KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 22 Februari 2011

Kijang Muda Raih Kemenangan.




Skuad Piala Presiden Kelantan bangkit dari kekalahan lalu untuk menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Beraksi dengan 10 pemain, anak buah Zahasmi Ismail memberi aksi luar biasa sebelum memperoleh jaringan kemenangan pada minit ke-69 hasil tandukan ketua pasukan, Mohamad Faiz Suhaimi.

Permulaan babak pertama menyaksikan pemain kedua-dua pasukan saling mengatur rentak untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Kedah terlebih dahulu berpeluang didepan apabila Hattapon berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan kerana pengadil mendakwa berlaku kekasaran kepada penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put.

Kedah sekali lagi mengancam apabila sepakan percuma yang diperoleh mereka di luar kotak penalti terkena palang gol pada minit ke-25.

Kelantan yang seringkali bertahan akhirnya berhasil menjaringkan gol pertama melalui tandukan Aris Zaidi pada minit ke-33. Gol berpunca dari sepakan sudut Khairul Izuan Salahudin muntah dari tangkapan Mohd Muhaimin Mohamad sebelum Ariz Zaidi pantas menanduk masuk kedalam gol yang ternganga luas.

Tidak berputus asa, Kedah melancarkan serangan pantas untuk mendapatkan gol penyamaan namun beberapa gerakan yang dilakukan Hattapon, Muhammad Aminudin dan Mohd Aidi Huzaini melalui bantuan Tan Yang Wei seringkali tersekat di bahagian pertahanan Kelantan.

Akhirnya Kedah berjaya membolosi gawang Kelantan pada minit akhir separuh masa pertama melalui tandukan Mohd Aidi Huzaini menewaskan sama sekali Judtanna di pintu gol Kelantan.

Bersambung babak kedua, perlawanan berubah sedikit tegang apabila berlaku beberapa kekasaran tidak perlu daripada pasukan Kelantan dan Kedah.

Tanpa disangka, hasil dari pergelutan di sebelah kiri pada minit ke-50, Tuan Mohd Norhafizi menyiku pemain Kedah dan pengadil perlawananan tidak teragak-agak melayangkan kad merah terus kepada pemain pertahanan Kelantan tersebut.

Beraksi dengan 10 pemain, Zahasmi melakukan perubahan taktikal dengan mengarahkan anak buahnya mengatur serangan pantas melalui pemain sayap.

Serangan demi serangan yang dilakukan akhirnya berjaya memberikan Kelantan gol kedua melalui tandukan Mohd Faiz Suhaimi pada minit ke-69 setelah bola sepakan sudut dari Khairul Izuan terus ditanduk masuk ketua pasukan Kijang tersebut.

Kelantan sekali lagi hampir menambah jaringan melalui Farhan Yaacob tetapi situasi satu lawan satu dengan Mohd Muhaimin gagal menerjah jaring.

Kedah tidak mengalah apabila melakukan beberapa gerakan bahaya ke arah kubu Kelantan namun semua serangan mereka berjaya dikawal pertahanan tuan rumah selain masalah penyudah dari jentera serangan Sang Kenari.

Bagi memperkukuhkan kawasan pertahanan, Nick Chan dikeluarkan untuk digantikan dengan Mohd Faizol Nazlin pada minit ke-86 dan percaturan tersebut memberikan lebih kekuatan kepada Kelantan di bahagian benteng.

Setelah tambahan masa, kedua-dua pasukan gagal melakukan tambahan jaringan sebelum pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular