KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 31 Ogos 2013

Kelantan Tewas Di Halaman Sendiri



Juara Piala Malaysia 2012, Kelantan terpaksa akur dengan magis Negeri Sembilan apabila tewas 2-3 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Sultan Muhammed IV, sebentar tadi.
     
     Dalam aksi yang dihadiri hampir 20,000 penyokong setia kito itu, S.Sivanesan membuka tirai jaringan pada minit ke-13 sebelum Indra Putra menyamakan kedudukan pada minit ke-37. Fakri Saarani menceriakan penyokong tuan rumah apabila tandukannya tepat ke tiang dalam gol Negeri Sembilan untuk tuan rumah mendahului 2-1 pada minit ke-48.

      Namun, Fabio menyamakan kedudukan pada minit ke-57. 13 minit menuju wisel penamat, Fabio terus menghampakan penyokong kito apabila menjaringkan gol kemenangan Skuad Jang. Dengan keputusan itu, Kelantan kini perlu menekan butang panik dan harus menang semua baki perlawanan untuk layak ke Suku Akhir. InsyaAllah dengan izinNYA, kita mampu.

Hodak Akur Jang Hebat


Penyerang Kelantan, Norfarhan Mohammad diasak pemain Negeri Sembilan, William Mobibo dalam aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013.
KEKENTALAN jentera tengah Negeri Sembilan menjadi punca penyandang juara Piala Malaysia, Kelantan gagal meraih mata penuh setelah diikat seri 1-1 pada aksi ketiga kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Ini diakui pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak yang menyifatkan percaturan Negeri Sembilan meletakkan lima pemain di posisi tengah menyukarkan pergerakan barisan pemainnya mencipta gerakan berbahaya dalam perlawanan tersebut.
“Formasi 4-5-1 mereka memberi kesulitan kepada kami. Pemain tengah mereka cukup rajin, sentiasa bekerja keras dan berlari ke segenap penjuru padang dan kami berdepan masalah untuk menembusi pintu gol mereka.
“Kami terselamat daripada kekalahan kerana sepakan penalti Negeri Sembilan gagal menghasilkan jaringan.  Mereka (pemain) begitu bersemangat, mahu bangkit daripada kekalahan kepada Pahang dan memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Dickson Nwakaeme pada minit ke-40 namun penyerang import Negeri Sembilan, Fabio Leandro Barbosa  menyamakan kedudukan bagi pasukannya 20 minit kemudian.
Usaha untuk menewaskan skuad Jang menjadi bertambah sukar apabila Hodak secara jujur memberitahu beberapa tonggak utamanya beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar mengakibatkan pasukannya gagal meraih mata penuh pada perlawanan tersebut.
“Memang Piya (Mohd Badhri Radzi) kurang memuaskan tetapi dia mempamerkan aksi sebaik mungkin dalam perlawanan ini.
“Mohd Faiz Subri gagal menampilkan keyakinan tinggi, memaksa saya menggantikannya dengan Indra Putra Mahayuddin dalam babak kedua,” katanya.
Lebih parah bagi jurulatih kelahiran Croatia itu, apabila kehilangan Nwakaeme untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari termasuk pada pertemuan timbal balas menentang lawan sama di Kota Bharu pada Sabtu ini akibat kecederaan otot.
Dengan saingan kumpulan C dilihat seimbang membabitkan empat negeri ketika ini, Hodak menegaskan pasukannya perlu bangkit menewaskan Negeri Sembilan bagi memastikan salah satu slot ke suku akhir menjadi milik mereka

Rabu, 28 Ogos 2013

Negeri Sembilan 1-1 Kelantan

Negeri Sembilan’s Nazrin Nawi rose to the occasion and tormented the Kelantan defence
Di atas kertas, malam tadi perlawanan Kumpulan C antara Negeri Sembilan dan Kelantan kelihatan berada dalam Red Warriors 'memihak, memandangkan perbezaan yang luas dalam kedua-dua pasukan' nasib musim ini. Walau bagaimanapun, Negeri Sembilan telah sentiasa menjadi pasukan Piala Malaysia dan jaringan akhir, 1-1 membuktikan bahawa mereka adalah hasrat untuk mengambil cawan dengan mereka ke Liga Perdana musim depan.
Pada bahagian belakang prestasi yang cekal Jangs menentang Kelantan selepas ketinggalan di belakang dalam separuh pertama, adalah penentuan tak pernah sayap mereka Nazrin Nawi untuk membantu pasukannya mendapat tempat di rumah, menentang pasukan kampung halamannya.
Beliau uncharacteristically tenang di separuh masa pertama, dan Negeri Sembilan dengan sewajarnya kelihatan lesu dan uninventive tanpa berjalan slaloming biasa beliau. Dan ini membawa kepada mereka akan ketinggalan untuk pelawat pada separuh pertama.
Namun apabila separuh kedua semula, 25 tahun datang hidup untuk mengancam pertahanan Kelantan, menggelecek ke dalam kotak penalti mereka dengan yakin, dan bertukar-tukar garisan tepi dengan rakan sepasukan di sisi lain padang. Ini buah-buahan melahirkan pada minit ke-60 apabila silang rendah yang dijumpai Leandro Fabio untuk menjadikannya 1-1.
Ia adalah jenis ini prestasi cemerlang yang telah dibuat di Tumpat, Kelantan yang dilahirkan Pemain salah satu bunga api beberapa cerah dalam musim sebaliknya miskin untuk Negeri Sembilan, yang juga bermakna bahawa beliau adalah sasaran untuk beberapa pasukan untuk musim akan datang, termasuk Kelantan sendiri . Kelantan pasti akan perlu meningkatkan usaha mereka untuk menandatangani beliau, selepas berada pada akhir menerima prestasi Nazrin itu sendiri.

Selasa, 27 Ogos 2013

Kelantan Tidak Ambil Mudah Bertemu Negeri Sembilan


Bojan Hodak
KOTA BHARU – Kelantan mahu meneruskan momentum kemenangan berdepan Negeri Sembilan pada aksi ketiga Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam ini.
Meskipun masih segar dengan kemenangan menewaskan seteru tradisi Terengganu 2-0 Sabtu lalu, pengendalinya, Bojan Hodak enggan mendabik dada, sebaliknya meramalkan pasukannya bakal berdepan ujian getir dalam perlawanan tersebut.
Hodak berkata, Negeri Sembilan pasti bangkit dan beraksi bermati-matian selepas mereka tumbang 5-3 kepada Pahang pada perlawanan Sabtu lalu.
“Mereka (Negeri Sembilan) merupakan salah satu pasukan yang liat untuk ditewaskan. Walaupun kalah kepada Pahang tempoh hari, namun mereka kuat bekerja dan berjaya bangkit menjaringkan tiga gol walaupun ketinggalan.
“Kesungguhan tersebut membuktikan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah. Oleh itu kita perlu kuatkan mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Kelantan menerima khabar gembira apabila penyerangnya Ahmad Fakri Saarani yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning dalam aksi pertama dengan Pahang lalu sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu.
Hodak memberitahu, kehadiran Ahmad Fakri dijangka memberikan variasi pilihan kepadanya untuk merencana ketajaman penyudah di bahagian serangan The Red Warriors.
“Saya yakin dan percaya ketumpulan jentera serangan dijangka dapat diatasi dengan kehadiran pemain berkenaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak berkata, jika The Red Warriors menang pada perlawanan itu, pasukannya dijangka mempunyai kelebihan untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kita masih ada empat perlawanan termasuk malam esok (ini). Apa-apa pun boleh berlaku, tetapi saya percaya jika menang malam esok (ini). Ia akan menjadi suntikan moral buat pemain untuk menghadapi baki perlawanan selepas ini,” ujarnya.

RAMALAN PERLAWANAN: NEGERI SEMBILAN VS KELANTAN





Bagi pihak kami, kami memilihi Kelantan Menang

Kelantan 3-1 Negeri Sembilan

Namun, pihak kami juga mendapatkan ramalan dari peminat seperti gambar dibawah dimana kebanyakn mereka memilih Kelantan dengan jaringan 2 berbalas 1


Namun ia hanya diatas kertas dan ramalan sahaja, pasukan TRW perlu menang dengan jaringan besar atau sekali lagi mengigit jari dengan seri atau kalah!

Gomo Kelate Gomo!!

Ahad, 25 Ogos 2013

TRW Raih Kemenangan Pertama



KOTA BHARU – Juara bertahan, The Red Warriors meraih kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia  setelah menewaskan musuh tradisi, Terengganu 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan menduduki tangga kedua Kumpulan C setelah berkongsi mata dengan Pahang yang turut melakarkan kemenangan bergaya 5-3 ke atas Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Paroi.
Kelantan bermula garang ketika perlawanan baharu memasuki minit kelima apabila Mohd Norfarhan Muhammad melakukan hantaran silang sehingga mencetuskan situasi kelam-kabut di depan gawang Terengganu namun rembatan leret Mohd Faiz Subri tersasar di sebelah kanan.
Terengganu yang turun dengan misi memburu kemenangan melakukan serangan balas pantas tiga minit kemudian setelah Indra Putra Mahayuddin hilang bola di kawasan tengah padang  namun hantaran lintang G Puaneswaran gagal disambut rakan sepasukannya.
Dickson Nwakaeme bagaimana pun memastikan Kelantan berada di depan apabila meledakkan gol pertama dua minit kemudian. Hantaran lambung Kapten, Mohd Badhri Radzi dari tengah berjaya memerangkap Vincent Bikana sekali gus membolehkan penyerang import Nigeria itu menanduk masuk menewaskan Mohd Shamirza Yusoff.
Tertekan dengan jaringan tersebut, Terengganu kembali mengatur serangan pada minit ke-12. Hasilnya Jean Emmanuel Effa Owona sempat melepaskan rembatan meski pun dikawal ketat pertahanan tuan rumah namun terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah kembali mempamerkan aksi menghiburkan di hadapan hampir 12,000 penyokong setia apabila Indra Putra mencipta peluang dua minit kemudian dengan menolak bola ke belakang untuk Nwakaeme namun rembatan derasnya terus ke dakapan Mohd Shamirza.
Pelawat bagaimana pun hampir mengimbangi kedudukan pada minit ke-15 apabila Mohd Ashari Samsudin melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti setelah mengutip tandukan ke belakang Effa Owona namun tiang gol pula menjadi penghalang.
Menuju minit ke-22, Kelantan hampir menggandakan jaringan apabila Indra Putra memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Sang Penyu namun rembatan kencangnya terkena bucu sebelah kiri gawang pelawat.
Tindakan Ketua Pasukan Terengganu, Hasmizan Kamarodin melakukan kekasaran ke atas Mohd Norfarhan pada minit ke-26 mengundang padah apabila pengadil, Abd Nafeez Wahab tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Namun Obinna Nwaneri yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mensia-siakan peluang keemasan untuk membawa Kelantan lebih selesa di depan apabila rembatannya berjaya ditepis keluar Mohd Shamirza.
Pelawat yang lega dengan situasi tersebut turut mempunyai peluang pada minit ke-42 apabila Mohd Ashari menyambut umpanan ke belakang Effa Owona namun rembatan pemain yang terkenal dengan jolokan ‘The Silent Killer’ itu sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Kelantan.
Minit-minit akhir babak pertama, Terengganu sekali lagi nyaris-nyaris menyamakan kedudukan namun Hasmizan gagal menolak masuk ke gawang tuan rumah berpunca sepakan penjuru Khairan Eruan Razali.
Memasuki babak kedua, Kelantan melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Zairul Fitree Ishak beraksi di bahagian sayap kiri namun kedua-dua pasukan tampak memperlahankan rentak permainan.
Hanya gerakan satu dua menarik di antara Nwakaeme bersama Mohd Norfarhan pada minit ke-49 mencuri perhatian namun rembatan penjaring gol kemenangan Kelantan dalam final Piala FA itu tersasar tinggi.
Ini disusuli percubaan Mohd Norfarhan sekali lagi pada minit ke-59 turut gagal menghasilkan jaringan sementara rembatan Mohd Badhri empat minit kemudian dari luar kotak penalti juga melewati gawang Terengganu.
Tertekan memburu jaringan penyamaan, Elavarasan akhirnya membuat dua pertukaran serentak pada minit ke-64 apabila memasukkan Farderin Kadir dan Mohd Fakrurazi Musa namun itu tidak banyak mengubah jentera tengah dan serangan mereka.
Sebaliknya, Kelantan terus menampilkan aksi berbisa dua minit kemudian apabila Zairo Anuar Zalani bijak menolak bola kepada Nwakaeme sebelum penyerang bertubuh sasa mengumpan pula kepada Indra Putra namun rembatan pemain sayap itu tinggi melepasi gawang pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-70 apabila Mohd Ashari melakukan umpanan kepada Farderin namun percubaan bekas penyerang Felda United FC itu hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan gawang tuan rumah.
Kebuntuan jaringan lebih sejam perlawanan berlangsung bagaimana pun terlerai bagi Kelantan apabila Zairo Anuar akhirnya mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi.
Tindakan Bikana mengasari Nwakaeme memaksa pengadil memberikan sepakan percuma pada minit ke-73 dan Zairo Anuar sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila rembatannya terus menerjah jaring sekali gus gagal diselamatkan Mohd Shamirza.
Menghampiri minit ke-78, Kelantan terus ghairah memburu gol ketiga apabila Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim membuat larian ‘overlapping’ dan melakukan hantaran silang mengelirukan namun Mohd Shamirza sempat melayangkan badan untuk menepis keluar bola.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata tidak memberi apa-apa erti buat bekas juara Piala Malaysia musim 2001 itu untuk sekurang-kurangnya memperoleh gol sagu hati apabila segala usaha mereka menembusi gawang terutama menerusi Effa Owona sering dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Isu Dadah Pemain: KAFA Ambil Sikap Kunci Mulut

Annuar Musa
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk ‘mengunci mulut’ daripada mengulas isu membabitkan seorang tonggak pertahanan The Red Warriors yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menggunakan pendekatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada peraturan bagi mengelakkan ‘subjudis’ kerana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
“Apa jua perkara yang masih dalam proses perbicaraan, jika KAFA membuat kenyataan kepada media ia menjadi satu kesalahan. Kita khuatir ia akan mengganggu proses perbicaraan yang belum selesai dan bercanggah.
“Sebab itulah dalam isu doping ini kita berbuat demikian dan ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang perlu diikuti, jadi langkah terbaik ialah dengan berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan. KAFA sangat peka kepada peraturan dan prosedur, ia telah menjadi sebahagian daripada amalan dalam pengurusan,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga kerja Mara Kelantan di sini, semalam.
Annuar memberitahu, kes tersebut menjadi lebih rumit apabila FAM mengeluarkan kenyataan awal sedangkan perbicaraan masih belum berjalan.
“Bila Pengurusi Jawatankuasa Tatatertib kata ‘saya akan membicarakan orang itu’ ia boleh menimbulkan polemik. Sepatutnya beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan sehinggalah proses tersebut selesai, barulah tidak timbul sebarang polemik,” ujarnya lagi.
Katanya, setiap kali aksi final pemain pasukan yang beraksi dalam perlawanan tersebut akan menjalani ujian doping secara rawak.
Annuar berkata, jika positif ujian pertama, pemain berkenaan boleh melakukannya buat kali kedua di India untuk mengesahkan keputusan tersebut selari atau tidak dengan yang awal.
“Bila habis proses tersebut, barulah pergi ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Jawatankuasa Tatatertib ada proses dia termasuklah menghukum dan keputusan ujian doping itu tidak terhenti di situ sahaja.
“Ada proses rayuan dan Jawatankuasa Tatatertib harus memberi peluang kepada pemain terbabit untuk membuat penjelasan berhubung apa yang di ambil. Jika ubat, ubat apa yang dimakan, jika dadah, jenis apa yang diambil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Annuar mengesahkan pemain tersebut terus digantung sebaik sahaja didapati positif dan ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pasukan.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Isu Doping: Pemain TRW Mohon Maaf


Pemain Kelantan yang dikaitkan dengan isu doping.
TRW tekad kutip 3 mata dalam perlawanan kedua lawan Terengganu
Kota Bharu: Isu seorang pemain Kelantan disahkan positif dadah tidak melemahkan semangat juara bertahan Piala Malaysia itu yang bertekad mengutip mata penuh dalam perlawanan kedua, Kumpulan C menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata skuad The Red Warriors (TRW) berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan dengan pasukan jiran itu walaupun tanpa penyerang, Ahmad Fakri Saarani yang dilayang kad merah ketika pertemuan dengan Pahang tempoh hari.
“Saya yakin semua pemain mahu menebus kekecewaan itu dengan menewaskan Terengganu pada perlawanan malam esok (malam ini) sekali gus mengutip tiga mata berharga.
“Ketiadaan Ahmad Fakri dalam perlawanan ini bukan satu masalah besar buat pasukan kerana Kelantan masih mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan tempatnya termasuk Mohd Faiz Subri dan Mohd Norfarhan Mohamad,” katanya semalam.
Sedikit kelebihan
Kelantan kini berada di tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul satu mata, sementara Terengganu berada di tangga tercorot selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan pertama Selasa lalu.
Hodak yang berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu berkata, pasukannya mempunyai sedikit kelebihan pada perlawanan malam ini apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. Bagaimanapun, jurulatih berusia 42 tahun itu tidak menafikan pasukannya bakal berdepan tentangan sengit daripada anak buah E Elavarasan.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Pemain Kelantan Sah Ambil Dadah

SEORANG pemain simpanan Kelantan ‘menconteng arang’ kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila disahkan terbabit dalam isu penyalahgunaan dadah ketika perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu.
Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak kelantan yang enggan dikenali berkata, terdapat salah seorang pemain simpanan The Red Warriors dikecualikan daripada sesi latihan, selepas gergasi Pantai Timur itu menjulang Piala FA kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain berkenaan, sebaliknya hanya mahu menunggu hari memberi keterangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan.
“Buat masa sekarang, pemain berkenaan tidak dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan. Kita mungkin tidak akan melakukan ujian doping kedua, sebaliknya akan menunggu hari memberi keterangan dan menerima apa saja hukuman yang dikenakan oleh FAM,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jika didapati bersalah,pemain yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah itu berkemungkinan bakal berdepan hukuman berat digantung seumur hidup oleh FAM.
Tertuduh yang hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan didapati bersalah selepas positif dadah menerusi ujian doping selepas perlawanan antara Kelantan dengan Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berakhir.  Dalam aksi kemuncak Piala FA itu, Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan hasil kemenangan 1-0.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata, pihaknya kesal apabila isu penyalahgunaan dadah mencemari sukan bola sepak tanah air.  Katanya, pihak yang terbabit dalam isu ini perlu tampil memberi penjelasan supaya tidak memanjangkan masalah berkenaan selain perlu membalas surat yang dikeluarkan FAM supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita amat kecewa dengan perkara ini. Sebelum ini sukan bola sepak hanya dicemari dengan kegiatan bookie, namun kali ini membabitkan penyalahgunaan dadah. Saya harap pihak yang terbabit perlu tampil memberi penjelasan.  Kita juga memuji sikap profesional FAM yang tidak terus mengambil hukuman, sebaliknya masih memberi peluang kepada pemain yang didapati bersalah itu memberi penjelasan,” katanya.

Rabu, 21 Ogos 2013

Pahang, Kelantan Sama Handal


INDRA (tengah) diasak dua pemain Pahang pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
PAHANG berjaya mengikat juara bertahan, Kelantan dengan keputusan seri 1-1 pada saingan pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Pada awal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat berusaha mengasak ke arah kubu lawan bagi mencari gol awal.
Pada minit kelapan, Kelantan memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi.
Percubaan terbaik skuad Tok Gajah muncul pada minit ke-17 apabila Matias Ruben Conti berjaya menanduk bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun ia sedikit tinggi melewati palang.
Pada minit ke-36, penyerang berbisa Kelantan, Indra Putra Mahayuddin pula berjaya melepasi benteng pertahanan Pahang tetapi rembatannya melepasi tiang gol.
Empat minit sebelum babak pertama berakhir, pemain tengah Pahang, Mohd Amirulhadi Yahya pula merembat dari luar kotak penalti, namun percubaannya itu sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Pahang dan Kelantan bermula garang untuk mencipta jaringan.
Namun, rentak Kelantan sedikit terencat apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Fakri Sharani dikenakan kad merah setelah dia mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.
Pada minit ke-80, suasana perlawanan makin panas. Kini, giliran Pahang pula tempang apabila R. Surendran menerima kad merah kerana mengasari tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin.
Pada minit ke-85, pemain import Pahang, Damion Delano Stewart akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sabtu, 10 Ogos 2013

Gelombang Pantai Timur




KALI KEDUA... Kelantan sekali lagi dinobatkan selaku juara Piala Malaysia musim lalu.


REPUTASI Kelantan selaku jagoan baharu dalam arena bola sepak tanah air sejak beberapa tahun lalu sudah tidak perlu dipersoal lagi.
Di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2007, The Red Warriors ternyata mengalami satu transformasi sehingga memberi impak besar kepada Liga Malaysia (Liga M) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Enam kejuaraan utama - Liga Super (dua), Piala Malaysia (dua) dan Piala FA (dua) selepas dua tahun Annuar memimpin KAFA, membuktikan betapa Kelantan wajar dicemburui pasukan lawan khususnya gergasi bola sepak seperti Selangor, Perak, Kedah, Pahang mahupun Terengganu.
Paling membanggakan seluruh peminat dan penyokong setia Kelantan apabila pasukan kesayangan mereka itu muncul juara trebel musim lalu dengan menjulang trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Kelantan sudah boleh melupakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini selepas sekadar mampu menamatkan saingan di tangga keempat.
Biarpun sudah terlepas satu trofi, Kelantan masih ada sebab untuk mendabik dada kerana status juara Piala FA masih menjadi milik mereka hasil kejayaan membenam pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.
Kini skuad The Red Warriors itu berpeluang meraih gelaran berganda apabila kejohanan paling berprestij di tanah air - Piala Malaysia membuka tirai secara rasmi pada 20 Ogos depan.
Diundi dalam Kumpulan C bersama dua lagi pencabar dari Pantai Timur - Terengganu, Pahang selain Negeri Sembilan, Kelantan sudah pasti diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding tiga lawan mereka itu.
Bagaimanapun, bagi pengendali Kelantan, Bojan Hodak, beliau lebih gemar merendah diri dan tidak mahu anak-anak buahnya dilabel pasukan pilihan sehingga menyebabkan mereka gagal beraksi pada tahap sebenar.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai musim lalu. Lebih baik jika Kelantan dilabel sebagai underdog berbanding pasukan pilihan lain bagi membolehkan para pemain saya tidak berdepan dengan tekanan.
"Secara peribadi, saya melihat saingan Piala Malaysia musim ini paling sengit berbanding sebelum ini kerana banyak pasukan telah menunjukkan kebangkitan sama ada dalam Liga Super mahupun Liga Premier," jelas Hodak kepada Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun lebih cenderung mengambil pendekatan 'berhati-hati' dalam misi mempertahan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, Hodak tetap menetapkan sasaran awal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
"Kami telah bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Turun dengan status juara bertahan bukanlah tugas mudah tetapi kami akan menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.
"Saya yakin Kelantan mampu ke saingan suku akhir. Kami pernah menentang ketiga-tiga pasukan itu (Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan) sebelum ini tanpa sebarang kekalahan. Saya fikir, kami mampu kekalkan prestasi tersebut," katanya,
Ditanya pasukan manakah yang mampu memberi cabaran yang lebih sengit kepada Kelantan, Hodak secara jujur menjawab: "Pahang mampu merebut slot juara kumpulan berdasarkan prestasi semasa dan pertemuan sebelum ini."
Begitupun, Hodak jelas sekali tidak mahu menidakkan kemampuan Terengganu dan Negeri Sembilan yang dianggapnya mempunyai misi peribadi masing-masing dan mampu menyekat langkah Kelantan jika beliau salah percaturan.
"Kami telah bertemu Terengganu empat kali musim ini. Sudah pasti Terengganu ada misi penting apabila menentang Kelantan nanti, lebih-lebih lagi selepas kami mengecewakan mereka pada aksi separuh akhir Piala FA.
"Bagi Negeri Sembilan pula, saya tidak mahu merendahkan kemampuan pasukan itu. Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang baik tetapi mereka agak 'tenggelam' di tempat lawan.
"Walaupun Negeri Sembilan telah tersingkir ke Liga Premier musim depan, saya percaya mereka mahu menjadikan kempen Piala Malaysia kali ini sebagai medan kebangkitan," tambahnya.
Sesuatu yang mungkin menggembirakan pengendali berusia 43 tahun itu ketika ini apabila barisan kendaliannya berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada masalah kecederaan.
Kejayaan membenam juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada Hodak bagi membentuk skuad paling ampuh menjelang sepak mula Piala Malaysia nanti.
"Walaupun saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi para pemain setakat ini tetapi keadaan ini agak memeningkan kepala saya untuk memilih siapakah yang layak untuk menggalas tugas dalam kesebelasan utama.
"Situasi ini jelas menunjukkan setiap pemain berada dalam keadaan bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti," ujarnya.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim awal-awal lagi telah mengingatkan skuad The Red Warriors agar tidak memandang rendah keupayaan pencabar mereka sehingga mampu 'meragut' misi mereka menjulang Piala Malaysia edisi ke-87 kali ini.
Bagi Azman, biarpun undian peringkat kumpulan dilihat agak memihak Kelantan, beliau tidak mahu anak-anak buahnya leka 'dibuai mimpi indah' hasil kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.
"Seperti musim lalu, kami sekali lagi diundi dalam kumpulan sukar tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan yang dilalui.
"Jadi saya mahu para pemain Kelantan bersedia lebih awal kerana sudah pasti, setiap pasukan melakukan perkara yang sama untuk memulakan misi baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini," katanya.
Kini tumpuan sudah pasti terarah kepada Kelantan yang hanya menunggu detik sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia 2013 bermula 20 Ogos nanti.


Selasa, 6 Ogos 2013

Pra Piala Malaysia 2013 : Kelantan Bangkit Tewaskan T-Team.



The Red Warriors bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan T-Team pada perlawanan persahabatan Pra Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Bagaimanapun, kemenangan ini terpaksa dibayar dengan harga mahal setelah Rizal Fahmi Rosid terpaksa diusung keluar apabila berlaga dengan pemain T-Team pada pertengahan separuh masa pertama.

Memulakan aksi dengan skuad campuran utama dan simpanan, Kelantan gagal menampilkan persembahan bertenaga pada awal babak pertama.

Mereka dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat pada minit ke-36 melalui sentuhan pemain import, Damir Ibric Yuksel selepas pemain ini mendapat hantaran lintang didepan pintu gol Kelantan.

Bersambung babak kedua, Bojan melakukan beberapa pertukaran pemain untuk melancarkan gerakan mencari jaringan penyamaan.

Sang Kijang tidak perlu menunggu lama selepas pemain pertahanan, Zairul Fitree Ishak bijak menyempurnakan peluang pada minit ke-65 untuk jaringan pertama tuan rumah.

Mohd Badri Radzi yang masuk selaku pemain gantian pantas mencetak nama selaku penjaring apabila gerakan bersama Indra Putra membuahkan jaringan kedua Kelantan pada minit ke-81.

Tamat perlawanan, Kelantan meneruskan rekod kemenangan pra musim setelah sebelum ini garang membelasah Selangor di Shah Alam.

Perlawanan persiapan seterusnya dan terakhir akan berlangsung pada 14 Ogos dimana The Red Warriors menjadi tuan rumah kepada finalis Piala Malaysia 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) di Kota Bharu.

Kesebelasan Utama :

Kelantan : Syazwan Yusoff, Daudsu Jamaluddin, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid (Faim), Zairul Fitree, Faiz Subri (Qayyum), K. Nanthakumar, Zairo Anuar Zailani (Badri Radzi), Indra Putra (C), Haris Safwan, Dickson Nwakaeme.

T-Team : Suhardi Alby, Hasbullah Awang, Marzuki Yusoff (C), George Boateng (Mahathevan), Hassan Basri, Mohd Aizzulridzwan, Ibric Yuksel, Abd. Latif Suhaimi, Azrul Hazran dan Syamim Yahya.

Catatan Popular