KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 15 Februari 2011

Kelantan Tidak Pandang Mudah


Datuk M Karathu

KOTA BHARU – Disebalik kejayaan singkat merampas kedudukan carta liga untuk tempoh minggu ini, ada mesej ringkas daripada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kepada pemainnya menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Karathu berkata, perlawanan menentang skuad warga kota malam ini bukanlah satu perlawanan yang mudah bagi pasukannya sementelah keupayaan Kuala Lumpur mengikat keputusan seri dengan Selangor di Shah Alam tempohari mula menarik perhatian pasukan lain.

“Kuala Lumpur merupakan pasukan yang lain daripada yang lain. Siapa tahu….mungkin mereka lebih kuat daripada pasukan yang kita temui sebelum ini seperti Selangor dan Terengganu. Mereka berjaya mengikat keputusan seri dengan Selangor dan itu merupakan satu keputusan yang baik bagi mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka belum kalah setakat ini dan walaupun pasukan mereka dibarisi hampir keseluruhan pemain muda namun semangat juang pemain mereka cukup tinggi apabila bertemu dengan pasukan yang lebih kuat. Saya fikir kehadiran mereka dalam liga musim ini amat jauh berbeza berbanding musim lalu dan ini yang perlu kita beri perhatian.

“Saya tidak mengambil mudah mengenai perlawanan ini. Pemain mesti mempunyai karakter yang baik untuk menang. Yang penting kita perlu mengutip tiga mata. Pemain harus memanfaat peluang beraksi digelanggang sendiri kerana Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang kelebihan sekali pun bergelar tuan rumah dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut Karathu, beliau dijangka menurunkan kesebelasan pemain yang sama ketika mengalahkan kelab Johor FC tempohari dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur malam ini.

“Pemain harus merebut peluang yang terhidang. Asal ada peluang sahaja mereka harus memanfaatkan dengan menjaringkan gol. Dengan semua pemain bebas daripada penggantungan perlawanan dan kecederaan kecuali S Chanturu yang masih mengalami kecederaan, saya fikir kita berada dilandasan yang tepat untuk mencipta kemenangan sekali lagi.

“Saya akan mengekalkan formasi 4-4-2 dalam perlawanan ini. Penyerang muda, Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) sekali lagi akan diberi peranan bergandingan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Walaupun dia tidak menjaringkan gol dalam perlawanan lalu, tetapi saya berpuas hati dengan prestasi dia.

“Apa yang saya harapkan, kita dapat mengekalkan rekod tanpa kalah kita. Kemenangan adalah penting dan tiga mata begitu bermakna untuk kita bagi membolehkan kekal menerajui carta liga,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular