KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 8 Mac 2011

Malaysia mampu menang - Khairul Fahmi

SEPANG - Kapten skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat optimis kemenangan mampu milik Malaysia pada aksi perlawanan kelayakan kedua menentang skuad Olimpik Pakistan di Stadium Punjab, Lahore, esok.

Janji penjaga gol sensasi negara itu, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan gawang negara daripada dibolosi jentera serangan Pakistan yang dijangka memberikan aksi lebih sengit berbanding perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Keupayaan bahagian pertahanan menangkis serangan Pakistan pada perlawanan pertama tersebut membuatkan Khairul Fahmi bertambah yakin untuk mendapatkan kejayaan di Lahore.
Menurut Khairul Fahmi, segala pengalaman beraksi di pentas dunia termasuk kejayaan memperoleh kemenangan dalam Piala Suzuki AFF 2010 bersama skuad kebangsaan akan dimanfaatkan sebaiknya pada perlawanan esok.

Katanya, pasukan negara perlu mendapatkan gol awal pada perlawanan esok bagi memastikan keyakinan pemain berada di tahap terbaik sebelum boleh mendapatkan kemenangan.

''Pemain juga perlu sentiasa berwaspada dengan corak permainan Pakistan pada perlawanan Rabu ini kerana kita tidak boleh terlalu selesa dengan dua gol yang kita ada setakat ini.

''Jurulatih juga ada memberikan pesanan pada kami agar lebih banyak bersabar pada perlawanan itu nanti selain yakin dengan keupayaan sendiri ketika beraksi di tempat lawan,'' katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi berkata, kesemua pemain yang akan ke Lahore berada pada tahap yang terbaik selain bersemangat untuk beraksi pada perlawanan kedua esok.

''Latihan persediaan yang kita lakukan sebelum ini juga membuatkan kami bertambah yakin untuk menghadapi Pakistan walaupun tahu pasukan lawan tidak akan mudah memberikan kita kemenangan.

''Saya harap tidak ada apa-apa masalah semasa perlawanan berlangsung dan apa yang paling penting kami perlu fokus kepada tugas masing-masing,'' kata Khairul Fahmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular