KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Exco FAM telus - Annuar


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sebarang pelantikan pengerusi jawatankuasa tetap kepadanya dan ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) lain dibuat mengikut semangat sepasukan, telus, terbuka dan atas dasar tanggungjawab bersama.

Katanya, keputusan pelantikan pada mesyuarat pertama Exco di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu, turut telah mengambil kira sebarang kemungkinan berlakunya pertindihan kepentingan apabila melibatkan pengerusi yang menyandang jawatan tinggi persatuan bola sepak negeri.

"Inilah satu kaedah pengagihan tugas yang dipersetujui semua dalam menyempurnakan peranan kami membantu Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

''Jawatan ini juga saya terima sebagai amanah dan tidak timbul soal glamor atau tidak, walaupun dengan mempengerusikan Jawatankuasa Bola Sepak Wanita.

"Pelantikan Datuk Hamidin Amin ke Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM pula dibincang berulang kali. Masih ada kaedah tertentu atau jalan keluar bagi (kemungkinan pertindihan kepentingan), dengan pegawai itu perlu mengelak daripada terlibat membuat keputusan," katanya.

Annuar menjelaskan, mesyuarat Exco itu juga telah melantiknya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pasukan Senior Kebangsaan walaupun statut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menetapkan bahawa pengerusinya mestilah Presiden persatuan kebangsaan.

"Selain saya dilantik ke jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL), Tuanku Presiden dan Exco juga bersetuju supaya Baginda hanya mempengerusikan jawatankuasa pasukan pelapis kebangsaan iaitu Bawah 23 Tahun, Harimau Muda A (Bawah 21) dan B (Bawah 19)," jelasnya.

Ditanya wawasannya dalam menaikkan semula MSL, kata Annuar: "Ia perlu dipakej semula sebagai produk yang boleh dipasarkan dan menarik minat penaja dan penonton, malah sehingga muncul antara liga terbaik Asia, sekali gus melahirkan jagoan benua ini yang mengambil alih penguasaan Jepun dan Korea Selatan.

"Namun, saya perlu menyusun langkah satu persatu dalam mengenal pasti ahli jawatankuasa ini. Kita tidak perlukan jumlah yang terlalu besar, tetapi cukup dengan membawa masuk orang yang tepat dan cukup arif dengan industri bola sepak dan berpengalaman."

Mengenai jawatankuasa bola sepak wanita, katanya, ada kemungkinan seorang pegawai baru wanita perlu dipilih menggantikannya, sebaik sahaja jawatankuasa undang-undang dan peraturan FAM menyelesaikan kajian meminda statut, disusuli mesyuarat luar biasa Kongres bagi menyempurnakan proses itu.

"Bagaimanapun buat masa ini, keanggotaan jawatankuasa ini dijangka lengkap dalam tempoh dua minggu lagi, selepas saya mendengar pandangan pelbagai pihak yang terdiri daripada wakil pelbagai pihak dan mereka yang memegang kepentingannya.

"Saya akan cuba mengemukakan beberapa syor ke arah mencipta asas yang baik dan perancangan pembangunan bola sepak wanita yang berkesan.

''Saya menyedari pasukan kita sering menjadi belasahan lawan dalam Sukan SEA dan saya anggapnya satu cabaran untuk mengubahnya,'' katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, skuad Wira Merah akan kekal dengan pemain yang sedia ada, tanpa perlu bergantung kepada khidmat pemain pinjaman, bagi menghadapi musim Piala Malaysia yang bermula 14 September ini.

"Hanya enam pemain pelapis akan dinaikkan ke skuad utama dan berlatih bersama. Pemain cuma diberi cuti Aidilfitri selama dua hari, sebelum kembali bersedia menghadapi juara bertahan, Negeri Sembilan dalam perlawanan sulung," katanya.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Go

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular