Pengumuman Tiket Esok:

Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo
KEJAYAAN merangkul dua kejuaraan, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih dalam tempoh kurang 90 hari terus menjadikan Kelantan yang dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa antara kuasa baru bola sepak Malaysia yang perlu disegani.
Kejayaan tersebut hadir selepas Kelantan menanti hampir 26 tahun untuk membawa piala tersebut ke bumi Cik Siti Wan Kembang.
Disebalik kejayaan itu, ada nada kebimbangan disuarakan oleh ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu yang menyifatkan ia adalah satu permulaan selain perjalanan yang menanti anak-anak buahnya masih panjang dan beronak.
Menurutnya, kejayaan awal yang diperoleh sebaik tirai Liga Super musim 2011 di buka seharusnya dijadikan pencetus semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kecemerlangan Kelantan.
“Pemain yang bermotivasi sentiasa bersemangat untuk bermain dan memenangi perlawanan. Apabila anda cukup berkomunikasi di padang dan sentiasa bekerja keras, anda layak untuk menang dan kita membuktikannya semalam (kelmarin).
“Saya harap pemain tidak terlalu bergembira dengan kejayaan ini sehingga menjadikan mereka lalai kerana musim masih panjang dan saya tidak mahu kejayaan terhenti di sini kerana misi kita ialah mencari kejayaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, biarpun berjaya menumpaskan gergasi Lembah Klang itu, namun, beliau telah mengenalpasti beberapa kelemahan yang ada pada pasukannya dan berharap ia akan dapat diselesaikan sebelum turun melayan kunjungan Terengganu di Kota Bharu, esok.
Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh para pemain terutama bahagian pertahanan yang mempamerkan disiplin yang cukup baik ketika mengekang asakan penggempur Selangor.
“Saya pesan kepada semua pemain sebelum ini, kita kena main seperti seorang juara. Juara mesti sentiasa bersemangat dan sentiasa mempamerkan lebih daripada apa yang ditunjukkan oleh pasukan lawan, tidak boleh terlalu merendah diri ketika beraksi.
“Saya mahu motivasi itu kekal dalam diri pemain, mereka kena sedar Kelantan adalah juara Piala Malaysia dan pemain yang ada dalam pasukan Kelantan mestilah mereka yang sentiasa hanya inginkan kejuaraan,” ujarnya.
Perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam malam kelmarin menyaksikan Kelantan dinobatkan sebagai juara baru dan buat pertama kalinya merangkul piala tersebut selepas menumpaskan Selangor dengan 2-0.
Gol Kelantan disumbangkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit kelapan menerusi sepakan penalti selepas pemain sayap, Nurul Azwan Roya dijatuhkan pertahanan Selangor, Razman Roslan dalam kotak penalti. Badri Radzi melengkapkan malam bergaya itu dengan gol kedua menerusi sepakan percuma.
“Perjalanan seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama”. Pepatah tersebut memang kena dengan tempatnya jika dikira dengan perjalanan Red Warriors untuk bersama-sama dengan kuasa elit bolasepak tanahair.
Kejuaraan pertama musim 2011 ini semalam iaitu dengan membenam Selangor di tempat lawan dan menjulang Piala Sultan Hj Ahmad Shah menjadi suatu katalis bagi musim yang boleh dikatakan penuh berliku ini.
Penuh dengan kontroversi dan disi dengan pelbagai drama tidak menjadi halangan yang sukar ketika pasukan yang dibimbing Dato’ M Karathu ini dengan selamba mengutip tiga mata berharga di tempat lawan dan kemudiannya mendakap piala pertama utuk musim ini.
Perlawanan yang dijangka panas sebenarnya agak teratur untuk Red Warriors untuk 30 minit pertama pertama perlawanan. Sebelum ini para penonton digoyahkan sedikit oleh keputusan perlawanan pra musim yang agak teruk seharusnya boleh menarik nafas lega dengan persembahan pemain-pemain yang baru diambil untuk musim ini.
Secara logiknya, pemergian Indra dan Farhan untuk mengatur serangan tidak perlu lagi digusai oleh para penyokong. Suntikan larian kencang oleh Nurul Azwan (Awe) di sebelah kiri dan gelecekan oleh Soley disebelah kanan mengundang rasa terhibur untuk penyokong yang secara amnya masih lagi mengharap sentuhan Nor Shahrul Idlan untuk membuat penyudahan.
Menang dengan dua gol di tempat lawan adalah suatu petanda yang Kelantan tidak goyah sedikit pun untuk menjalani musim 2011 yang panjang ini. Mengambil kesinambungan tahun lepas dengan persembahan yang sangat cemerlang ditempat lawan, skuad yang diketuai oleh Piyaa mempamerkan hantaran pendek yang kemas dan dibantu oleh larian cemerlang oleh Daudsu.
Mungkin suatu yang boleh diperbaiki ialah rasa yang terlalu hormat kepada pemain Selangor seperti Safee dan Amri yang membataskan ‘keinginan’ untuk menyerang kubu lawan. Zairul Fitri (Roypi) yang agak sibuk mengawal Safee dan sekali sekala ‘clearance’ yang agak liar dari Rizal dan Ishe membantutkan tempo menyerang kubu lawan.
Gerakan cemerlang Awe pada minit ke-6 dan seterusnya menghadiahkan sepakan penalti untuk Kelantan dan gol cemerlang sepakan percuma Piyaa sebenarnya membenarkan semua rakyat Kelantan untuk bermimpi lebih pada tahun ini. Dibantu oleh pengurusan yang cemerlang, skuad ini sepatutnya boleh pergi lebih jauh lagi dan seterusnya mempersiapkan skuad dengan penuh kesungguhan sebelum Liga M menampilkan pemain import pada tahun hadapan. Perlawanan semalam juga seperti yang diperkatakan oleh M Karathu ialah kemenangan sepasukan. Red Warriors seperti satu unit yang mantap dengan formasi awal 4-5-1 dan kemudiannya bertukar kepada 4-3-3 pada separuh masa kedua.
Mungkin akur dengan barisan tengah Selangor yang agak ‘ternama’, taktikal mudahnya ialah dengan meletak lima barisan tengah dengan hanya Mat Yo yang bertindak seorangan di bahagian hadapan. Secara dasarnya, ini menyebabkan barisan enjin midfield selangor tidak berjaya beroperasi dengan baik dan mengundang kemarahan K Devan seterusnya mengeluarkan tiga midfielder ‘ternama’ mereka iaitu Hardi, Safiq dan Amri. Walaupun begitu, akibat kurang sokongan dan berseorangan , gerakan Mat Yo agak terbatas dan ini mengurangkan kebarangkalian untuk menjaringkan gol.
Kekurangan percubaan ke arah gol lawan seperti pada masa pertama adalah suatu yang perlu di perbaiki oleh panel kejurulatihan Kelantan dan formasi 4-3-3 pada separuh masa kedua adalah alternatif yang baik untuk taktik menyerang.
Persembahan yang baik semalam juga menampakkan beberapa tanda yang positif buat Kelantan dalam menghadapi Liga Super musim ini. Antaranya ialah :-
Dalam kegembiraan memenangi piala pertama musim ini, terdapat juga beberapa aspek yang masih perlu diperbaiki bagi menjadikan impian TSAM dan seluruh peminat bolasepak Kelantan untuk melihat kita menjadi “SUPERWARRIORS’ menjadi kenyataan.
Antara yang perlu diambil perhatian ialah bagaimana mahu mencari gol selain daripada Mat Yo yang nampaknya akan dikawal dengan ketat oleh pertahanan lawan. Begitu juga barisan pertahanan yang perlu lebih relaks dan membaca permainan pihak lawan.
Masalah penonton juga tak dapat dari apabila melibatkan Red Warriors. Penonton kita perlu lebih berhemah walaupun perlawanan semalam menampakkan satu benda yang sangat jelas untuk kita imbas untuk kejohanan Piala AFF tempoh hari. Ultras ialah dari pihak Red Warriors dan geng tembak laser ialah jelas dari penonton Selangor.
Ini dapat dibuktikan semalam semasa Mat Yo mahu menendang penalti dan semasa pasukan Selangor memperolehi sepakan sudut dan tendangan percuma. Mutu pengadilan juga boleh dipertingkatkan dan ianya adalah penting selaras dengan transformasi Liga M yang dilancarkan baru-baru ini.
Seterusnya ialah pertemuan dengan Terengganu, satu ‘derby’ pantai timur dan Red Warriors sepatutnya menghadiahkan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke –IV tiga lagi mata berharga. Seperti kata pepatah di awalan tadi, Langkah pertama sudah dimulakan dengan jayanya dan InsyaAllah langkah seterusnya akan lebih bergaya untuk mencapai impian semua membentuk “Happy Superwarriors”.
SHAH ALAM – Bukan mudah untuk menewaskan Selangor yang beraksi di gelanggang sendiri, namun tugasan itu berjaya dilaksanakan Kelantan apabila membenam ego skuad Red Giants 2-0 dalam aksi perlawanan sumbangsih, kelmarin.
Orang paling gembira dengan kejayaan itu sudah tentu jurulatih baru Kelantan, Datuk M. Karathu yang membuktikan kepulangannya di bumi Kelantan seakan-akan memberikan tuah dengan menghadiahkan trofi pertama Kelantan pada perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia.
Tanpa berselindung, Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 mengakui kejayaan itu akan melonjakkan motivasi pemainnya dalam memburu kejuaraan Liga Super pada musim ini memandangkan Selangor antara pencabar utama dan merupakan juara bertahan.
‘‘Menang ke atas Selangor di tempat lawan bukan satu perkara yang senang dan saya amat gembira kerana kami meraih tiga mata pada perlawanan pertama liga.
‘‘Selain menjuarai trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama, saya dapat rasakan kemenangan ini akan memberikan motivasi buat pemain untuk memburu kejuaraan Liga Super,” kata Karathu selepas berakhir perlawanan, kelmarin.
Kelantan yang lebih dikenali dengan jolokan Red Warriors menang menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha menerusi jaringan penalti seawal minit kelapan dan sepakan percuma di minit ke-84 oleh Mohd Badhri Mohd. Radzi.
Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah Kelantan ke atas Selangor kepada lima pertemuan.
Terengganu akan menjadi lawan kedua Kelantan dalam saingan Liga Super pada perlawanan yang dijadualkan esok di Stadium Sultan Mohamed IV.
Walaupun pada awal musim ramai meramalkan Kelantan akan pincang di bahagian sayap selepas ketiadaan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Nor Farhan Muhammad, sangkaan itu ternyata meleset sama sekali.
Aksi K. Soley (Solihin Kanasian) serta bekas pemain Johor FC, Mohd. Nurul Azwan Roya menggantikan dua pemain sayap itu jelas memukau pada perlawanan berkenaan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan Kelantan mampu melangkah lebih jauh pada musim ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Karathu sendiri yang memuji persembahan kedua-dua pemain itu yang menjadi nadi kepada jentera serangan Kelantan.
‘‘Walaupun masih baru, kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang permasalahan untuk bermain dengan baik dan kehadiran mereka akan banyak membantu Kelantan melangkah maju ke hadapan.
‘‘Saya harap mereka berdua dan pemain lain boleh mengekalkan momentum yang sama dalam setiap perlawanan yang kita akan harungi selepas ini,” ujarnya.
KOTA BHARU – Meskipun baru dinobatkan selaku juara Piala Sumbangsih buat kali pertama, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu enggan mendabik dada dengan kejayaan kelmarin.
Sebaliknya, beliau mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejuaraan tersebut dan memberikan fokus yang tinggi dalam setiap perlawanan yang bakal dihadapi selepas ini.
Menurut Karathu, kejayaan yang dikecapi menumbangkan Selangor pada perlawanan pembukaan Liga Super, kelmarin merupakan permulaan buat The Red Warrrios bagi menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar pada musim ini.
“Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh para pemain. Walaupun baru digandingkan, mereka telah mempamerkan aksi terbaik serta menunjukkan persefahaman yang mantap terutama barisan pertahanan.
‘‘Mereka telah menunjukkan satu disiplin yang tinggi dan berjaya mengawal setiap asakan lawan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
KHAIRUL Fahmi (kiri) dan rakan sepasukan Mohd Badri Mohd Radzi bersama Piala Sultan Ahmad Shah yang mereka menangi selepas menumpaskan Selangor 2-0, malam tadi.
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyifatkan pemilihannya sebagai pemain terbaik perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah sebagai kejayaan sepasukan.
Beliau berkata, kejayaan itu dikongsi bersama kerana ia hadir hasil usaha sepasukan dan semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kemenangan Kelantan.
“Ini adalah anugerah pemain terbaik pertama yang saya terima, dan pastinya ini menguatkan lagi keazaman saya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang.
“Kejayaan menjulang trofi ini juga akan menjadi pembakar semangat kepada skuad Kelantan untuk meneruskan aksi cemerlang dalam Liga Super musim ini,” katanya.
Khairul Fahmi juga berjaya mengekang rakan sepasukan skuad kebangsaan, Safee Sali yang menjadi penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF buat menghampakan Selangor di halaman sendiri.
Piala Sumbangsih: Suka Bawa Duka | ||
|
Saat Suka
Hantaran pendek yang tepat, barisan tengah perancang terbaik, kombinasi Nurul Azwan Roya, K.Soley, Mohd Badhri dan Norshahrul menjadi, barisan pertahanan dan penjaga gol yang kebal dan kental. Inilah antara komen-komen suka seluruh penyokong Kelantan apabila wisel penamat ditiupkan semalam.
Pujian melambung juga turut diberikan kepada ketua jurulatih baru The Red Warriors Datuk M. Karathu yang dilihat mampu mengatur strategi yang mantap. Pasukan Selangor semalam dilihat tidak berdaya melawan asakan pemain The Red Warriors yang diketuai Mohd Badhri, biarpun beberapa kali cubaan Safee Sali dan Amri Yahya merempuh pertahanan dihampakan dan dapat dipatahkan oleh barisan pertahanan dan penjaga gol tersohor di Malaysia.
Ramai pengkritik sukan dan termasuk pengulas sukan Astro Arena turut teruja dengan prestasi memberansangkan The Red Warriors, ternyata kekalahan demi kekalahan pada perlawanan persahabatan merupakan antara strategi bekas jurulatih B. Sathianathan untuk mengaburi pasukan lawan. Oleh itu tidak hairan jika pada 2 minggu lepas Safiq Rahim ketika ditemuramah wartawan arus perdana mengatakan dia hanya gerun dengan persembahan pasukan Negeri Sembilan seolah-olah mengambarkan perlawanan terdekat menentang Kelantan sedikit pun tidak digeruni.
Malah tanggapan Safiq Rahim turut mempengaruhi segelintir penyokong Kelantan yang turut menjangkakan prestasi Kelantan akan merosot akibat ketiadaan tiga bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke pasukan T.Team. Jika dihitung jumlah kehadiran penyokong Kelantan semalam sedikit merosot, berbanding jumlah penyokong bagi perlawanan menentang Selangor sebelum ini. Hujan sepanjang hari semalam juga mungkin salah satu faktor kemerosotan jumlah kehadiran. Kehadiran penyokong bersih daripada sebarang insiden pergaduhan dan provokasi serta terima kasih kepada pihak keselamatan stadium dan pihak polis yang berkerja keras memastikan perlawanan ini bebas daripada sebarang masalah yang sering melanda kedua-dua penyokong ini.
Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui semalam turut bangga dengan kemenangan ini dan sekaligus menutup segala masalah yang merencatkan perancangan beliau dalam pembangunan bolasepak Kelantan. Kemenangan ini adalah hadiah beliau kepada seluruh penyokong Kelantan yang sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada beliau memimpin pasukan bolasepak Kelantan supaya terus digeruni dan mencapai kegemilangan dalam mengutip piala-piala yang masih belum singgah di bumi Kelantan. Beliau turut berterima kasih kepada Datuk M. Karathu yang melaksanakan tugasan pertamanya dengan sempurna dan cemerlang.
Ucapan daripada barisan kepimpinan KAFA di Facebook:
Saat Duka
Namun kegembiraan KAFA tidak lama kerana KAFA berkemungkinan akan didenda bagi setiap kesalahan para penyokong yang masih berdegil atau membawa perangai ulu mereka ke stadium walaupun sering kali ditegur dan dinasihatkan. Antara kesalahan yang masih ada semalam, membaling dan membawa masuk mercun, mengibar bendera politik, merosakkan harta benda stadium, membaling botol atau objek ke dalam padang dan membawa barangan kawalan polis seperti Flare. Balingan objek dan mercun telah menyebabkan perlawanan dihentikan lebih 10 minit kerana para pengadil gerun dengan balingan objek dan mercun berterusan daripada penyokong Kelantan.
Pelik sikap penyokong pasukan juara tetap sama, biarpun pihak polis dikerah lebih ramai mengawal gelagak penyokong Kelantan, ianya sedikitpun tidak menimbulkan perasaan takut kepada penyokong Kelantan. Apa sudah jadi dengan penyokong kita? Kenapa masih terbawa-bawa perangai tidak senonoh dan kekampungan ini? mungkin jawapan ini ada pada diri masing-masing, apa yang pasti KAFA mungkin didenda. Sedih mengenangkan saban tahun ada sahaja segelintir peminat yang suka membuat onar.
Namun pujian harus diberikan kepada seluruh penyokong Kelantan yang lain kerana terus bersemangat dan mengekalkan sikap bijak mereka dalam menyaksikan perlawanan ini. Paluan gendang bertalu-talu dan sorakan gamat sepanjang masa memecahkan kesunyian kem penyokong Selangor yang sudah kaku tergamam dengan jaringan cantik ketua pasukan Kelantan melalui sepakan percuma yang melencong tepat menewaskan penjaga gol Selangor.
Diharap kelab-kelab penyokong dan seluruh penyokong Kelantan terus berusaha gigih bersama KAFA memastikan baki perlawanan Kelantan selepas ini bebas daripada denda. Tiada guna penajaan dan nilai tiket penonton jutaan ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan pasukan Kelantan, dibazirkan kepada denda-denda yang dilakukan penyokong Kelantan.
FAKTA UNDANG-UNDANG MALAYSIA:
Kesalahan membawa "semua jenis mercun termasuk Mercun yang dikenali Flare boleh disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957. dan jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport kedua-dua bahan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo
Tahniah Kelate! Kelantan buat pertama kalinya menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah tahun 2011 sejak diperkenalkan pada tahun 1985. Selangor pulak gagal mencapai impian menjuarai piala ini buat kali ketiga berturut-turut. Sememangnya permainan malam ini memang best untuk kedua-dua pasukan Juara Piala Malaysia dan Juara Liga Super 2010.
Namun kemenangan nyata berpihak kepada Kelantan dengan jolokan The Red Warriors dengan jaringan penalti oleh penyerang profilik Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-8 dan sepakan percuma yang cantik dari kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya pada minit ke-73.
Kelantan yang menguasai perlawanan minit-minit awal menyebabkan pasukan Selangor agak kelam-kabut dan seringkali dilihat tidak dapat mengawal bola dengan baik sehinggakan pemain Kelantan dapat merampas dan menyerang ke kubu pasukan Selangor. Pada minit ke-8, Nurul Azwan Roya yang merupakan bekas pemain Johor FC pada musim lepas dijatuhkan di dalam kotak penalti dan pengadil tidak teragak-agak untuk memberikan kad kuning pertama dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan. Norshahrul Idlan Talaha dengan baik menjaringkan gol pertama Kelantan dan pertama di dalam musim Liga Super 2011.
Selangor juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan percubaan-percubaan yang menarik. Gandingan Safee Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal juga dilihat cuba memecah benteng pertahanan Kelantan yang ampuh iaitu Farisham, Daudsu. Selain dari kecekapan penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. Sepakan berbahaya juga dapat dihasilkan oleh Amri Yahyah dan Safee Sali. Penyerang Selangor, Fadzly Saari dilihat sentiasa berada di dalam offside untuk menjaringkan gol dan sememangnya pertahanan Kelantan bijak memerangkap penyerang Selangor untuk dalam keadaan offside.
Dato’ M.Karathu dan K.Devan pastinya mempunyai strategi masing-masing untuk separuh masa kedua. Nyata permainan pada separuh masa kedua tidak mengecewakan dan menghiburkan bagi kedua-dua penyokong Selangor mahupun Kelantan. Serangan demi serangan dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Pada minit ke-73, Kelantan diberikan sepakan percuma di sebelah kanan gawang Selangor. Sepakan diambil oleh kapten Kelantan, Piya yang menyepak rendah dan padu ke arah pintu gol Selangor melepasi jangkauan penjaga golnya, Mohd Iqbal Suhaimi dan terus ke dalam jaring Selangor. 2-0.
Perlawanan tamat dengan 2-0, Kelantan menang ke atas gergasi merah kuning. Namun, jika dilihat kini Selangor sememangnya bukan lagi pasukan tandingan Kelantan apabila dari 5 perlawanan terakhir menentang Kelantan, 3 perlawanan seri manakala 2 lagi perlawanan kalah. Kelantan kini adalah pasukan yang digeruni oleh pihak lawan dan sememangnya menjadi calon utama untuk menjuarai ASTRO Liga Super 2011 dan seterusnya layak ke Piala AFC tahun 2011.
Tamat permainan, Khairul Fahmi Che Mat diumum sebagai pemain terbaik perlawanan Piala Sumbangsih 2011. Kemenangan ini juga merupakan hadiah buat jurulatih Kelantan yang digantung selama 6 bulan oleh FAM, B.Sathianathan. Jurulatih baru Kelantan yang hanya sempat melatih Kelantan selama 2 hari, Dato’ M.Karathu berjaya membawa pulang piala sumbangsih ini ke bumi Kelantan. Pernah melatih Kelantan 18 tahun lepas selepas berjaya membawa Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia 1993 tetapi tewas kepada Kedah. Sekalung tahniah juga kepada pemain ke-12 Kelantan, iaitu penyokong-penyokong pasukan Kelatan The Red Warrior yang tidak putus-putus dan tidak berbelah bahagi. Tahniah! teruskan supaya kita dapat menjadi Juara Liga Super 2011!
SELANGOR 0
KELANTAN 2
Norshahrul Idlan Talaha(pen m-8)
Muhd Badhri Radzi (m-84)
SHAH ALAM – Genap tiga bulan menjulang Piala Malaysia, Kelantan sekali lagi mencipta sejarah baru apabila muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali setelah mengalahkan Selangor 2-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ini merupakan kejuaraan pertama pasukan The Red Warriors memenangi piala tersebut sejak ianya mula dipertandingkan dalam pentas bola sepak negara 27 tahun lalu. Pertembungan Selangor dan Kelantan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah musim dipilih berdasarkan kriteria Selangor yang muncul sebagai juara Liga Super dan Kelantan pula dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia musim lalu.
Beraksi dihadapan hampir 40,000 penyokong dengan sokongan padu yang seimbang oleh kedua-dua penyokong, Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baru, Datuk M Karathu tiga hari lalu membuktikan kemelutan yang membelenggu pasukannya sebelum ini tidak menghalang impian mereka untuk meruntuhkan keyakinan tinggi pasukan Red Giants untuk mempertahankan kejuaraan dihalaman sendiri.
Kelantan yang melakukan sepak mula terlebih dahulu menguji kekentalan pintu gol Selangor seawal minit pertama perlawanan menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi namun sepakannya sedikit melewati palang.
Pada minit kelapan, Kelantan diberikan sepakan penalti apabila bek kanan Selangor, Mohd Razman Roslan menjatuhkan Mohd Nurul Azwan Roya didalam kotak penalti. Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mudah menyepak masuk ke sebelah kiri pintu gol menewaskan Mohd Iqbal Mohd Suhimi.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor kembali menggandakan asakan menerusi serangan balas pada m-12 melalui Mohd Shafiq Rahim namun lorongannya terlalu jauh untuk disambut Mohd Safee Sali.
Selang seminit kemudian, Selangor hampir menyamakan kedudukan namun percubaan pemain kebangsaan Mohd Shafiq daripada luar kotak penalti diselamatkan pemain pertahanan Kelantan diatas garisan gol. Dominasi Selangor berterusan selepas ini apabila mempunyai dua peluang terbaik melalui Mohd Hardi Jaafar pada m-17 dan 20 namun percubaannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Namun anak buah pengendali baru, M Karathu jelas tidak mahu mengalah apabila turut mempunyai peluang menambahkan gol pada m-23 hasil situasi kelam-kabut didepan pintu gol Selangor tetapi kuisan Muhd Badhri sedikit melewati palang.
Pada m-32, Mohd Safee merakamkan kehampaan apabila tandukannya hasil hantaran lintang Mohd Shafiq terkena palang gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas. Sementara pada minit-minit akhir separuh masa pertama, kehebatan Khairul Fahmi sekali teruji menerusi percubaan jarak jauh 35 meter oleh Mohd Hardi yang hampir memerangkap beliau digawang gol Kelantan.
Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi permainan pantas dan menghiburkan apabila saling menyerang ke pintu gol pasukan masing-masing. Pada m-52, Selangor sekali lagi hampir menyamakan kedudukan apabila hantaran jauh Mohd Amri ditampan Mohd Safee menerusi kuisan mengelirukan namun Khairul Fahmi berada tepat pada masanya menyelamatkan pintu gol Kelantan.
Pada m-61, giliran Kelantan pula membalas serangan menerusi lorongan Muhd Badhri yang ditampan kemas Mohd Nurul Azwan yang kemudian membawa masuk bola ke dalam kotak penalti tetapi sepakan kencangnya diselamatkan Mohd Iqbal.
Pada m-62, pengadil perlawanan Mohd Yusof Mat Karim terpaksa menghentikan perlawanan kira-kira 10 minit gara-gara tindakan penyokong Kelantan membaling mercun dan botol minuman ke kawasan padang.
Selang 13 minit kemudian, Mohd Safee sekali lagi kempunan untuk meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatan jarak jauhnya mudah dibaca Khairul Fahmi. Sementara itu, percaturan Jurulatih Selangor, K Devan mengeluarkan Ketua Pasukan, Mohd Amri dan memasukkan S Sritharan selepas itu tidak banyak membantu menguatkan jentera serangan pasukannya.
Pada m-84, Stadium Shah Alam sekali lagi bergema dengan sorakan setia penyokong The Red Warriors apabila sepakan percuma Muhd Badhri menerjah jaring seterusnya menewaskan Mohd Iqbal menghasilkan gol kedua Kelantan.
Sementara dua percubaan pemain gantian, S Sritharan pada masa kecederaan sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi turut diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi. Kejayaan mengatasi Selangor dengan kemenangan dua gol membolehkan Kelantan mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini disamping menamatkan rekod tidak pernah menang di Stadium Shah Alam sejak sekian lama.
Kesebelasan utama pemain :
SELANGOR : Mohd Iqbal Mohd Suhimi, P Gunalan, Yosri Derma Raju, Mohd Razman Roslan, Mohd Asrarudin Putra Omar, Mohd Hardi Jaafar (Mohd Fazilidin Khalid), Mohd Amri Yahyah (KP)(S Sritharan), Shafiq Rahim (Mohd Fitri Shazwan Raduwan), Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Fadzli Shaari dan Mohd Safee Mohd Sali.
FORMASI : 4-4-2
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Solehin Kanasian Abdullah, Mohd Shakir Shaari, Danial Fadzly Abdullah (Mohd Khairul Izuan Rosli)(Khairan Eroza Razali) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-5-1
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Selangor (4) Kelantan (3)
Percubaan tersasar : Selangor (6) Kelantan (4)
Sepakan sudut : (5) Kelantan (3)
Sepakan percuma : Selangor (25) Kelantan (16)
Offsaid : Selangor (5) Kelantan (1)
Kekasaran : Selangor (10) Kelantan (24)
Kad kuning : Selangor (Mohd Razman Roslan) Kelantan (Mohd Shakir Shaari, Mohd Daudsu Jamaluddin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Selangor (48%) Kelantan (52%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1: Mohd Hanif Abd Rahman
Penolong Pengadil 2: M Sivanesan
Pegawai Keempat : S Sittharanjanan
Komisionel Perlawanan : Mustaq Khan Alias Khan
General Kordinator : Suhairi Rahmad
KOTA BHARU - Tempoh dua hari yang dimiliki oleh pengendali baru Red Warriors, Datuk M.Karathu mencukupi untuk beliau menyusun strategi bagi menghadapi Perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini.
Bekas jurulatih Perak itu berkata, pada pertembungan dengan Selangor, anak-anak buahnya akan turun dengan taktikal yang telah dirancang oleh bekas rakan sejawatnya, B.Sathianathan.
Menurutnya, beliau hanya sempat menjalani latihan selama dua hari bersama pasukan selepas mengambil alih tugas Sathia, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Bagi saya keputusan terbaik adalah mengekalkan taktikal yang digunakan oleh bekas jurulatih Sathia. Tempoh dua hari tidak cukup buat saya untuk mengubah keseluruhan corak permainan pasukan.
"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Sathia dan Hashim Mustapa untuk pemain merencanakan taktikal terbaik apabila turun menentang Selangor malam esok (malam ini)," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan untuk perlawanan yang berprestasi tinggi hari ini, iaitu aksi pertama musim ini.
"Masalah ini sering berlaku kepada pemain tempatan. Saya kira Selangor juga berdepan masalah yang sama," katanya.
Karathu menjelaskan, untuk perlawanan hari ini, pasukannya berdepan masalah apabila dua penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha belum pasti diturunkan, selepas mengadu kesakitan pada sesi latihan sejak dua hari.
Tambahnya, lebih memeritkan, beliau terpaksa melupakan khidmat pemain lincah, S. Chanturu yang masih cedera.
"Namun kami masih ada dua penyerang muda yang boleh diketengahkan iaitu Nizad Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.
"Bagi saya ia satu situasi yang cukup baik apabila semua pemain mempunyai keyakinan untuk turun beraksi dan pentas akhir tidak sama dengan perlawanan biasa, saya mahu para pemain beraksi dengan gembira dan buktikan kemampuan," ujarnya.
Karathu menyifatkan Selangor memiliki kekuatan dari segi serangan kerana memiliki pemain yang bagus seperti Safee (Sali), Amri (Yahyah) dan Amirulhadi (Zainal).
"Ini bermakna barisan pertahanan kami perlu bekerja kuat untuk mengekang mereka," ujarnya
Muhd Badhri Radzi
KOTA BHARU – “Bermain seperti biasa dan balas kepercayaan peminat”. Begitulah pesanan Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi kepada rakan-rakan sepasukannya menjelang sepak mula perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah membabitkan pertemuan Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini.
Muhd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya pemain yang berasal dari Jalan Atas Paloh, dekat Kota Bharu diberi kepercayaan memakai lilitan dilengan sebagai Kapten baru Kelantan menggantikan Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke pasukan T-Team musim ini.
Muhd Badhri berkata, dia berharap pasukan Kelantan dapat mencipta kemenangan dalam perlawanan malam ini sebagai pembakar semangat dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini.
“Saya minta semua pemain bertenang dan kita akan turun bermain seperti biasa menentang Selangor. Sekalipun tanpa B Sathianathan (digantung enam bulan) kita tetap akan menunjukkan satu persembahan yang terbaik lebih-lebih lagi dihadapan penyokong setia Kelantan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara semalam.
“Saya percaya dengan gabungan di antara pemain muda dan lama yang ada, kita mampu membuktikan kita sesuatu kepada peminat. Sekali tanpa beberapa tonggak yang berhijrah, pasukan Kelantan yang baru pada hari ini tidak ada bezanya dengan musim lalu.
“Kita ada Nurul (Mohd Nurul Azwan Roya), Solehin (Solehin Kanasian Abdullah) Norshahrul (Idlan Talaha) yang tidak kurang hebatnya bahkan barisan pemain kita tidak tempang musim ini sebagaimana diragui peminat sebelum ini,” katanya.
Menurut Badhri, kekuatan pasukan Kelantan adalah berpaksikan kepada keserasian mereka bertindak sebagai satu unit pasukan dan beliau tidak melihat mengapa Kelantan tidak boleh menang dalam perlawanan malam ini.
“Pesanan saya kepada rakan-rakan walau apa dugaan sekali pun yang datang, kita akan tetap bermain sebagai sebuah pasukan. Walau pun kita ditimpa musibah ekoran penggantungan jurulatih dan latihan kita sedikit terjejas beberapa hari lalu namun semua itu tidak mematahkan semangat kita.
“Bahkan suntikan semangat daripada jurulatih baru, Datuk M Karathu dibantu oleh Sathianathan bakal membakar semangat kita untuk membawa pulang piala itu buat pertama kali ke Kota Bharu,” katanya.
Kecemerlangan pada Piala Suzuki AFF bulan lalu pastinya mahu diteruskan oleh Khairul Fahmi Che Mat, apabila pasukannya Kelantan menentang Selangor pada Perlawanan Sumbangsih, hari ini.
KOTA BHARU – Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjanjikan aksi terbaik jika diberi tugas mengawal benteng terakhir pasukannya menentang Selangor pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, hari ini.
Turun dengan misi membantu Kelantan merangkul kejuaraan pertama Piala Sultan Ahmad Shah, selain memungut tiga mata pada aksi sulung Liga Super musim ini, Khairul Fahmi berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan tersebut.
Menurutnya, walaupun Kelantan dilanda beberapa masalah, ia tidak menjejas tumpuannya menjelang perlawanan itu.
“Segala persiapan berjalan lancar. Untuk perlawanan esok saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membantu Kelantan memenangi perlawanan tersebut.
“Walaupun turun tanpa jurulatih B. Sathianathan yang digantung, kehadiran jurulatih baru Datuk M. Karathu memberi semangat buat seluruh pasukan,” katanya ketika dihubungi sini, semalam.
Fahmi, kelahiran Kampung Cherang, membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF bulan lalu.
Mengulas pertembungan Kelantan-Selangor, Khairul Fahmi menjangkakan perlawanan sengit.
“Selangor sebuah pasukan yang kuat, mereka ada ramai pemain yang hebat dan berpengalaman. Namun saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah buat Selangor.
“Kami akan berjuang bermati-matian seterusnya membawa pulang kejuaraan ke Kelantan, selain mendapatkan tiga mata,” ujarnya.
PENULIS REDSFC PADA 22:37 5 POST SAIM-SAIM