KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 26 Januari 2011

Hukuman Tak Kena Masa – Sathia

B Sathianathan

KOTA BHARU – B. Sathianthan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak kena pada masanya, ketika Kelantan sibuk mengatur persiapan untuk Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah menentang Selangor, lima hari lagi.

Kecewa dengan keputusan tersebut, Sathianathan akan menggunakan saluran yang ada untuk mengemukakan rayuan sekali lagi, bagi memastikan beliau mendapatkan kembali haknya.

“Mengenai penggantungan, sudah pasti saya tidak berpuas hati. Saya akan kemukakan rayuan lagi sekali dengan cara yang betul dan mengikut apa yang tertakluk dalam perlembagaan.

“Bukan rayuan tetapi menggunakan saluran tertentu. Daripada apa yang saya rasa, masanya (hukuman) tidak kena, saya rasa dukacita. Harapan saya penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Kelantan dan saya pasti Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin akan buat yang terbaik untuk perlawanan ini (perlawanan menentang Selangor).

“Rayuan ini akan dibuat dalam masa yang terdekat, tetapi saya perlu berbincang dengan kawan-kawan yang pandai undang-undang.

“Kena baca dahulu apa yang boleh diambil, macam saya seorang profesional mesti ada hak, hak untuk buat merayu sekali lagi, ikut saluran yang tertentu,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada pemain bola sepak di atas kejayaan memenangi Piala Malaysia 2010.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Ketika ditanya adakah beliau melihat FAM sebagai sebuah persatuan yang tidak boleh dikritik, Sathianathan berkata: “Kalau saya jawab kena lagi, tidak boleh cakap yang benar, baik tak payah jawab’’.

Katanya, sekiranya diberi peluang sekali, beliau tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan menyampaikan sebarang pendapat kepada FAM melalui saluran yang ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular