KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 7 Julai 2013

TRW Akhiri Empat Terbaik


KELANTAN 2
Mohd Badhri Radzi (m-5)
Dickson Nwakaeme (m-58)
LIONS XII 0
KOTA BHARU –  The Red Warriors mengakhiri saingan Liga Super musim ini dalam kelompok empat pasukan terbaik setelah mengatasi Lions XII 2-0 pada perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Anak buah Bojan Hodak berjaya merealisasikan hasrat tersebut apabila mudah membenam juara baharu Liga Super itu sambil turut dibantu ‘ihsan’ Perak yang melakar kejutan setelah menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia 1-0 pada satu lagi perlawanan yang berlangsung di Paroi.
Kelantan yang turun tanpa Obinna Nwaneri bermula garang ketika perlawanan baharu memasuki minit pertama apabila Mohd Faiz Subri bijak melorong bola kepada Ahmad Fakri Saarani di dalam kotak penalti namun penjaga gol Lions XII, Muhammad Khairulhin Mohd Khalid pantas meluru untuk menyelamatkan keadaan.
Tiga minit kemudian, Mohd Daudsu Jamaludin mengilhamkan umpanan cantik kepada Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi dan beliau sempat menggelecek Muhammad Khairulhin sebelum mengumpan kepada Ahmad Fakri namun rembatan penyerang berusia 24 tahun itu dihadang pemain pertahanan pelawat.
Jeneral padang berusia 31 tahun itu bagaimana pun memastikan Kelantan unggul di depan seminit kemudian apabila melakukan magis sekali lagi menerusi sepakan penjuru ‘inswinger’nya yang terus menerjah jaring untuk mengelirukan Muhammad Khairulhin di pintu golnya.
Lions XII yang baharu dinobatkan selaku juara Liga Super bangkit memberi tentangan pada minit ke-10 menerusi sepakan bebas Muhammad Zulfahmi Mohd Ariffin namun percubaan beliau mudah dibaca penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Pelawat yang merehatkan penyerang sensasinya, Mohammad Shahril Ishak sekali lagi mencemaskan gawang tuan rumah tiga minit kemudian juga menerusi sepakan percuma kali ini giliran Muhammad Shahfiq Ghani memaksa Khairul Fahmi menepis keluar percubaannya.
Aksi seterusnya memperlihatkan penguasaan jentera tengah Lions XII yang berusaha menembusi gawang tuan rumah melalui sebelah kiri namun gandingan mantap Mohd Daudsu dan Azizi Matt Rose berjaya menafikan peluang pasukan pelawat.
Menuju minit ke-31, Lions XII hampir menyamakan kedudukan namun sepakan percuma Muhammad Shahfiq pada jarak 35 meter mengenai palang gol tuan rumah ketika Khairul Fahmi tertewas diposisinya.
Begitu pun, tuan rumah membalas serangan Lions XII seminit kemudian apabila Mohd Norfarhan Muhammad mengumpan bola kepada Dickson Nwakaeme namun rembatan penyerang import kelahiran Nigeria itu terlalu mudah buat Muhammad Khairulhin.
Kelantan terus mempamerkan aksi bertenaga di hadapan hampir 20,000 penyokong setia mereka apabila Mohd Faiz bijak melakukan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti Lions XII namun gagal disambar Nwakaeme yang berkeseorangan pada minit ke-34.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Mohd Faiz sedaya-upaya cuba mencetak nama selaku penjaring gol namun rembatan derasnya dalam kotak penalti setelah memperdayakan Muhammad Izzdin Shafiq Yacob diselamatkan penjaga gol Lions XII.
Bersambung babak seterusnya, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang namun tuan rumah terus memberi tekanan hasil sepakan percuma Mohd Badhri yang menerjah jaring sisi kanan Lions XII pada minit ke-52.
Kelantan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-57 apabila Mohd Badhri melakukan hantaran silang berkualiti dan sempat ditampan Ahmad Fakri namun rembatan bekas penyerang Harimau Muda itu tersasar di sebelah kiri gawang Lions XII.
Suasana di stadium keramat itu kembali gamat dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Nwakaeme menjaringkan gol kedua Kelantan seminit kemudian.
Mohd Badhri membuktikan beliau sememangnya layak digelar perancang tengah terbaik negara ketika ini apabila sepakan bebas jarak jauhnya membolehkan Nwakaeme merembat kencang menerusi kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol Lions XII.
Tertekan dengan jaringan tersebut, pengendali Lions XII, V Sundramoorthy memasukkan Muhammad Syafiq Mohamed Zainal bagi menguatkan jentera serangan mereka namun buntu merapatkan jurang apabila hantaran lintang Muhammad Fazli Ayub diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-67.
Sebaliknya, anak buah Hodak terus ghairah untuk menjarakkan kedudukan pada minit ke-69 apabila Nwakaeme mudah meloloskan diri daripada Kapten Lions XII, Baihakki Khaizan namun hantaran silangnya di sebelah kanan gawang gagal disudahi rakan sepasukannya.
Kelantan bagaimana pun dilihat mula mengendurkan corak permainan selepas itu dan situasi tersebut dimanfaatkan pemain Lions XII menerusi serangan bertali arus kedua-dua sayap mereka namun dikecewakan oleh kekentalan benteng pertahanan tuan rumah.
Satu-satunya peluang terbaik Lions XII hadir pada minit ke-73 setelah Mohd Badhri kehilangan bola namun kegopohan Muhammad Syafiq menyaksikan rembatannya tersasar jauh daripada gawang Kelantan.
Minit-minit akhir masa kecederaan, pelawat seharusnya memperoleh gol sagu hati namun tandukan Baihakki hasil sepakan penjuru Muhammad Fazli diselamatkan Mohamad Zamri Ramli di atas garisan gol Kelantan untuk keputusan 2-0 kekal memihak tuan rumah.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Matt Rose, Mohd Farisham Ismail, Mohd Faiz Subri (Indra Putra Mahayuddin), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP) (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Mohd Norfarhan Muhammad (Mohamad Zamri Ramli), Ahmad Fakri Saarani dan Dickson Nwakaeme.
FORMASI : 4-4-2
LIONS XII – Muhammad Khairulhin Mohd Khalid, Muhammad Faris Azienuddin Khaeri, Baihakki Khaizan (KP), Muhammad Hafiz Abu Sujad, Madhu Mohana, Muhammad Fazli Ayub, Safirul Sulaiman, Muhammad Izzdin Shafiq Yacob, Aqhari Abdullah, Muhammad Zulfahmi Mohd Arifin (Muhammad Khairul Nizam Mohammad) dan Muhammad Shahfiq Ghani (Muhammad Syafiq Mohamed Zainal).
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (5) Lions XII (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Lions XII (1)
Sepakan penjuru : Kelantan (4) Lions XII (5)
Sepakan percuma : Kelantan (22) Lions XII (19)
Ofsaid : Kelantan (4) Lions XII (3)
Kekasaran : Kelantan (14) Lions XII (19)
Kad kuning : Lions XII (Muhammad Zulfahmi Mohd Arifin dan Muhammad Hafiz Abu Sujad)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (53%) Lions XII (47%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Suhaimi Mat Hassan
Penolong Pengadil 1: Sabri Mat Daud
Penolong Pengadil 2: Muhammad Mu’azi Zainal Abidin
Pegawai Keempat : Asmadi Ibrahim
Kommissioner Perlawanan : Abd Rais Mohd Saarani
Penilai Pengadil : Ahmad Khalidi Supian
General Koordinator : Arif Hassan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular