KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 5 Ogos 2010

Nilai Hadiah Kejuaraan TM Liga Super Perlu Dinaikkan?

emel

Sudah menjadi impian sebuah pasukan yang mengecapi juara atau naib juara, nilai hadiah yang dimenangi akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pengurusan atau berkongsi nilai hadiah dengan para pemain dan pengurusan yang terlibat. Meneliti kos bulanan pengurusan sesebuah pasukan TM Liga Super memerlukan kos antara 100 ribu hingga 300 ribu sebulan, hadiah yang dimenangi Selangor dan Kelantan hanya mampu menanggung gaji pemain selama sebulan ke dua sahaja kerana kos bulanan pengurusan KAFA sahaja dianggarkan mencecah RM200 ribu sebulan. Mungkin ramai yang sangsi dengan anggaran ini tetapi perlu diingatkan gaji pemain di liga Malaysia sekarang sudah mencecah RM2000 hingga ke RM18,000 sebulan.

Jika hendak dibandingkan dengan nilai hadiah bagi sesuatu pertandingan nyanyian dan pelbagai program tv di Malaysia kini sudah mencecah jutaan ringgit, nilai kemenangan TM liga super ini boleh dianggap tidak berbaloi kerana pemain dipaksa bermain sehingga 26 perlawanan dengan sepenuh tenaga dan nyawa dikerah, nilai kemenangannya hanya sama dengan gaji Wayne Rooney seminggu. Namun inilah hakikat yang perlu diterima oleh seluruh pengurusan pasukan yang bertanding di liga super yang sering kedengaran rungutan tentang masalah gaji apabila setiap kali liga tamat. Kos tanggungan bulanan lebih tinggi daripada nilai kemenangan, sepatutnya nilai kemenangan ini dijadikan saguhati tetapi di Malaysia nilai kemenangan ini dijadikan geran untuk menanggung kos hutang yang tertunggak dan mungkin perkara ini tidak menjadi masalah bagi pasukan seperti Selangor atau Kelantan yang telah dinobatkan juara dan naib juara TM liga super sekarang kerana kedua-dua pasukan sudah pandai menjana pendapatan sendiri.

Sekiranya semua pasukan sudah pandai menjana pendapatan sendiri untuk membantu pengurusan pasukan dan kelab, nilai hadiah ini mungkin dianggap sekadar bonus untuk pemain tetapi realiti liga di Malaysia masih ditakuk lama, masih mengharapkan bantuan orang politik, kerajaan negeri, kerajaan pusat dalam menjana pendapatan pasukan. Tidak menghairankan sekiranya banyak pasukan yang dulunya popular, tiba-tiba merosot dek kerana masalah kewangan pasukan sepertimana berlaku keatas Perlis dan Pahang.

Sudah sampai masa FAM memikirkan satu perancangan rapi dalam membantu pasukan dibawah liganya menjana pendapatan sendiri dengan mengambil contoh pengurusan pasukan eropah mahupun pasukan liga Singapura yang boleh dianggap sudah berjaya walaupun baru diperkenalkan pada 1996 setelah menarik diri daripada liga Malaysia. Terkejut juga apabila melihat antara penaja utama liga Singapura selain syarikat insuran Great Eastern dan jenama minuman kegemaran ramai YEO'S ialah RHB bank dari Malaysia. Mengapa dan kenapa bank dan syarikat insuran tidak menaja liga di Malaysia, hanya mereka sahaja yang tahu. Ketika ditanya pada salah seorang CEO bank terbesar di Malaysia kenapa mereka tidak menaja liga Malaysia, beliau hanya mampu berkata "Liga Malaysia tidak menguntungkan dan banyak kelemahan dari segi perjalanan liga yang tidak mampu menarik minat penonton ke stadium, malah beliau juga memberi harapan besar pada tampuk baru pentadbiran FAM agar memperbaiki dan meningkatkan mutu liga Malaysia".

Sekiranya hasrat memberi peluang kepada semua pasukan mengambil pemain import untuk liga super musim akan datang diluluskan, FAM perlu serius dan lebih terbuka dalam menarik penaja-penaja besar membantu memeriahkan liga Malaysia dengan tidak memberi hak eksklusif kepada beberapa penaja utama sahaja dan memberi peluang kepada pasukan negeri mencari penaja besarnya sendiri tanpa meletakkan syarat penaja ini perlu diletakkan lebih kecil daripada penaja utama FAM dihadapan atau dibelakang jersi pasukan.

Sewajarnya juga FAM memberi kebenaran kepada pengurusan pasukan negeri menjual tiket semusim liga kepada penyokong-penyokongnya tanpa syarat sepertimana berlaku di liga-liga eropah. Banyak lagi faktor yang perlu difikirkan dalam membantu FAM meningkatkan kualiti liga dan nilai hadiah kepada jutaan ringgit sekiranya ingin melihat liga Malaysia terus rancak dan meriah.

Bangkitlah FAM dari kerusi empuk, rasailah semangat kami di kerusi batu membantu pasukan The Red Warriors menjana pendapatannya. Kami yakin bolasepak Malaysia lebih berdaya maju sekiranya pihak pengurusan FAM mendengar keluhan peminat setia bawahan daripada peminat yang hanya impikan kerusi empuk FAM sahaja.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular