KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 9 Januari 2011

Skuad Bola Sepak 1Kelantan

Kehadiran Nicholas Chan yang disambar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan merupakan pemain terbaru skuad Kelantan kini menepati gelaran skuad bola sepak 1Kelantan untuk musim ini.

KOTA BHARU – Skuad bola sepak 1Kelantan. Begitulah gelaran yang boleh diberikan kepada skuad The Red Warriors (TRW) musim ini, apabila membariskan latar belakang tiga kaum utama yang berbeza dalam menghadapi saingan Liga Malaysia penghujung bulan ini.

Selepas menyambung kontrak, S Subramaniam dan S Chanturu untuk tempoh dua musim lagi, kehadiran seorang bintang muda berbangsa Cina, Nicholas Chan yang disambar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan merupakan pemain terbaru skuad Kelantan kini menepati gelaran skuad bola sepak 1Kelantan untuk musim ini.

Senarai 25 pemain skuad TRW musim ini, diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan Pasukan TRW 2011 dan Pelancaran Jersi serta Kad Keahlian TRW yang diadakan di KB Mall, Kota Bharu, petang semalam.

Nicholas, 19 tahun anak kepada pemilik kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee didaftarkan di dalam pasukan Liga Simpanan Kelantan, tetapi bakal tersenarai dalam kelompok pemain Liga Super Kelantan, kini menjadi taruhan terbaru pasukan Kelantan dalam usaha memburu tiga piala yang disasarkan selain mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada tahun ini.

Beraksi di posisi pertahanan, Nicholas yang masih muda tetapi banyak pengalaman bermakna apabila pernah mencuba nasib bersama kelab West Ham, Burnley selain di Australia, bakal menjadi tarikan utama penyokong setia bola sepak Kelantan musim ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Datuk Chan Tien Ghee yang memberi kebenaran bagi membolehkan anaknya bermain dengan skuad Kelantan musim ini.

“Nicholas Chan sudah pun mengikat kontrak untuk bermain dengan Kelantan. Saya ingin menyatakan penghargaan kepada bapa beliau, di atas keizinan yang diberikan bagi membolehkan anaknya bermain dengan skuad Kelantan musim ini.

“Saya juga menyampaikan pesanan daripada bapanya yang bersetuju untuk membawa beberapa pemain, pegawai pihak pengurusan serta peminat setia bola sepak Kelantan yang terpilih untuk bertemu dengan pasukan Cardiff City pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, dalam memastikan kelangsungan Kelantan untuk muncul sebagai sebuah pasukan terbaik dalam pentas bola sepak tempatan, Annuar juga turut mengingatkan para penyokong menjaga disiplin sepanjang musim ini.

“Kalau kita mahu muncul sebagai kelab penyokong terbaik pada tahun ini, kita mesti menjaga disiplin yang baik ketika menonton perlawanan di Kota Bharu.

“Sudah dua musim berturut-turut kita terpaksa membayar denda akibat tindakan liar penonton. Jadi, saya merayu kepada para penyokong Kelantan untuk menjaga disiplin pada musim ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular