KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 27 Februari 2011

Kerajaan Negeri Hapus Cukai Hiburan

Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk menghapuskan cukai hiburan pada tahun ini sebagai satu salah usaha pihaknya membantu mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam menguruskan pasukan bola sepak Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, perkara tersebut diputuskan hasil mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan di Kuala Lumpur malam semalam.

“Sebelum ini kita ada menerima permohonan daripada pihak Kafa untuk mengurangkan bayaran cukai hiburan itu dan hasil daripada mesyuarat malam semalam kita telah memutuskan untuk menghapuskan cukai hiburan sepanjang tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Dengan keputusan ini, kita berharap pihak Kafa dapat memberi sepenuh tumpuan dalam usaha mereka menggerakkan pembangunan bola sepak di negeri ini secara lebih serius tanpa perlu memikirkan usaha untuk mencari duit bagi membayar cukai hiburan itu.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak Kerajaan Negeri dalam membantu pihak Kafa memajukan sukan bola sepak di negeri ini. Kita berharap sedikit inisiatif ini dapat memastikan kelangsungan kecemerlangan bola sepak Kelantan akan berterusan,” katanya.

Menurut Abdul Fattah, cukai hiburan ini sebenarnya berjumlah lima peratus daripada jumlah kutipan tiket yang dikenakan kepada pihak Kafa melibatkan satu-satu perlawanan di Kota Bharu.

“Pada tahun lepas Kerajaan Negeri telah melupuskan cukai hiburan sebanyak dua kali berjumlah kira-kira RM370,000 yang dikenakan ke atas pihak Kafa membabitkan semua perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

“Jadi dengan penghapusan cukai hiburan, kita berharap pihak Kafa dapat memanfaatkan duit yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri berjumlah antara RM250,000 hingga RM350,000 pada tahun ini digunakan bagi tujuan pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Dua perkara penting yang perlu saya sebutkan hasil daripada keputusan ini ialah kita berharap pihak Kafa dapat memberi tumpuan kepada pembangunan sukan bola sepak di negeri ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti selain pada masa yang sama dapat menjamin semangat bola sepak Kelantan terus berada ditahap yang tertinggi,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular