KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 23 Januari 2011

Analisis Skuad Kelantan
Sepanjang Pra-Musim



Jadual padat persiapan Pra-musim dihadapi dengan liku-liku panas selepas berbagai isu berkaitan pasukan, penaja, pihak pengurusan, pemain dan kelab penyokong melanda kem Red Warriors. Bermula dengan isu padang, Kelantan terpaksa memadamkan impian untuk melakukan perlawanan persahabatan antarabangsa di stadium keramat didepan penyokong sendiri memaksa beberapa perlawanan terpaksa dipindah ke padang berkecuali.

Namun semua isu itu dihadapi dengan baik dan tidak menghalang pasukan Sang Kijang melakukan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menjelajah Lembah Kelang dan bahagian Utara tanahair bagi memantapkan skuad sedia ada.

Tetapi sepanjang mengadakan perlawanan pra-musim, pencapaian Kelantan adalah sederhana dan tidak menunjukkan bakal menjadi salah satu pencabar utama saingan Liga Malaysia, musim baru yang akan bermula tidak lama lagi.

Berdasarkan dengan itu, mari kita lihat serba sedikit pencapaian dan rumusan Kelatewaz bola lakukan terhadap pasukan Red Warriors sempena perlawanan pra-musim yang berakhir di Pulau Pinang, kelmarin.

Lawan Pasukan Gabungan Jajahan dan Liga Presiden KAFA

Perlawanan kompetetif pertama menentang pasukan gabungan Liga Jajahan dihadapi dengan tenang pemain Kelantan dengan catatan kemenangan selesa 3-0. Selepas itu mereka turun pula melawan kelab Liga Presiden KAFA dan sekali lagi mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila membelasah lawan dengan jaringan 6-0.

Tetapi dua perlawanan yang dihadapi ini tidak boleh menjadi pengukur akan kekuatan keseluruhan Kelantan kerana mereka melawan skuad yag ditubuhkan hasil gabungan pemain tidak profesional. Tidak dinafikan dua kejayaan besar tersebut mencetuskan permulaan pada musim baru namun ia tidak mencerminkan akan kehebatan keseluruhan pemain yang kali pertama digandingkan bersama.

Lawan Melodi Jaya dan Pulau Pinang

Dengan keyakinan tinggi dan kepercayaan dari ketua jurulatih serta beraksi di gelanggan sendiri di hadapan penyokong setia, pemain Kelantan turun dalam pertemuan persahabatan menentang sebuah kelab liga FAM, Melodi Jaya dan mencatatkan satu keputusan positif. Tindakan Sathianathan menggabungkan pemain senior dan junior berjaya menghasilkan satu perlawanan yang memberikan Kelantan kemenangan. Tetapi corak sama yang ditampilkan pengurus Sang Kijang itu ketika menentang Pulau Pinang tidak menjadi menyebabkan mereka terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1.

Siri Perlawanan Lembah Kelang

Berdasarkan rumusan perlawanan yang dilalui Kelantan dalam siri persahabatan pra-musim ini, Red Warriors tewas tiga dari empat perlawanan yang dihadapi.

Harimau Muda A 4-1 Kelantan
Sarawak 2-1 Kelantan
Felda United FC 4-0 Kelantan
Sime Darby 1-1 Kelantan

Skuad Kelantan hanya mampu menjaringkan tiga gol dan menghasilkan sebelas bolos selepas menggunakan gabungan pemain utama dan simpanan dalam setiap perlawanan. Hasil yang sangat mengecewakan kerana masih gagal mencari pemain mana bakal mengganggotai skuad utama.

Paling mengecewakan ialah kegagalan mereka membenam skuad Sime Darby dan Sarawak serta dibelasah pemain muda skuad Kebangsaan, Harimau Muda A dan skuad yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Super, Felda United.

Pemain yang diturunkan baik pemain berpengalaman dan pemain dari skuad simpanan, mereka gagal sama sekali beraksi seperti yang diharapkan dalam empat perlawanan yang dilalui. Banyak kelemahan daat dikesan termasuklah ketumpulan jentera penyudah serta kegagalan pemain pertahanan mengekang gerakan lawan.

Jentera tengah yang sering diberi harapan untuk merencana gerakan ke kubu pasukan lawan turut gagal berfungsi baik walau menerima kehadiran tiga pemain baru.

Berdasarkan bicara media dengan ketua pengendali, B. Sathianathan, beliau tidak rungsing dan tertekan dengan situasi ini kerana pemain yang diturunkan masih belum mencapai tahap keserasian termantap selain pasukan ditubuhkan masih baru kerana kehilangan ramai pemain tonggak utama yang berhijrah.

Perlawanan Pra Musim Jelajah Utara.

Dua perlawanan permulaaan melawan Kedah dan USM Pulau Pinang, pemain yang diturunkan memberi persembahan hambar menyebabkan kekalahan tipis terpaksa diterima. Namun, gaya bola sepak sebenar akhirnya ditunjukkan Kelantan ketika membenam Perlis di Kangar sebelum menamatkan perlawanan jelajah dengan membelasah Pulau Pinang 4-0.

Perlawanan menentang Kedah dihadapi dengan nota kekalahan tipis 0-1 walau menggunakan barisan bayangan skuad utama menyebabkan penyokong setia mula tertanya adakah kehilangan tiga pemain kontroversi serta penghijrahan penyerang berbisa keluar menyebabkan persembahan dan nafsu pemain semakin kendur untuk mencetak jaringan. Kegagalan menyudahkan peluang keemasan selain kehambaran dipertunjukkan pemain penyerang dan tengah memberikan kekalahan pertama dalam lawatan mereka ke Utara.

Kelantan sekali lagi tersentak setelah pasukan USM Pulau Pinang pula tampil bijak untuk mengecewakan Sang Kijang dengan jaringan tipis 1-0. Perlawanan yang sepatutnya mencatatkan keputusan baik diberi pengajaran pasukan kurang pengalaman dengan jaringan tunggal pada minit akhir separuh masa pertama. Dikhabarkan Sang Kijang gagal memberi saingan kepada USM dan serangan mereka sering tersekat dibahagian tengah. Menurunkan Nicholas Chan turut menghampakan bila mana pemain pertahanan ini sering melakukan kesilapan dan tidak berada di posisi yang telah ditetapkan. Kelibat Khairul Fahmi dan Norshahrul juga gagal membantu Kelantan memenangi perlawanan ini.

Perlawanan merebut Piala Shahidan Kassim, Kelantan akhirnya menonjolkan perwatakan selaku pasukan yang mampu memberi daya saing apabila menguasai setiap inci ruang padang seterusnya membenam barisan muda mentah Singa Utara dengan dua jaringan tanpa balas. Norshahrul Idlan dan S. Chanturu bergandingan hebat menguji kubu pasukan lawan manakala kelibat Azwan Roya, Badri Radzi dan Danial fadly juga sesekali menyebabkan benteng lawan lemas menahan asakan. Pujian menggunung sebenarnya patut diberikan kepada pemain pertahanan yang diketuai Rizal Fahmi dimana dia bersama dengan pemain lain kekal fokus membantu Khairul Fahmi di pintu gol seterusnya tidak bolos buat pertama kali dalam perlawanan persahabatan di Utara.

Perlawanan terakhir menentang Sang Harimau Kumbang, Red Warriors terus mempamerkan persembahan cemerlang ditambah dengan kegagalan pemain tuan rumah menyerap tekanan perlawanan. Dua gol pada setiap babak memberikan kemenangan selesa tetapi banyak lagi kelemahan yang ditunjukkan pemain Kelantan dalam perlawanan ini namun ianya dapat diperbaiki jika pihak kejurulatihan mengambil langkah segera mengatasi masalah tersebut. Penguasaan bola dan gerakan demi gerakan ke gawang lawan berjaya dilakukan tetapi kelemahan ketara yang dapat dikesan ialah mereka sering kali meninggalkan posisi bawah menyebabkan pemain pertahanan terpaksa bertungkus lumus mempertahankan kubu pasukan.

Rumusan Keseluruhan.

Berdasarkan keputusan yang dicatatkan dalam perlawanan pra musim, sukar sebenarnya buat pemain Kelantan untuk mengharungi kancah Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi. Apatah pula perlu mencari taktikal bagaimana unti mencatatkan kemenangan melawan Gergasi Merah pada pertemuan merebut piala Sumbangsih nanti. Persefahaman yang dicari masih tidak ditemui malah beberapa pemain yang diharapkan untuk membantu Kelantan turut dilanda masalah peribadi dan kecederaan panjang.

Banyak kelemahan di setiap posisi termasuk kurangnya daya motivasi dalam diri pemain. Mereka mudah hilang fokus malah sering tertekan bila diasak menggila pasukan lawan. Jentera serangan dan tengah Kelantan harus memainkan peranan penting untuk menerobos gawang lawan. Pemain di dua posisi ini perlu segera mencari cara bagaimana bagi menajamkan sengat ketika dihadapan gawang.

Dengan Sang Kijang kini mempertaruhkan pemain muda dengan hampir 90% dibarisi pemain berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan persoalannya dapatkah dengan pemain sedia ada Kelantan mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama seterusnya mengharungi musim panjang Liga Malaysia tanpa sebarang masalah.

Benar, tekanan tidak lagi berpihak pada pemain dengan sasaran sederhana ditetapkan pengurusan KAFA tetapi mampukah mereka mengejar sasaran itu atau sekali lagi menggunakan alasan kurang pengalaman dan persefahaman jika mengalami keputusan negatif dalam setiap perlawanan.

Sama-sama kita nantikan bagaimana para pemain Red Warriors berjuang diatas padang memburu penghormatan seperti musim lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular