KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 5 Mac 2011

Kelantan Layak Ke Suku Akhir

PASIR GUDANG – Pendahulu Liga Super, Kelantan mudah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA semalam apabila mengetepikan Johor FC dengan jaringan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium J-Corp, Pasir Gudang, malam tadi.

Kelantan yang membariskan hampir kesemua kesebelasan utama mereka kecuali penjaga gol utama kebangsaan, Mohd Khairul Fahmi yang diganti penjaga gol kedua negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Mohd Sharizan Ismail.

Kelibat pemain jersi nombor 12, Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain kebangsaan, NorShahrul Idlan Talaha nyata membuatkan pasukan tuan rumah goyah pada separuh masa pertama.

Gol sulung skuad Kijang muncul hasil tandukan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menyambut kemas hantaran silang Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-9.

Mohd Badhri hampir menambah satu lagi gol melalui sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-25 namun gagal apabila berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron.

Sokongan padu diiringi pukulan gendang penyokong skuad kijang membuatkan barisan anak buah M Karathu semakin rancak melancarkan serangan.

Usaha anak buah bimbingan Azuan Zain untuk menyamakan kedudukan hampa apabila sepakan percuma pemain nombor 15, Mohd Riduwan Maon pada minit ke-43 gagal disempurnakan.

Perlawanan semalam turut dicemari beberapa oleh beberapa insiden kecil apabila penyokong kedua-dua belah pasukan saling melakukan provokasi antara satu sama lain pada waktu rehat sebelum separuh masa kedua bermula namun kecekapan polis berjaya mengawal keadaan.

Babak kedua menyaksikan penjaga gol Kelantan terpaksa bekerja keras dalam memastikan gawang tidak dibolosi ekoran asakan bertali arus yang dilancarkan oleh pemain tuan rumah, Johor FC.

Pasukan pelawat yang menguasai perlawanan hampir menambah mata namun sepakan padu Mohd Badhri tepat di hadapan gawang gol berjaya di tangkis keluar oleh Mohd Anis.

Pemain nombor 11 Johor FC, Khairi Kiman hampir membuatkan pasukan pelawat berada di kedudukan selesa apabila hampir menyumbat gol sendiri pada minit ke-76 apabila cuba menghantar bola kepada penjaga gol namun bernasib baik apabila tandukannya itu hanya terkena tiang gol.

Pasukan tuan rumah terus tempang apabila hanya beraksi dengan 10 pemain setelah pemain gentian, Wan Mohd Haoesne Wan Hassan dilayangkan kad merah pertama perlawanan setelah mengasari Mohd Bahdri pada minit ke-79.

Namun pada minit ke-80, pengadil perlawanan, Mohd Yusoff Mat Karim terpaksa memberhentikan perlawanan selama dua minit berikutan insiden baling botol daripada penyokong tuan rumah.

Insiden itu menyebabkan rentak pasukan tuan rumah terganggu.

Sementara itu, Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu ternyata menjadi orang yang paling gembira sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil berikutan kejayaan pasukannya mengekalkan pencapaian rekod tanpa kalah dalam musim ini apabila pasukannya menewaskan tuan rumah Johor FC 1-0.

“Perlawanan ini adalah penting bagi Piala FA dan sememangnya pasukan kami mengejar kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang sekarang.

“Aksi babak separuh masa pertama kita mempunyai banyak peluang, namun sekadar memperoleh satu gol sahaja sehingga masa penamat.

“Apa yang pasti, pasukan Kelantan berjaya melangkah ke perlawanan suku akhir dan saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung insiden layangan kad merah kepada pemain Johor FC,” katanya.

Bagi Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, secara keseluruhan pasukannya sudah bermain dengan baik dan persembahan anak buahnya wajar mendapat pujian walaupun kalah kepada pasukan pelawat.

“Saya melihat pasukan ini mempunyai masalah pada barisan serangan kerana setiap peluang yang hadir pada babak separuh masa pertama dan kedua sering kali tidak menemui penyudahnya malah ia berlaku di setiap perlawanan.

“Pasukan saya tidak mempunyai sebarang masalah di bahagian tengah dan pertahanan. Kita menerima padah apabila barisan depan gagal menjaringkan gol,” katanya.

Selain itu, Azuan ketika mengulas insiden layangan kad merah kepada Wan Mohd Hoesne Wan Hassan berkata, pengadil sewajarnya perlu memberikan kad kuning (amaran).

“Saya tidak berapa jelas dengan tindakan yang dibuat olehnya (Wan Mohd Hoesne) kepada pemain pelawat malah jika terjahan dibuat itu keras, sudah pasti pemain pelawat tidak boleh bermain lagi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular