KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 6 Mac 2011

Kijang gah di puncak

KETIKA hukuman penggantungan jurulatih Kelantan, B Sathianathan dikekalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sampai seminggu sepak mula Liga Super bermula, ramai yang menganggap bala menimpa gergasi Pantai Timur itu.

Tapi selepas enam perlawanan liga musim ini berlangsung, skuad The Red Warriors yang kini dikendalikan Datuk M Karathu membuktikan bahawa telahan itu tidak benar sama sekali apabila mereka gah mendominasi puncak liga.

Dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri bagi mengumpul 14 mata sudah cukup membuktikan Kelantan antara pasukan pilihan untuk muncul juara musim ini biarpun saingan masih jauh.
Malah mereka membuktikan jentera serangan yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha cukup ampuh setakat ini dengan 13 gol keseluruhan.

Namun Kelantan terus diekori rapat Perak yang mencipta kebangkitan di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar musim ini.

Ketika saingan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA dan persiapan skuad Olimpik negara, skuad Seladang itu boleh tersenyum dengan rekod tanpa kalah dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga.
Satu lagi wakil Pantai Timur, Terengganu turut mengancam di awal saingan dengan menduduki tempat ketiga dengan 11 mata selepas hanya kalah sekali kepada juara bertahan Selangor pada perlawanan keempat liga.

Selangor yang lebih mendapat tumpuan dengan isu perpindahan tonggak utama, Mohd Safee Sali pula berkongsi mata dengan Terengganu dan pasukan kelab, Felda United.

Walaupun saingan masih awal, namun tekanan kuat dirasai beberapa jurulatih sehingga menyaksikan Mosthakeen Omar mengambil keputusan meletak jawatan selepas melihat Perlis terperosok di tangga terbawah liga selepas gagal mencatat sebarang kemenangan.

Selain Mosthakeen, kedudukan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan juga dilaporkan goyah selepas aksi hambar dengan tiga kekalahan walaupun membawa masuk beberapa pemain seperti Hairuddin Omar dan Ahmad Fakri Saarani.

Dan pastinya saingan serta tekanan ini akan menambah kerancakan Liga Super yang akan bersambung semula pada 11 Mac depan dengan mempertemukan Johor FC dan Kuala Lumpur disusuli enam lagi perlawanan sehari selepas itu.

Sementara itu, saingan Liga Perdana turut mencuri perhatian dengan memperlihatkan kehebatan Selangor PKNS melakar kemenangan dalam kesemua lima perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun pasukan di tangga kedua, ATM boleh merapatkan jurang kepada satu mata jika berjaya menewaskan pasukan pendahulu itu dalam perlawanan tumpuan pada 11 Mac depan di gelanggang lawan.

Salah satu daripada tiga pasukan negeri yang bermain dalam Liga Perdana musim ini, Sarawak menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dengan rekod jaringan terbanyak, 15 gol.

Johor yang mara ke suku akhir Piala FA berpeluang untuk memperbaiki kedudukan tempat ketujuh jika mampu menewaskan pasukan di tangga keempat, USM di laman sendiri selepas ini.

Dalam pada itu, penyokong Pulau Pinang pula ada sebab untuk berasa geram apabila menyaksikan pasukan kesayangan mereka terperosok di dasar liga tanpa sebarang kemenangan dan jika keputusan itu berterusan tidak mustahil angin perubahan akan berlaku dalam skuad Harimau Kumbang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular