KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 4 September 2010

Bonus Aidilfitri Cetus Semangat Pemain




KOTA BHARU – Seramai 32 orang terdiri daripada pegawai pasukan dan pemain skuad bola sepak Liga Super Kelantan mendapat ‘durian runtuh’ setelah menerima bonus khas hari raya daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diatas kejayaan muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini.

Majlis penyampaian bonus khas itu telah disempurnakan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam satu majlis berbuka puasa anjuran pihak Kafa di Kafe TRW, Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) petang semalam.

Turut menerima bonus khas itu ialah, pegawai pasukan Kelantan terdiri daripada jurulatih, penolong jurulatih, pegawai perubatan, juru pulih pasukan selain enam pemain Piala Presiden musim ini turut menerima elaun daripada pihak Kafa.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan dan pengurus pasukan, Azman Ibrahim.

Annuar Musa dalam ucapannya berkata, pemberian bonus ini adalah sempena sambutan hari raya dan juga tanda penghargaan pihak Kafa diatas kejayaan muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini.

“Pihak Kafa memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan pemberian bonus ini. Ini tidak termasuk elaun kepada pemain-pemain pasukan pelapis yang menjalani latihan bersama pasukan senior,” katanya ketika sidang akhbar pada majlis itu semalam.

“Kita mahu memberi galakkan kepada pemain-pemain muda walaupun mereka hanya berlatih bersama pasukan senior. Ini merupakan satu rangsangan kepada mereka untuk membuktikan keupayaan mereka mampu bersaing dengan pemain senior.

“Tentang bonus kepada pemain pula, ianya bagi membolehkan para pemain dan keluarga menikmati suasana perayaan dengan selesa walaupun mereka hanya diberi cuti yang pendek pada kali ini kerana terpaksa beraksi dalam kempen Piala Malaysia,” katanya.

Annuar berkata, sistem pengagihan bonus telah ditentukan melalui perbincangan diantara pihak pengurusan bersama ketua pasukan Kelantan.

“Ianya ditentukan berdasarkan berapa jumlah seseorang pemain itu diturunkan dalam kesebelasan utama pemain disamping jurang pemberian bonus itu juga tidak terlalu besar diantara para pemain yang tidak pernah beraksi.

“Saya tidak periksa berapa jumlah maksima dan minima. Tetapi saya difahamkan paling maksima pemain menerima RM4,000 seorang. Secara keseluruhannya hampir setiap orang menerima sekitar nilai tersebut dalam bonus ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular