KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 1 Januari 2011

Langkah Pertama, Perjalanan Bermula

Saat ini, tiap pelusuk negara tidak putus-putus membicarakan soal kehebatan skuad Harimau Malaya merangkul kali pertama Piala AFF Suzuki edisi ke-8 yang berakhir malam tadi. Buat skuad ‘masa depan’ bimbingan K. Rajagobal, mereka sememangnya layak untuk itu.

Sesudah dimalukan dengan jaringan besar pada peringkat kumpulan, dendam terhadap Indonesia terbalas jua dengan jalan cerita penuh bermaruah Berbekalkan defisit selesa 3-0 pada perlawanan pertama, dicorakkan lagi dengan kemampuan menyerap tekanan beraksi di stadium keramat mereka, Gelora Bung Karno seolah-olah begitu tenang untuk dihadapi lantas terciptalah sejarah penuh bermakna.

Di sebalik kejayaan ini, terdapat seperkara lagi yang pastinya lebih mengujakan untuk diceritakan. Betapa besarnya hati lantas menerbitkan rasa bangga bila tiga tonggak ‘Red Warriors’ turut memainkan peranan yang sememangnya bukan kecil buat menggapai kejayaan itu. Tiada niat untuk mencetuskan semangat kenegerian sempit dalam konteks kejayaan ini kerana sememangnya diakui kejayaan yang hadir adalah berkat kerja sepasukan. Namun tidak salah jua seandainya sekadar ingin mengiktiraf kejayaan yang terhasil daripada kesinambungan gemilang skuad ‘Red Warriors’ musim ini.

Mungkin pada suatu ketika dulu tidak ramai yang mengenali nama-nama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha juga S. Chanturu. Apatah lagi tumpuan peminat bola sepak tempatan mungkin lebih terarah kepada nama-nama lebih besar daripada negeri-negeri lain yang dikatakan mempunyai reputasi lebih tinggi dengan dibarisi ramai pemain kebangsaan. Namun, berkat kejayaan tercipta bersama skuad Kelantan berserta kepercayaan tinggi ketua jurulatih kebangsan, momentum kehebatan ketika menjulang Piala Malaysia diteruskan lagi ketika menyarung jersi negara.

Sebenarnya tidak salah jika kejayaan mereka ini dikongsi habis-habisan oleh peminat-peminat, khususnya mereka yang bergelar penyokong Kelantan. Umum mengetahui, sudah terlalu lama negeri ini sunyi tanpa nama-nama besar untuk diangkat sebagai hero negara. Nyata, era kehebatan lagenda silam seperti Dali Omar, Mohamad Che Su mahupun Hashim Mustapha perlukan pengganti. Namun apa yang tambah memeritkan, peluang dan ruang untuk itu juga seolah tertutup bila mana pemain Kelantan seringkali tersisih daripada membarisi skuad negara. Memang kurang lunak nadanya tetapi itulah hakikatnya.

Kini kita sudah boleh untuk mula tersenyum. Kita juga sudah punya watak-watak utama yang seharusnya lebih bersedia untuk mendukung peranan lebih penting bagi memartabatkan bola sepak negara. Sememangnya mengharukan bila jeritan nama-nama seperti ‘Mat Yo’ dan ‘Apek’ lantang kedengaran di mana-mana.

Apa yang membanggakan, laungan ini hadir daripada mereka yang langsung tiada kaitan dengan bola sepak Kelantan, tetapi berdiri sebagai peminat sejati yang ingin melihat Malaysia terus mengorak langkah di persada antarabangsa. ‘Peminat-peminat’ yang bertambah secara mendadak menerusi medium seperti laman-laman sosial yang wujud turut seolah-olah mencetuskan satu fenomena luar biasa buat negara.

Justeru tidak menghairankan hatta anak-anak kecil sekalipun sudah menanam cita-cita menjadi seperti mereka kelak. Melihatkan realiti ini, maka terduduklah mereka yang pernah melemparkan kata-kata cacian mempersoalkan kredibiliti dan kehebatan pemain-pemain kesayangan negara kini.

Buat ‘Apek’ dan ‘Mat Yo’, teruskanlah perjuangan yang masih hijau ini. Segalanya baru bermula. Jadikanlah kejayaan yang dikecapi ini sebagai titik tolak mengubah senario suram bola sepak negara yang kini kian menampakkan cahaya. Renunglah ruang, sempurnakanlah peluang yang luas terhidang. Harus diingat, reputasi tinggi harus diimbangi dengan motivasi sekaligus memantapkan prestasi.

Paling penting, lupa diri teramat perlu dijauhi agar kelak tidak dimusuhi. Ketahuilah, di belakang anda kami penyokong skuad ‘Red Warriors’ berdiri dengan harapan semoga kejayaan tak terbatas mampu anda semua kecapi.

Tahniah sekali lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular