KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 17 Januari 2011

KAFA Bantu PSK Baikpulih Padang


B Sathianathan (dua,kanan) dan Azman Ibrahim (berbaju putih) turut turun padang melihat kerja-kerja baikpulih padang dilakukan oleh kakitangan stadium.

KOTA BHARU – Keresahan peminat setia bola sepak Kelantan mengenai status terkini Stadium Sultan Muhammed IV, satu-satunya gelanggang terbaik bagi pertandingan bola sepak Liga Malaysia yang terdapat di negeri ini dijangka dapat diketahui tidak lama lagi apabila usaha membaikpulih kerosakan di stadium tersebut sedang giat dilakukan oleh pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Pengerus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pihak Kafa turut terpanggil untuk sama-sama turun padang membantu PSK membaikpulih keadaan padang stadium tersebut dengan mendapatkan bantuan mesin daripada beberapa kelab golf di negeri ini.

“Alhamdulilah, setakat ini kalau kita tengok keadaan padang stadium sudah semakin baik ditambah pula dengan cuaca elok di Kota Bharu sekarang sedikit sebanyak membantu kakitangan perbadanan stadium melakukan kerja-kerja membaikpulih permukaan padang dengan lancar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kami turut mendapatkan segala bantuan yang difikirkan perlu daripada Kelab Golf dan Desa Kelantan (KGCC) dan Kelab Golf Diraja Darul Naim dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga turut bertungkus lumus untuk memastikan tahap pencahayaan lampu limpah di stadium ini memenuhi kriteria yang diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Permukaan padang pun dah nampak baik, keadaan cuaca menyebelahi kita kerana semakin panas diselangi dengan hujan yang turun sekali sekala. Kita mengerahkan pekerja stadium bekerja pada hari ini untuk memastikan padang kita dapat digunakan pada 1 Februari ini. Insya Allah, saya tengok dalam masa seminggu keadaan ini akan kembali pulih sebagaimana yang dikehendaki oleh FAM,” katanya.

Menurut Azman, kerja-kerja menebuk lubang pada permukaan padang itu sudah dilakukan sejak tiga hari lalu dan selepas ini kerja-kerja penyelenggaraan akan dilakukan dalam tempoh seminggu.

“Kerja-kerja menebuk lubang dilakukan bagi membolehkan udara keluar supaya kita boleh menabur pasir. Kemudian kita akan menabur baja pada hari esok. Kerja-kerja menabur pasir dan membaja boleh dilakukan dalam masa satu hari. Dua hingga tiga hari kemudian barulah kita akan tengok apa kesannya.

“Kita tunggu rumput tumbuh kemudian kita akan potong rumput tersebut. Fasa terakhir ialah kita akan melakukan kerja meratakan permukaan padang. Permukaan yang botak akan ditanam semula dengan rumput baru dan itu memerlukan tempoh antara seminggu hingga 10 hari untuk disiapkan.

Ditanya mengenai kegusaran peminat bola sepak sekiranya skuad Kelantan tidak dibenarkan bermain di gelanggang sendiri sekiranya masalah padang dan lampu limpah gagal disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, Azman optimis semua permasalahan itu akan dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak di negeri ini.

“Insya Allah dengan peruntukan yang diberikan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan juga kerjasama daripada Kerajaan Negeri Kelantan, kerja-kerja menaiktaraf lampu limpah yang kini sedang giat dilakukan oleh kontraktor yang dilantik dijangka dapat disiapkan dalam waktu ditetapkan.

“Lampu limpah telah ditambah cuma masalah kabel mungkin memerlukan masa yang lebih panjang untuk diselesaikan, mungkin dua hingga tiga minggu. Sekarang kita hendak memastikan tahap pencahayaan lampu limpah memenuhi tahap minimum 800lux tetapi pihak stadium tetap akan memastikan pada masa hadapan tahap pencahayaan itu lebih daripada 1000lux.

“Saya difahamkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM dijangka melawat stadium ini sekali lagi pada 20 atau 21 Januari bagi membuat pemeriksaan kali kedua ke atas padang dan tahap pencahayaan lampu limpah stadium ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular