembukaan Piala Malaysia bagi membolehkan Kelantan dan ATM serta pasukan lain membuat persediaan lebih rapi," kata Afandi kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksekuti FAM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Untuk rekod, kejuaraan itu menemukan pasukan dari kedua-dua negara tersebut yang mana juara Piala FA, Kelantan akan Juara Piala FA Singapura, Tampines Rovers di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 12 Ogos.
Sehari kemudian, ATM selaku finalis Piala Malaysia akan berdepan dengan juara Piala Singapura, Warriors FC di negara republik itu.

Khamis, 18 Julai 2013

Pertembungan Maruah

PIYA optimis Kelantan mampu memberikan persembahan terbaik ketika menentang Tampines Rovers di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menganggap pertembungan menentang Tampines Rovers pada Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mirip kepada perhitungan maruah antara dua negara iaitu Malaysia dengan Singapura.
Badhri atau Piya berkata, meskipun bakal berdepan cabaran sengit daripada juara Piala FA Singapura itu, Kelantan akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada The Red Warriors.
“Kalau boleh, kami mahu jaga maruah negara. Saya melihat pertembungan ini bukan sekadar aksi antara kelab, malah ia lebih kepada mengembalikan semula maruah negara selepas kita menyerahkan kejuaraan Liga Super kepada Lions XII.
“Jadi, inilah peluang terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan tersebut dengan merangkul kejuaraan ini, sekali gus mengembalikan semula reputasi bola sepak negara,” katanya semalam.
Kejohanan yang julung kali diperkenalkan oleh FAM dan FAS itu akan berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos depan.
Selain Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggalas tugas negara dan akan berdepan dengan juara Piala Singapura, Warriors FC.
Pertemuan antara Kelantan dengan Tampines Rovers akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan bakal kehilangan enam tonggak utamanya yang menggalas tugas bersama skuad Harimau Malaya iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Mat Rose, Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Shakir Shaari, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim dan Mohd. Nor Farhan Mohammad.
Mengulas mengenai kehilangan enam tonggak berkenaan, Piya mengakui, ia mungkin menjejaskan sedikit persiapan pasukan pada pertemuan tersebut.
Namun, dia optimis pengendali Kelantan, Bojan Hodak mempunyai ramuan tersendiri untuk mengekang asakan Tampines Rovers.
“Kita masih mempunyai beberapa tonggak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain tersebut. Inilah peluang terbaik buat pemain yang jarang beraksi untuk membuktikan kemampuan kepada jurulatih,” ujarnya.

Tumpat FA Mungkin Tarik Diri Liga FAM

Tumpat FA
KOTA BHARU – Wakil tunggal Kelantan dalam saingan Liga FAM, Tumpat FA mungkin menarik diri daripada menyertai kejohanan itu jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh dua bulan.
Kelab berkenaan yang dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tumpat memerlukan dana berjumlah hampir RM400,000 bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka.
Jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh tersebut, mereka bukan sahaja terpaksa mengambil tindakan drastik itu tetapi pada masa sama turut berdepan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain digantung beraksi dalam liga kelas ketiga itu.
Setiausaha PBJ Tumpat, Asmadi Rifin berkata, Tumpat FA kini berada dalam keadaan terdesak untuk menyelesaikan masalah kewangan membabitkan perbelanjaan pasukan, selain gaji pemain dan pegawai yang tertunggak sejak empat bulan lalu.
“Kami berharap sangat ada mana-mana pihak seperti sektor korporat atau swasta tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada kami bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kalau dapat separuh daripada jumlah tersebut pun, kami bersyukur kerana setidak-tidaknya boleh melunaskan sebahagian hutang yang ada.
“Banyak pihak mahukan Tumpat FA terus kekal beraksi dalam saingan Liga FAM musim hadapan, namun apa yang kami boleh buat jika masalah ini belum selesai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Asmadi memberitahu, pihaknya pernah menghantar surat kepada kerajaan negeri sebelum ini dan selepas Pilihan Raya Umum lalu bagi meminta bantuan kewangan namun permohonan mereka tidak mendapat maklum balas.
Kata Asmadi, sekiranya pihaknya turut gagal mendapat wang tajaan menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan pada 1 September nanti, Tumpat FA perlu mengucap selamat tinggal daripada beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2014.
“Kalau gagal beraksi, mungkin kami perlu mengeksport mana-mana pemain yang difikirkan bagus kepada pasukan lain. Apa pun, kami mengambil pendekatan tunggu dan lihat dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan,” ujarnya.
Tumpat FA yang membuat penampilan pertama beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini sekadar menamatkan saingan dengan menduduki tempat kelapan daripada 11 pasukan bertanding, selepas mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan.

KAFA Perlu Tumpu Pembangunan Akar Umbi



Ahmad Jazlan Yaakub
“PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) kena tumpu usaha melahirkan pemain bintang kelahiran negeri sendiri.”
Itu nasihat mantan Presidennya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mahu Kafa kembali ke matlamat asal dengan berusaha menggilap seramai mungkin pemain negeri yang berkaliber tanpa mengharapkan sumbangan pemain import tempatan.
Ahmad Jazlan berkata, beliau bimbang sekiranya usaha dipinggirkan, The Red Warriors berdepan situasi sukar untuk mengekalkan kejuaraan dan gelaran status pasukan gergasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Beberapa pemain yang ada pada hari ini seperti Mohd Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Farisham Ismail merupakan produk asal dilahirkan Kafa sendiri sekitar 10 tahun lalu
“Kita kena akui, kejayaan Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil sumbangan pemain luar. Kelantan akan ketandusan pemain tempatan sekiranya program pembangunan di peringkat akar umbi tidak diberi perhatian,” katanya.
Menurut Ahmad Jazlan, apa yang berlaku kepada beberapa pasukan seperti Perlis, Kedah dan Selangor yang pernah meraih pelbagai kejuaraan sebelum terjerumus ke dalam zaman gelap perlu dijadikan pengajaran buat Kelantan untuk menghadapi saingan liga yang kian mencabar.
Katanya, Kafa perlu berusaha membawa pulang beberapa pemain seperti Ahmad Ezrie Shafizie Sazali yang beraksi Johor Darul Takzim, Mohd Nizab Ayub (PKNS FC) dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor) bagi memperkasakan pasukan Kelantan pada masa depan.
“Mereka ini bukan tidak bagus tetapi pada satu ketika dibayangi ramai pemain bintang. Macam mana hendak tunjukkan kehebatan jika ruang untuk bermain terlalu sempit, sekadar beraksi 15 hingga 20 minit dalam lima atau enam perlawanan itu tidak cukup,” katanya.
Ahmad Jazlan yang pernah menerajui Kafa dari tahun 2004 hingga 2008 berkata, usaha dicetuskan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mewujudkan Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (Army) dipuji namun ia belum mencukupi untuk melahirkan ramai pemain pelapis.
“Paling penting jangan anggap kewujudan skuad Belia dan Piala Presiden sekadar pelengkap kejohanan. Kafa kena turun padang, buat klinik bola sepak dan  pilih pemain berumur 16 atau 17 tahun, kemudian kita asah bakat mereka dalam beberapa tempoh tertentu supaya boleh menjadi pelapis negeri pada suatu hari nanti,” katanya.

Ahad, 14 Julai 2013

Piya Tak Tipu


KAPTEN Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya menjawab isu mengenai kegagalannya melaporkan diri bagi mengikuti kem latihan skuad Harimau Malaya yang bermula di padang Wisma FAM di Kelana Jaya.
Kapten Kelantan akan kemukakan laporan perubatan doktor yang merawatnya kepada FAM
Kota Bharu: Kapten berpengaruh Kelantan, Mohd Badhri Radzi sedia menjalani pemeriksaan kesihatan susulan dan fisioterapi di Wisma FAM untuk membuktikan dia benar-benar mengalami kecederaan hamstring.
“Saya ada bukti bahawa saya memang mengalami kecederaan. Kalau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berpuas hati, saya sedia serahkan bukti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Saya buat pemeriksaan perubatan di Hospital Pakar Perdana selepas perlawanan akhir itu dan doktor mengesahkan hamstring saya cedera dan perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu.” Mohd Badhri Radzi
Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2013 itu mengulas laporan akhbar semalam mengenai Pengurus Pasukan Harimau Malaya Datuk Seri Subahan Kamal berkata tindakan tegas menanti pemain itu kerana gagal melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Khamis lalu.
Ketua Jurulatih Kebangsaan Datuk K Rajagobal pula berkata beliau terpaksa menggugurkan Mohd Badhri dan penyerang Pahang, Azamuddin Akil selepas kedua-dua pemain mengalami kecederaan.
Surat tunjuk sebab
Beliau berkata bagaimanapun Mohd Badhri perlu datang kerana doktor dan fisioterapi FAM perlu mengesahkan kecederaan yang dialaminya.
Setakat ini, FAM sudah mendapat pengesahan kecederaan patah jari Azammuddin.
Pemain tengah Kelantan yang lebih dikenali sebagai Piya itu berkata, dia akan menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM bagi menjelaskan punca kegagalannya melaporkan diri bersama skuad kebangsaan Khamis lalu.
“Selain surat tunjuk sebab, saya akan mengemukakan laporan perubatan kecederaan hamstring daripada doktor yang merawat saya kepada FAM,” katanya.
Piya mendakwa ada menghubungi pembantu jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk membuat laporan secara tidak rasmi sejurus disahkan cedera selepas perlawanan akhir Liga Super menentang Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, baru-baru ini.
“Saya buat pemeriksaan perubatan di Hospital Pakar Perdana selepas perlawanan akhir itu dan doktor mengesahkan hamstring saya cedera dan perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu.
“Doktor turut menasihatkan saya menjalani rawatan di Kota Bharu. Sekiranya FAM tidak berpuas hati, saya terpaksa pergi ke Kelana Jaya untuk melaporkan diri,” katanya.
Piya antara tujuh pemain dari pasukan Kelantan yang dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan dua kelab ternama dunia, Chelsea dan Barcelona.
Enam pemain lagi ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat; Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim; Azizi Mat Rose; Mohd Shakir Shaari; Mohd Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani.

Piya Pertahan Alasan


Mohd. Badhri Mohd. Radzi
KOTA BHARU – Kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melapor diri dalam latihan skuad kebangsaan.
Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia akan mengemukakan surat tunjuk sebab bersama laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di sini (Kota Bharu), sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super bertemu Lions XII pada 6 Julai lalu.
Menurut Piya, pemeriksaan yang dibuat mengesahkan dia mengalami kecederaan otot paha (hamstring) dan doktor yang memeriksa menasihatkannya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan.
“Jika mahu surat tunjuk sebab, saya bersedia mengemukakannya bersama dengan laporan perubatan yang dibuat sebelum ini, termasuklah daripada pegawai fisioterapi pasukan.
“Sebelum ini, saya telah menghubungi penolong jurulatih (Tan Cheng Ho) bagi memaklumkan kecederaan yang dialami. Namun, dalam masa yang sama dia (Cheng Ho) menyuruh saya hadir dan membuat laporan.
“Tetapi mengikut kata doktor yang membuat pemeriksaan sebelum ini, menyuruh saya mengikuti sesi rawatan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Tambahnya, dia juga bersedia ke Kuala Lumpur untuk melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan dan menjelaskan perkara itu.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal meminta pemain berusia 31 tahun itu membalas surat tunjuk sebab kepada pengurusan FAM.
Malah, Piya bakal berdepan tindakan tatatertib jika tiada sebarang alasan kukuh tidak menghadirkan diri dan besar kemungkinan tidak akan lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Kegagalan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan itu menimbulkan pelbagai polemik sehingga ada yang sesetengah pihak yang mendakwa pemain berkenaan sengaja tidak menghadirkan diri.
Piya antara tujuh pemain dari pasukan Kelantan iaitu, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.
Pemain yang terkenal dengan ‘hantaran maut’ itu berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu, dia sedikit terkilan kerana tidak bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.
“Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Catatan Popular