KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 21 Mac 2011

Mental, disiplin julang Kelantan


KETUA Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berbangga dengan prestasi dan semangat juang sebenar yang dipamerkan anak buahnya ketika menumpaskan FELDA United 3-0 pada perlawanan kedua suku akhir Piala FA, malam kelmarin.

Walaupun tertekan selepas seri 2-2 dalam perlawanan pertama, katanya, mental pemain tetap kuat dan disiplin tinggi untuk mencari kemenangan ke atas pasukan kelab bimbingan E Elavarasan itu.
“Sebaik wisel ditiupkan, kami terus melancarkan serangan dan dapat menguasai hampir keseluruhan 90 minit masa saingan sebenar,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV itu kelmarin.
Kelantan yang mara dengan agregat 5-2, akan bertemu Selangor di peringkat separuh akhir selepas Merah Kuning turut mudah melepasi halangan Johor dengan agregat yang sama.

“Gol pertama S Chanturu pada babak pertama memberikan keceriaan kerana kami terdesak untuk mencari gol dan selepas Nurul Azwan Roya mendapatkan jaringan kedua, kami cuba memperlahankan rentak permainan bagi mengganggu tumpuan lawan dan hasilnya mereka gagal menembusi pertahanan Kelantan,” kata Karathu lagi.

Kelantan memperoleh gol ketiga hasil jaringan pemain gantian, Mohd Nizab Ayub pada minit 88 untuk membunuh terus saki baki semangat FELDA.

Ditanya persiapan pasukan bagi menghadapi Selangor, Karathu berkata, Kelantan perlu meneruskan perjuangan dan dia tidak kisah sekiranya terpaksa bertemu dengan Selangor pada separuh akhir.
“Saya tidak ada sebarang masalah sekiranya terpaksa menentang Selangor pada separuh akhir malah kita pernah menumpaskan mereka awal musim lalu.

“Walaupun mungkin akan bermain di gelanggang lawan pada perlawanan pertama pusingan separuh akhir nanti, ia tidak memberi sebarang masalah dan saya masih mempunyai masa untuk membuat persiapan serta memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular