KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 28 Januari 2011

Karathu Mulakan Tugas Baru


Sidang Akhbar pertama beliau di Kota Bharu sebaik sahaja menjawat jawatan Ketua Jurulatih Kelantan yang baru semalam.

KOTA BHARU – Pengendali baru pasukan Kelantan, Datuk M Karathu melahirkan rasa bangga kerana dapat kembali menabur bakti bersama pasukan yang pernah dibimbing beliau pada 18 tahun lalu.

Karathu, 67 tahun bekas jurulatih Perak membuat penampilan mengejut dalam pentas Liga Malaysia musim ini apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru menggantikan B Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengeluarkan kenyataan kepada media pertengahan tahun lalu.

Karathu dalam sidang akhbar pertama beliau di Kota Bharu semalam berkata, beliau perlu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk mengenal pasti kebolehan dan kelemahan pasukan yang akan dikendalikan beliau selepas ini.

“Untuk tugasan pertama (menentang Selangor) ini saya kena mendapatkan pertolongan daripada Sathianathan dan pembantu bagi mendapatkan gambaran lebih lanjut mengenai pasukan ini,” katanya.

“Untuk perlawanan pertama ini, saya kena duduk berbincang kerana ini adalah pasukan kita. Sebagai jurulatih, saya tahu macam mana Kelantan dan Selangor bermain, walaupun pada tahun ini ramai pemain keluar daripada pasukan ini.

“Sebagai jurulatih profesional saya menyukai fenomena penyokong Kelantan di sini. Kalau tidak ada penyokong sudah pasti tidak ada bola sepak. Apa yang penting kita mempunyai ‘fan base’ sebagaimana saya rasai 18 tahun lalu bersama pasukan ini,” katanya.

Karathu berkata, beliau meletakkan sasaran untuk membawa Kelantan berada di kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini sementelah Kelantan pernah menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

“Kita mesti berada dikedudukan terbaik. Mungkin dikedudukan tiga tempat teratas. Tetapi semua itu kita perlu melihat kembali kepada kualiti pemain yang ada dalam pasukan ini. Saya hanya pilih pemain yang menunjukkan prestasi terbaik untuk berada dalam pasukan ini.

“Perlawanan menentang Selangor memang penting. Sebagai juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim lalu, kita perlu mendapatkan mata pertama dalam perlawanan ini.

“Tekanan bukan sahaja kepada jurulatih tetapi juga para pemain. Mereka perlu belajar menyerap tekanan tersebut. Ini satu pengajaran untuk pemain-pemain muda dalam pasukan ini,” katanya.

Menurut Karathu, beliau mahu para pemainnya cepat belajar dengan gaya latihan yang akan diterapkan oleh beliau dalam sesi latihan selepas ini.

“Liga sudah bermula dan kita terpaksa menjalani latihan disamping melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Tambahan pula jadual perlawanan agak ketat, jadi saya mahu pemain cepat menyesuaikan diri dengan corak latihan saya selepas ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular