KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 10 Februari 2011

Sila rujuk KAFA

KERAJAAN negeri Kelantan tidak bertanggungjawab sekiranya wujud keciciran nama pemain dalam menerima sumbangan yang diagihkan kepada mereka ketika membantu skuad The Red Warriors muncul juara Piala Malaysia musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri sudah menyerahkan sumbangan sebanyak RM200,000 seperti dijanjikan untuk diagihkan kepada semua pegawai dan pemain Kelantan berdasarkan senarai nama disediakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).


Sehubungan itu, beliau akan membuat semakan dengan pihak Kafa bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai empat bekas pemain tonggak Kelantan yang dikatakan dinafikan hak mereka dalam menerima ganjaran yang disediakan kerajaan negeri. “Kerajaan negeri sudah tunaikan janji dengan mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada pegawai dan pemain The Red Warriors pada 25 Januari lalu dan jumlah agihan wang yang diberikan kepada mereka antara RM3,500 hingga RM7,500 seorang. “Kita beri sumbangan kepada pegawai dan pemain sebagaimana dijanjikan dan ia diputuskan berdasarkan kepada senarai nama disediakan pihak Kafa. Sekiranya wujud keciciran atau ada pemain yang tidak menerimanya, itu perlu dirujuk atau disemak dengan pengurusan persatuan berkenaan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Kota Bharu, semalam.


Empat bekas tonggak Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhamad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Azizi Mat Rose dinafikan hak mereka dalam menerima sumbangan kerajaan negeri selepas membantu skuad Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010 sebagaimana laporan akhbar ini, kelmarin.


Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan janji yang dibuat dengan menyerahkan sumbangan berkenaan kepada barisan pemain dan pegawai The Red Warriors sebagaimana yang diadakan di Kota Bharu pada 25 Januari lalu.

“Saya tak dapat beri komen lanjut berhubung isu yang timbul ini kerana saya perlu merujuk kepada pengurusan Kafa bagi mendapatkan pengesahan atau gambaran sebenar.


“Saya juga tidak pasti sama ada nama empat bekas pemain Kelantan itu disenaraikan atau tidak kerana penyediaan senarai nama pegawai dan pemain adalah daripada pihak Kafa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular