KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 21 Julai 2010

Teruskan Dominasi @ Rombak?


Ramai peminat bola sepak tanahair kesal dengan sikap mereka yang cuba mengwujudkan ketidakadilan dalam pemilihan FAM dan meramalkan sekiranya dominasi pemimpin daripada kalangan pemimpin yang sedia ada, maka peminat bola sepak menjangkakan kualiti dan pengurusan bola sepak akan berada di tahap sama seperti sedia kala. Pengurusan yang tidak boleh dikritik kerana kekebalannya, pengurusan yang sentiasa berdolak dalih apabila gagal dan bermegah apabila sekelumit kemenangan muncul. Sampai bila bola sepak Malaysia akan terus berada di tahap ini? Rakyat Malaysia terus diulang tayang kejayaan zaman Soh Chi Aun, Mohktar Dahari dan sebagainya sedangkan pasukan yang mereka kalahkan dulu seperti Jepun dan Korea sudah lebih 10 tahun beraksi di Piala Dunia.

Meneliti kelemahan apa yang ada pada FAM sekarang bukan hanya pada pengurusan dan pembangunan akar umbi seperti YB Khairi Jamalludin perkatakan dan dijawab balik dengan sinis oleh Dato' Che Mat Jusoh, secara mudah dapat kita lihat pada: (apa yang dipaparkan ini adalah suatu perkara tidak boleh dianggap kecil di zaman ICT ini)

Portal Rasmi - http://www.fam.org.my
Kini Portal merupakan pintu masuk pertama bagi seseorang yang ingin mengenali bola sepak Malaysia. Laman web FAM selaku portal rasmi bola sepak Malaysia yang tiada kualiti sebagai satu laman web bola sepak yang mewakili sebuah negara yang penuh ilmuwan kreatif dan inovatif. Laman web ini tidak berinfomasi malah tiada langsung paparan perjalanan dan keputusan liga-liga tempatan. Jauh sekali dapat dibandingkan dengan portal rasmi FIFA dan tidak layak dibandingkan dengan portal persatuan bola sepak negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand yang sentiasa dikemaskini dengan info-info bola sepak negara. FAM dilihat seolah-olah sebuah badan yang tidak bermaya sekiranya laman webnya sendiri tidak mampu menggambarkan kehebatan dan kemampuannya.

Kemerosotan Sokongan Masyarakat Malaysia Pada Bola Sepak Malaysia
Amat malang sekiranya rakyat Malaysia terus disajikan dengan situasi liga bola sepak tempatan yang suram dan dilihat tiada usaha sepenuhnya pihak FAM dalam melakukan kempen dan iklan berterusan bagi memastikan liga tempatan dan pasukan bola sepak terus bernafas. Apa usaha FAM selaku penganjur dalam mengadakan kempen-kempen mengajak masyarakat ke stadium? Ianya berbeza ketika zaman 80-90 an dulu kemeriahan bola sepak banyak dibantu dengan kempen yang dijalankan bersama penaja-penaja.

Jurulatih Terus Jadi Mangsa
Kemampuan Azrai Khor membimbing pasukan Harimau Muda muncul juara liga perdana menjadi 1 fenomena baru bola sepak Malaysia, namun kini Azrai Khor dijadikan kambing hitam untuk rakyat Malaysia melihat Harimau Muda terus kekal tidak beraksi di liga tempatan dek kerana ingin menyelamatkan 1 pasukan yang sememangnya tidak layak beraksi di liga super. Begitu jugalah yang berlaku kepada B.Sathiananthan yang juga bekas buangan FAM kini muncul jurulatih paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Kelantan dan Malaysia. Teringat ayat yang terpancul keluar dari mulut Sathianathan iaitu "Hanya orang yang berkuailiti sahaja dapat menilai kualiti yang ada pada seseorang individu itu", beliau dengan nada sebak dan serius tujukan ayat ini pada Presiden KAFA Tan Sri Annuar. Beliau sendiri yakin dengan kemampuan Tan Sri Annuar Musa sekiranya terpilih dalam FAM.

Dominasi Hanya Pada Syarikat Tajaan Tertentu Sahaja
Perkara ini juga tidak boleh dipandang remeh oleh FAM sekiranya ingin melihat kemajuan bola sepak Malaysia ditaja oleh syarikat-syarikat lain. Syarat yang diletakkan bagi setiap jersi meletakkan dominasi logo 1 syarikat tajaan sahaja memberikan kesukaran kepada pasukan-pasukan yang bertanding untuk mencari tajaan yang besar. Kekurangan penaja akan menyebabkan bola sepak Malaysia akan terus lesu.

FAM Kebal Daripada Kritikan Rakyat
Penyokong dan peminat bola sepak merupakan penaja paling besar dalam memastikan kejayaan bola sepak sesebuah pasukan sama ada melalui sokongan tiket mahupun sorakan. Oleh itu sekiranya FAM terlalu kebal untuk dikritik dan dikomen oleh masyarakat bermakna bola sepak Malaysia tidak lagi layak disokong oleh rakyat seperti reaksi yang diterima FAM oleh masyarakat sekarang yang cemuh dengan bola sepak Malaysia. Masihkah kita ingat teguran dan kritikan bapa pembangunan bola sepak negeri Kedah Allahyarham YB Dato Basri Akil semasa hayat beliau pernah menegur FAM secara profesional namun dek kerana teguran membina beliau tidak dapat diterima beliau dihukum. Namun Allahyarham dapat membuktikan bahawa dirinya berkualiti kerana berjaya membangunkan bola sepak Kedah dari peringkat kanak-kanak hingga profesional seperti apa yang dikecapi Kedah sekarang.

Sifat dan ciri-ciri boleh menerima kritikan ini ada pada Presiden KAFA sekarang yang pada awal musim liga super 2010 dikritik hebat kerana pasukan The Red Warriors tidak menunjukkan prestasi membanggakan maka beliau menjadi mangsa serangan penulis-penulis blogger, forum dan peminat selain ketua jurulatih yang turut menjadi mangsa. Dengan tenang hati dan berfikiran terbuka beliau menjemput semua wakil peminta, wartawan dan penulis ke rumahnya untuk berkongsi dan membincangkan isu yang hangat diperkatakan di luar stadium itu. Pelbagai masalah, komen dan isu yang diluahkan dijawab dengan tenang dan beliau berjanji setiap idea atau cadangan yang bernas akan beliau ketengahkan. Setelah 23 perlawanan liga super berlangsung beliau berjaya membuktikannya pasukan yang diramal pakar seri kini unggul di kedudukan tangga kedua liga dan paling kebal dalam liga. Sikap mesra dan berlapang dada beliau menjadikan skuad The Red Warriors kini pasukan paling hebat di Malaysia dari segala sudut penjenamaan bola sepak setanding eropah.

Bola Sepak Malaysia Hak Milik Rakyat
Sedih melihat keadaan FAM sekarang seolah-olah hak milik individu tertentu sahaja. Mereka ini seolah-olah selesa dengan percapaian dimiliki sekarang yang sepatutnya malu kepada pencapaian pengurusan pasukan Nigeria sebuah negara yang jauh mundur memiliki jati diri bola sepak yang utuh apabila semua pengurusannya membuat keputusan meletakkan jawatan kerana kegagalan pasukan mereka diperingkat awal saingan piala dunia 2010 baru-baru ini. Sikap yang ini jauh berbeza dengan pemimpin tertinggi FAM yang terus kekal dengan jawatan masing-masing sungguhpun selepas berpuluh tahun Malaysia hanya mampu sekadar juara sukan sea sahaja. Kejayaan juara bola sepak inilah dihebahkan sebagai kejayaan unggul FAM diabad ini.

Realiti atau Fantasi
Sekiranya berlaku rombakan besar pimpinan FAM kepada muka baru yang lebih dinamik, ikhlas dan berwawasan, InsyaAllah ramai peminat bola sepak yakin akan berlaku satu realiti reformasi bola sepak Malaysia yang drastik tetapi sekiranya masih lagi didominasi daripada kelompok yang sama, ramai peminat bola sepak tanahair yakin bola sepak Malaysia dan liga tempatan akan terus malap serta tidak mustahil akan berkubur. Ayuh pencinta bola sepak sejati melakukan perubahan kepimpinan, demi melihat pasukan Malaysia terus digeruni dan disegani.

THEREDWARRIORS.COM selaku portal rasmi Persatuan Bolasepak Kelantan memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Annuar Musa dalam meneruskan reformasi dan kejayaan bola sepak Kelantan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Iltizam Presiden KAFA melihat pasukan Malaysia gah di persada bola sepak asia dan dunia amat tinggi. Ayuh seluruh penyokong dan peminat bola sepak Malaysia pohonkan doa hajat semoga pencalonan Tan Sri Annuar berjaya. Sudah sampai masanya sebuah rumah yang usang diserikan dengan warna-warni sebuah kemeriahan dan kegemilangan.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular