KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 18 Julai 2013

Tumpat FA Mungkin Tarik Diri Liga FAM

Tumpat FA
KOTA BHARU – Wakil tunggal Kelantan dalam saingan Liga FAM, Tumpat FA mungkin menarik diri daripada menyertai kejohanan itu jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh dua bulan.
Kelab berkenaan yang dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tumpat memerlukan dana berjumlah hampir RM400,000 bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka.
Jika masalah kewangan yang membelenggu kelab berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh tersebut, mereka bukan sahaja terpaksa mengambil tindakan drastik itu tetapi pada masa sama turut berdepan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain digantung beraksi dalam liga kelas ketiga itu.
Setiausaha PBJ Tumpat, Asmadi Rifin berkata, Tumpat FA kini berada dalam keadaan terdesak untuk menyelesaikan masalah kewangan membabitkan perbelanjaan pasukan, selain gaji pemain dan pegawai yang tertunggak sejak empat bulan lalu.
“Kami berharap sangat ada mana-mana pihak seperti sektor korporat atau swasta tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada kami bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kalau dapat separuh daripada jumlah tersebut pun, kami bersyukur kerana setidak-tidaknya boleh melunaskan sebahagian hutang yang ada.
“Banyak pihak mahukan Tumpat FA terus kekal beraksi dalam saingan Liga FAM musim hadapan, namun apa yang kami boleh buat jika masalah ini belum selesai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Asmadi memberitahu, pihaknya pernah menghantar surat kepada kerajaan negeri sebelum ini dan selepas Pilihan Raya Umum lalu bagi meminta bantuan kewangan namun permohonan mereka tidak mendapat maklum balas.
Kata Asmadi, sekiranya pihaknya turut gagal mendapat wang tajaan menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan pada 1 September nanti, Tumpat FA perlu mengucap selamat tinggal daripada beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2014.
“Kalau gagal beraksi, mungkin kami perlu mengeksport mana-mana pemain yang difikirkan bagus kepada pasukan lain. Apa pun, kami mengambil pendekatan tunggu dan lihat dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan,” ujarnya.
Tumpat FA yang membuat penampilan pertama beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini sekadar menamatkan saingan dengan menduduki tempat kelapan daripada 11 pasukan bertanding, selepas mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular