KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 4 Julai 2013

Azizi mahu kekal tempat





KEJAYAAN Kelantan mepertahankan Piala FA di Stadium Bukit Jalil kelmarin selepas menewaskan Johor Darul Takzim 1-0 merupakan detik yang sangat manis bagi pertahanan tengah The Red Warriors itu, Azizi Matt Rose.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan pilihan utama gergasi Pantai Timur itu di benteng pertahanan sebelum kecederaan lutut yang serius menyebabkan beliau terlepas aksi saingan Liga Malaysia selama setahun.

Azizi yang cedera pada perlawanan Piala Sumbangsih tahun lalu kembali selepas beberapa bulan, namun sekali lagi kecederaan ‘Anterior Cruciate Ligament (ACL)’ ketika bermain dalam satu perlawanan persahabatan memaksa pemain kelahiran Kangar itu menjalani pembedahan yang memerlukan rehat selama enam bulan.

Pada final Piala FA, Azizi diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Bojan Hodak dan pemain itu membalas kepercayaan jurulatih Croatia itu dengan persembahan yang cukup memberangsangkan.

“Pertama sekali saya berasa syukur dan gembira kerana dapat menang malam ini,” kata Azizi ketika ditemui selepas upacara penyampaian piala dan pingat.

“Kaki saya pun semakin baik dan boleh dikatakan sudah pulih sepenuhnya selepas pembedahan.”

Selepas aksi bermutu tinggi yang ditunjukkannya pada hari Sabtu, pemain itu mengakui bahawa misi seterusnya adalah untuk kekal dalam pasukan utama TRW.

“Saya akan cuba kekalkan tempat saya dalam kesebelasan utama sekarang dan saya akan beri seratus peratus setiap kali turun berlatih dan bermain.

Kelantan, yang juga merupakan juara bertahan Liga Super sudah tidak berpeluang untuk mengekalkan takhta liga mereka dan mengikut Azizi, fokus pasukan sekarang beralih ke Piala Malaysia yang akan bermula selepas bulan Ramadhan.

“Kami dah mulakan persiapan untuk mempertahankan Piala Malaysia kerana Liga Super sudah terlepas, dan Insya-Allah kami akan menang piala berprestij itu,” ujar Azizi dengan penuh keyakinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular