KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 Januari 2011

Al-Jabbar Sumbang Tiga Gendang Untuk Penyokong

Annuar (tengah), Mohd Kamaruzaman dan Marhashim bersedia menampalkan logo pada gendang tersebut.

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) mengucapkan terima kasih kepada Al-Jabbar Group Sdn Bhd melalui Al Jabbar Sport Dot Com kerana menyumbangkan tiga buah gendang untuk kegunaan penyokong setia bola sepak The Red Warriors di Lembah Kelang.

Majlis penyerahan gendang tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sempena dengan majlis perasmian pembukaan kedai Sukan Al-Jabbar Sport.com di Bandar Baru Bangi, kelmarin.

Presiden Kelate.Net, Saudara Marhashim Mat berkata, sumbangan ini begitu bermakna untuk penyokong Kelantan di Lembah Kelang kerana ianya merupakan pertama seumpamanya sebuah syarikat korporat telah bersetuju menyumbangkan gendang kepada penyokong Kelantan di Lembah Kelang.

”Kita mahu lebih banyak anak-anak Kelantan yang berjaya di dalam bidang korporat mencontohi syarikat Al-Jabbar Group Sdn Bhd dalam membantu kita bagi memeriahkan lagi sokongan kepada bolasepak Kelantan terutamanya di sekitar Lembah Kelang,” kata ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Gendang ini secara rasminya akan digunakan pada 29 Januari ini membabitkan pertemuan Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam sempena perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah. Perlawanan ini merupakan perlawanan pembukaan bagi kedua-dua pasukan bagi sepak mula Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar Musa ketika menyampaikan ucapannya berkata, beliau mahu para penyokong Kelantan terus memberi peluang kepada Kafa untuk membentuk semula pasukan pada musim ini setelah kehilangan beberapa tonggak utama yang mengambil keputusan berhijrah.

“Persiapan pasukan Kelantan pada musim ini terjejas gara-gara pemain yang berpindah tidak mengikut peraturan. Saya berharap para penyokong tidak mudah menuding jari mencari kesalahan sebaliknya terus berdiri teguh dibelakang kita memberi sokongan padu kepada pasukan.

“Saya juga minta semua penyokong bolasepak Kelantan menunjukkan imej yang baik semasa di stadium. Kita tidak mahu lagi ada penyokong kita membaling botol minuman, membakar mercun dan mengejek pemain serta pegawai pasukan kita. Kita mahu sokongan daripada penyokong berterusan sehingga minit ke 90 dan bukan melalui ejekan mahupun cacian.

“Walaupun kita bermasalah membentuk keserasian pemain, saya yakin kita mampu memberi saingan kepada Selangor dalam perlawanan tersebut. Saya yakin pasukan kita pada tahun ini akan melangkah lebih jauh di bawah bimbingan Ketua jurulatih, B Sathianathan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Jabbar Group, Mohd Kamaruzaman Che Hussain berkata, pembukaan rasmi Al-Jabbar Sports.com memberi alternatif kepada peminat-peminat sukan di negara ini untuk mendapatkan barangan sukan dengan harga yang berpatutan.

“Ini merupakan kedai sukan yang pertama dibuka dibawah entiti Al-Jabbar Group. Insya Allah kita akan terus ke hadapan dengan membuka beberapa cawangan lagi dalam masa terdekat. Serentak dengan itu juga, kita bersedia menjadi pengedar barangan merchadise keluaran Kafa untuk dijual kepada peminat bola sepak Kelantan disini,” katanya.

Mohd Kamaruzaman juga turut membayangkan kesediaan syarikatnya untuk bekerjasama dengan kelab-kelab penyokong Kelantan di seluruh negara pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular