KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 13 Januari 2011

KAFA Terima Tajaan RM1 Juta


Annuar dan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Fattah Mahmood (kiri) bersama penaja bersama pasukan Kelantan untuk musim ini.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima suntikan dana apabila memperoleh tajaan berjumlah RM1 juta daripada barisan penaja-penaja bersama skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Senarai barisan penaja bersama TRW bagi musim ini diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan Pasukan TRW 2011 dan Perlancaran Jersi baru serta Kad Keahlian TRW yang diadakan di KB Mall, Kota Bharu dua hari lalu.

Mendahului senarai ialah Kumpulan Media Karangkraf menerusi akhbar Sinar Harian Kelantan yang buat kali kedua menjadi penaja bersama dengan menyumbang sebanyak RM200,000 selain menjadi akhbar rasmi dengan memberi liputan sepenuhnya kepada skuad TRW sepanjang musim ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, penajaan buat kali kedua ini dilakukan bagi menyemarakkan lagi kegemilangan bola sepak Kelantan setelah kejayaan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun pada musim lalu.

Selain itu, Syarikat Yusmira Trading Sdn Bhd, salah satu syarikat yang memasarkan produk berasaskan penjagaan kesihatan terkenal di negeri ini juga buat kali kedua turut menyambung kontrak penajaan dengan menyumbang tajaan bernilai RM200,000 dalam bentuk wang tunai.

Jenama UMBRO selaku penaja utama pakaian kelengkapan sukan juga sekali lagi turut menjadi rakan kerjasama Kafa buat tahun kedua berturut-turut apabila menyumbangkan peralatan sukan tersebut untuk sepanjang tahun ini dengan nilai RM200,000. Pihak UMBRO menerusi wakilnya, S Muru turut hadir dalam majlis tersebut.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat yang turut memasarkan produk penjagaan kesihatan terkenal iaitu Al-Jabbar Group buat pertama kali menjadi penaja bersama untuk pasukan Kelantan musim ini. Syarikat yang mengembangkan perniagaannya diluar negeri ini dan berpusat di Kajang, Selangor itu dimiliki sepenuhnya oleh anak watan negeri ini iaitu Mohd Kamaruzaman Che Hussain.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Kamaruzaman yang hadir dalam majlis tersebut menyampaikan replika cek tajaan bernilai RM200,000 kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Pihak Kafa juga turut menerima kejutan tidak diduga dalam majlis itu apabila Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee turut mengumumkan untuk menyumbangkan sebanyak RM100,000 daripada sumbangan peribadi beliau sendiri untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Anaknya, Nicholas Chan, 19 tahun telah mengikat kontrak beraksi bersama pasukan Kelantan musim ini.

Melengkapkan tajaan RM1 juta untuk musim ini apabila sebuah syarikat Abroad Technology Network turut mengumumkan penajaan berjumlah RM100,000 kepada pihak Kafa. Pengumuman itu disampaikan oleh sendiri oleh Pengerusinya, Nudin Awang kepada Tan Sri Annuar Musa dalam majlis tersebut.

Nudin Awang merupakan Pengurus Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kelantan musim lalu yang berjaya membawa pulang trofi tersebut ke negeri ini buat kali ke-13 berturut-turut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular