KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 21 Januari 2011

Preview Perlawanan Jelajah Pra Musim Terakhir
Pulau Pinang mln Kelantan



Kelantan turun dalam perlawanan jelajah utara terakhir menentang Pulau Pinang di stadium Bandaraya dengan suntikan moral tinggi selepas mencatatkan kemenangan pertama keatas Perlis, dua hari lalu.

Rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Kelantan dan Pulau Mutiara terikat 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Institut Perguruan Kota Bharu.

Walau berstatus perlawanan pemanas badan, kedua-dua pasukan dijangka akan menurunkan kesebelasan pemain terbaik sebagai medan persiapan terakhir sebelum tirai Liga Malaysia dibuka seminggu dari sekarang.

Bagi Sang Kijang, keputusan positif harus diteruskan setelah mendapatkan kemenangan penting keatas Singa Utara manakala Harimau Kumbang pasti mahu menggunakan perlawanan persahabatan ini untuk mencari keserasian selepas mengontrakkan 17 pemain baru dalam skuad mereka.

Melihat pada kesebelasan utama di Kangar tempoh hari, B. Sathianathan dijangka akan mengekalkan barisan sedia ada selepas masih kehilangan beberapa pemain utama yang dilanda kecederaan.

Khalid masih menerima rawatan, S. Subramaniam dan Shahrizan Ismail masih belum cergas manakala Solehin Kanasian Abdullah masih berada bersama keluarga kerana masalah kesihatan ibunya.

Selebihnya, pasukan Kelantan dibarisi pemain muda dari pasukan simpanan.

Bagi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tidak mempunyai masalah mengekalkan posisi itu dan Halim Napi pula seperti biasa akan dimasukkan kedalam perlawanan pada babak kedua.

Jentera pertahanan sedikit kebal ketika menentang barisan pemain muda Perlis tetapi dengan menentang Pulau Pinang mereka perlu lebih bertungkus lumus kerana pasukan lawan mempunyai beberapa penyerang baru yang pernah menyarung jersi pasukan berstatus bintang.

Rizal Fahmi, Zairul Fitree, Daudsu dan Farisham mungkin akan diturunkan tetapi tidak bimbang Sathianathan dengan posisi ini buat masa sekarang selepas Sang Kijang masih mempunyai pemain harapan untuk dimasukkan seandainya empat pemain diatas mengalami kecederaan atau menampilkan persembahan di luar kemampuan sebenar.

Wan Rohaimi, Aziz Ismail serta beberapa tonggak benteng skuad piala Presiden masih ada untuk diturunkan dan kemungkinan mereka akan membarisi pasukan pada babak kedua.

Posisi tengah pula memperlihatkan proses pertukaran pemain dimana ketua pengendali Kelantan sentiasa melakukan tukaran pemain pada posisi dalam setiap perlawanan.

Badri Radzi terus diletakkan dalam posisi permulaan selaku ketua pasukan, Shakir dan Azwan Roya dijangka akan diturunkan manakala satu lagi posisi pemain tengah menjadi rebutan antara Khairan dan Danial Fadly.

Hanya beberapa nama dikekalkan dalam kesebelasan utama dan selebihnya berlaku proses gantian pada setiap posisi dimana Sathianathan dikatakan sedang mencari pemain sesuai untuk diletakkan dalam skuad utama pada saingan liga Malaysia nanti.

Barisan pengempur pula masih mempertaruhkan kelibat Norshahrul Idlan Talaha selaku penyerang utama tetapi yang menjadi masalah ketika ini ialah pemain mana yang boleh menjadi gandingan kepadanya.

Dalam perlawanan sebelum ini kelihatan hanya S. Chanturu mampu membantu penyerang paling bernilai di Malaysia tersebut melakukan gerak menarik ke kubu pasukan lawan dan pemain serangan selebihnya pula masih gagal membantu Norshahrul menampilkan corak berkesan memburu jaringan.

Kemungkinan besar gandingan serangan Norshahrul dikekalkan kepada S. Chanturu dengan Nidzad Ayub dan Ramzul Zahini akan memainkan peranan selaku penyerang simpanan untuk babak kedua.

Bagi kem Harimau Kumbang, tugas Robert Scully sedikit mudah walau menerima kehadiran pemain baru dalam skuad mereka.

Salah sebuah pasukan yang sangat aktif dalam pasaran perpindahan pemain dengan mengontrakkan ramai tenaga baru kedalam pasukan selepas gagal memberi saingan sebelum diturunkan ke Liga Perdana pada musim ini.

Bukan calang-calang pemain diambil untuk menyarung jersi keramat biru muda + putih mereka. Arsyah Ayob, Megat Amer Faisal, Wan Zaim, Hafizee Rosli serta bekas penyerang Selangor yang pernah menjaringkan gol keatas Kelantan sewaktu saingan Liga Super 2009, C. Premnath.

Sudah dipertontonkan kepada peminat, Red Warriors gagal mengekang jentera pasukan lawan di Kota Bharu dalam perlawanan persahabatan yang berkesudahan seri 1-1.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, menerima sorakan penonton yang dahaga akan kemenangan selain kehadiran peminat untuk menyaksikan pasukan yang berprofil tinggi pasti memberi kelebihan buat tuan rumah.

Justeru itu, dalam perlawanan ini jangkaan Kelantan mencatatkan kemenangan adalah 50-50 kerana pasukan lawan walau beraksi di liga bawahan mereka masih mampu mencatatkan keputusan berpihak kepada mereka seandainya pemain Sang Kijang tidak fokus pada masa perlawanan.

Tugas Sathianathan ialah cuba menurunkan kesebelasan terbaik atau paling tidak menurunkan skuad bayangan sebelum pertemuan dengan Selangor tetapi diharapkan pemain Kelantan sedikit berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular