KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 13 Mac 2011

Rekod Tanpa Kalah Kelantan Lebur


Penyerang Pahang, Azamuddin Mohd Akil menarik baju Mohd Daudsu Jamaluddin dalam usahanya melepasi halangan pemain tersebut.

PAHANG 2
R Surendran (m-43)
Mohd Faizol Hussin (m-90)

KELANTAN 0

KUANTAN – Rekod tanpa kalah Kelantan akhirnya lebur pada perlawanan ketujuh apabila tewas 0-2 kepada Pahang pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Dua gol masing-masing pada penghujung babak pertama dan kedua menerusi jaringan R Surendran dan Mohd Faizol Hussin sudah cukup untuk membolehkan pasukan kendalian Dollah Salleh itu meraih tiga mata berharga dihadapan penyokong sendiri.

Beraksi dihadapan hampir 10,000 penyokong, walaubagaimanapun kedua-dua pasukan menyajikan corak permainan yang menghiburkan dengan aksi berbalas serangan pada separuh masa pertama.

Empat kad kuning dilayangkan oleh pengadil, Lismotia Mohem Mohd Tisa pada separuh masa pertama masing-masing dua kepada pemain Kelantan iaitu S Chanturu dan Mohd Daudsu Jamaludin sementara pemain Pahang pula iaitu Mohd Fazli Baharudin dan Mohd Munir Amran.

Penyerang muda Pahang yang sedang meningkat naik, Famirul Asraf Sayuti hampir meletakkan pasukannya mendahului pada m-13 namun rembatannya sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pada m-43, Pahang memperolehi gol pertama mereka menerusi jaringan R Surendran. Bermula hantaran lintang Azamuddin Mohd Akil daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan, Surendran pantas menandukan masuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk memastikan Pahang mendahului 1-0 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Tiga minit babak kedua bersambung, penyerang Kelantan, S Chanturu berjaya menjaringkan gol untuk Kelantan namun pengadil perlawanan membatalkannya setelah dia dikesan berada didalam kedudukan ofsaid.

Penyerang lincah Pahang, R Surendran turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan bagi pasukannya pada m-50 dan 51 perlawanan tetapi rembatannya sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Ketinggalan satu gol, jelas tekanan menghantui pasukan Kelantan dalam usaha mereka mencari gol penyamaan. Pengendali pasukan, Datuk M Karathu terpaksa mengeluarkan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dan memasukkan Mohd Nizab Ayub bagi menambahkan sengat dijentera serangan.

Kelantan sekali lagi turut mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada m-60 namun rembatan S Chanturu ditepis keluar penjaga gol Pahang, Mohd Suffian Abdul Rahman.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain gantian Pahang, Mohd Faizol Hussin menambah derita pasukan Kelantan apabila menjaringkan gol kedua pasukannya seterusnya melengkapkan kejayaan gemilang pasukan Tok Gajah meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan dalam saingan liga setakat ini.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Wan Rohaimi Wan Ismail), Danial Fadzly Abdullah (Solehin Kanasian Abdullah), Muhd Badhri Radzi (KP) (Mohd Nizab Ayub), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

PAHANG : Mohd Suffian Abdul Rahman, Mohd Munir Amran (Mohd Fadzirul Zakaria), Jalalludin Abu Jaafar (KP), Mohd Saiful Nizam Miswan (Mohd Hazri Rozali), Zaiza Zainal Abidin, R Surendran, Mohd Fazli Baharudin, Mohd Shahrizan Salleh, Azammuddin Mohd Akil, R Surendran (Mohd Faizol Hussin) dan Famirul Asraf Sayuti.

FORMASI : 4-4-2

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Lismotia Mohem Mohd Tisa
Penolong Pengadil 1: Ismadi Ibrahim
Penolong Pengadil 2: Mohd Ilham Mohd Tahir
Pegawai Keempat : Azman Ismail
Komisioner Perlawanan : VKS Sinniya
General Kordinator : Zolkefli Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular