KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 Januari 2011

Nicholas Teruja Bersama Kelantan


Nicholas Chan

KOTA BHARU – Pemain paling muda dalam skuad Liga Super Kelantan, Nicholas Chan menyatakan rasa terujanya apabila diberi peluang mewakili negeri ini dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Nicholas, 19 tahun, yang baru sahaja pulang daripada menimba pengalaman menjalani latihan di Australia baru-baru ini mengikat kontrak sebagai pemain Piala Presiden Kelantan namun dinaiktaraf berlatih dan bermain dengan skuad Liga Super Kelantan musim ini.

“Saya gembira dapat kembali ke Malaysia terutamanya apabila diberi peluang bermain dengan Kelantan. Skuad Kelantan mempunyai kombinasi jurulatih yang berpengalaman, pemain-pemain yang hebat serta persaingan yang sihat. Pasukan ini mampu pergi jauh dan saya bersedia menjadi sebahagian daripada itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Ianya sesuatu yang agak menarik apabila berpeluang menjalani latihan luar negara sebelum ini. Saya pernah menjalani latihan bersama pasukan yang hebat seperti West Ham United, Cardiff City dan yang terakhir di Australia baru-baru ini. Itu merupakan satu pengalaman yang baik.

“Saya bersama Cardiff City selama tiga bulan, kemudian saya bersama West Ham United sebulan setengah dan saya banyak mempelajari tentang aspek bola sepak disana terutama apabila diberi peluang bersaing diperingkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut Nicholas, keputusannya memilih untuk bermain dengan Kelantan musim ini adalah atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Sebenarnya saya yang membuat keputusan untuk bermain bersama Kelantan. Memang bapa ada memberi nasihat kepada saya tetapi kata putus terletak pada saya. Saya yang bermain bola sepak dan bukannya bapa saya. Apabila Sathia (Sathianathan) memberi peluang kepada saya untuk bermain dengan Kelantan, saya tidak membuang masa lagi.

“Saya mengenali dia sudah begitu lama. Dia pernah melatih saya sejak saya masih kecil lagi. Saya sudah biasa dengan dia dan mempunyai hubungan yang cukup baik dengan dia. Itu sebab kenapa saya mengambil keputusan kembali ke sini (ke Malaysia).

Ditanya mengenai harapan tinggi peminat setia bola sepak Kelantan yang tertunggu-tunggu untuk melihat penampilan aksi pertama dia bersama pasukan ini, Nicholas mengakui sedikit gementar namun dia percaya mampu membuktikan sesuatu kepada peminat bola sepak di negeri ini.

“Memang saya agak gementar apatah lagi saya merupakan pemain muda skuad ini yang beraksi dalam Liga Super. Tetapi saya tetap yakin kepada kemampuan saya dan saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan, mengenali rakan pasukan dan suasana kehidupan disini tetapi saya berjanji akan memberikan 110 peratus dalam setiap latihan dan perlawanan yang disertai.

“Saya mengenali beberapa bekas pemain UPB My Team seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Shakir (Shaari) kerana pernah berlatih bersama mereka dibawah kendalian Bojan Hodak. Saya tidak mewakili pasukan itu cuma menjalani latihan bersama mereka sahaja.

“Misi saya ialah membantu Kelantan menjulang tiga piala yang disasarkan selain mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu. Namun saya mempunyai misi tersendiri untuk mempertingkatkan persembahan kerana masih muda dan saya bersedia untuk belajar daripada kalangan pemain senior dalam pasukan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular