KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 18 Julai 2013

KAFA Perlu Tumpu Pembangunan Akar Umbi



Ahmad Jazlan Yaakub
“PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) kena tumpu usaha melahirkan pemain bintang kelahiran negeri sendiri.”
Itu nasihat mantan Presidennya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mahu Kafa kembali ke matlamat asal dengan berusaha menggilap seramai mungkin pemain negeri yang berkaliber tanpa mengharapkan sumbangan pemain import tempatan.
Ahmad Jazlan berkata, beliau bimbang sekiranya usaha dipinggirkan, The Red Warriors berdepan situasi sukar untuk mengekalkan kejuaraan dan gelaran status pasukan gergasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Beberapa pemain yang ada pada hari ini seperti Mohd Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Farisham Ismail merupakan produk asal dilahirkan Kafa sendiri sekitar 10 tahun lalu
“Kita kena akui, kejayaan Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil sumbangan pemain luar. Kelantan akan ketandusan pemain tempatan sekiranya program pembangunan di peringkat akar umbi tidak diberi perhatian,” katanya.
Menurut Ahmad Jazlan, apa yang berlaku kepada beberapa pasukan seperti Perlis, Kedah dan Selangor yang pernah meraih pelbagai kejuaraan sebelum terjerumus ke dalam zaman gelap perlu dijadikan pengajaran buat Kelantan untuk menghadapi saingan liga yang kian mencabar.
Katanya, Kafa perlu berusaha membawa pulang beberapa pemain seperti Ahmad Ezrie Shafizie Sazali yang beraksi Johor Darul Takzim, Mohd Nizab Ayub (PKNS FC) dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor) bagi memperkasakan pasukan Kelantan pada masa depan.
“Mereka ini bukan tidak bagus tetapi pada satu ketika dibayangi ramai pemain bintang. Macam mana hendak tunjukkan kehebatan jika ruang untuk bermain terlalu sempit, sekadar beraksi 15 hingga 20 minit dalam lima atau enam perlawanan itu tidak cukup,” katanya.
Ahmad Jazlan yang pernah menerajui Kafa dari tahun 2004 hingga 2008 berkata, usaha dicetuskan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mewujudkan Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (Army) dipuji namun ia belum mencukupi untuk melahirkan ramai pemain pelapis.
“Paling penting jangan anggap kewujudan skuad Belia dan Piala Presiden sekadar pelengkap kejohanan. Kafa kena turun padang, buat klinik bola sepak dan  pilih pemain berumur 16 atau 17 tahun, kemudian kita asah bakat mereka dalam beberapa tempoh tertentu supaya boleh menjadi pelapis negeri pada suatu hari nanti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular