KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 10 Ogos 2013

Gelombang Pantai Timur




KALI KEDUA... Kelantan sekali lagi dinobatkan selaku juara Piala Malaysia musim lalu.


REPUTASI Kelantan selaku jagoan baharu dalam arena bola sepak tanah air sejak beberapa tahun lalu sudah tidak perlu dipersoal lagi.
Di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2007, The Red Warriors ternyata mengalami satu transformasi sehingga memberi impak besar kepada Liga Malaysia (Liga M) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Enam kejuaraan utama - Liga Super (dua), Piala Malaysia (dua) dan Piala FA (dua) selepas dua tahun Annuar memimpin KAFA, membuktikan betapa Kelantan wajar dicemburui pasukan lawan khususnya gergasi bola sepak seperti Selangor, Perak, Kedah, Pahang mahupun Terengganu.
Paling membanggakan seluruh peminat dan penyokong setia Kelantan apabila pasukan kesayangan mereka itu muncul juara trebel musim lalu dengan menjulang trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Kelantan sudah boleh melupakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini selepas sekadar mampu menamatkan saingan di tangga keempat.
Biarpun sudah terlepas satu trofi, Kelantan masih ada sebab untuk mendabik dada kerana status juara Piala FA masih menjadi milik mereka hasil kejayaan membenam pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.
Kini skuad The Red Warriors itu berpeluang meraih gelaran berganda apabila kejohanan paling berprestij di tanah air - Piala Malaysia membuka tirai secara rasmi pada 20 Ogos depan.
Diundi dalam Kumpulan C bersama dua lagi pencabar dari Pantai Timur - Terengganu, Pahang selain Negeri Sembilan, Kelantan sudah pasti diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding tiga lawan mereka itu.
Bagaimanapun, bagi pengendali Kelantan, Bojan Hodak, beliau lebih gemar merendah diri dan tidak mahu anak-anak buahnya dilabel pasukan pilihan sehingga menyebabkan mereka gagal beraksi pada tahap sebenar.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai musim lalu. Lebih baik jika Kelantan dilabel sebagai underdog berbanding pasukan pilihan lain bagi membolehkan para pemain saya tidak berdepan dengan tekanan.
"Secara peribadi, saya melihat saingan Piala Malaysia musim ini paling sengit berbanding sebelum ini kerana banyak pasukan telah menunjukkan kebangkitan sama ada dalam Liga Super mahupun Liga Premier," jelas Hodak kepada Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun lebih cenderung mengambil pendekatan 'berhati-hati' dalam misi mempertahan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, Hodak tetap menetapkan sasaran awal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
"Kami telah bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Turun dengan status juara bertahan bukanlah tugas mudah tetapi kami akan menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.
"Saya yakin Kelantan mampu ke saingan suku akhir. Kami pernah menentang ketiga-tiga pasukan itu (Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan) sebelum ini tanpa sebarang kekalahan. Saya fikir, kami mampu kekalkan prestasi tersebut," katanya,
Ditanya pasukan manakah yang mampu memberi cabaran yang lebih sengit kepada Kelantan, Hodak secara jujur menjawab: "Pahang mampu merebut slot juara kumpulan berdasarkan prestasi semasa dan pertemuan sebelum ini."
Begitupun, Hodak jelas sekali tidak mahu menidakkan kemampuan Terengganu dan Negeri Sembilan yang dianggapnya mempunyai misi peribadi masing-masing dan mampu menyekat langkah Kelantan jika beliau salah percaturan.
"Kami telah bertemu Terengganu empat kali musim ini. Sudah pasti Terengganu ada misi penting apabila menentang Kelantan nanti, lebih-lebih lagi selepas kami mengecewakan mereka pada aksi separuh akhir Piala FA.
"Bagi Negeri Sembilan pula, saya tidak mahu merendahkan kemampuan pasukan itu. Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang baik tetapi mereka agak 'tenggelam' di tempat lawan.
"Walaupun Negeri Sembilan telah tersingkir ke Liga Premier musim depan, saya percaya mereka mahu menjadikan kempen Piala Malaysia kali ini sebagai medan kebangkitan," tambahnya.
Sesuatu yang mungkin menggembirakan pengendali berusia 43 tahun itu ketika ini apabila barisan kendaliannya berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada masalah kecederaan.
Kejayaan membenam juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada Hodak bagi membentuk skuad paling ampuh menjelang sepak mula Piala Malaysia nanti.
"Walaupun saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi para pemain setakat ini tetapi keadaan ini agak memeningkan kepala saya untuk memilih siapakah yang layak untuk menggalas tugas dalam kesebelasan utama.
"Situasi ini jelas menunjukkan setiap pemain berada dalam keadaan bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti," ujarnya.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim awal-awal lagi telah mengingatkan skuad The Red Warriors agar tidak memandang rendah keupayaan pencabar mereka sehingga mampu 'meragut' misi mereka menjulang Piala Malaysia edisi ke-87 kali ini.
Bagi Azman, biarpun undian peringkat kumpulan dilihat agak memihak Kelantan, beliau tidak mahu anak-anak buahnya leka 'dibuai mimpi indah' hasil kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.
"Seperti musim lalu, kami sekali lagi diundi dalam kumpulan sukar tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan yang dilalui.
"Jadi saya mahu para pemain Kelantan bersedia lebih awal kerana sudah pasti, setiap pasukan melakukan perkara yang sama untuk memulakan misi baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini," katanya.
Kini tumpuan sudah pasti terarah kepada Kelantan yang hanya menunggu detik sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia 2013 bermula 20 Ogos nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular