KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 6 Julai 2010

Mampukah Kelantan Meratah Rusa Lagi?

emel

Menjelang pertemuan esok, menggamit kembali peristiwa hitam yang mungkin cuba dilupakan pencinta sejati bolasepak Kelantan dan mungkin masih menjadi dendam bagi mereka suka mencetus provokasi apabila Kelantan dirundum malang bertimpa pada tahun lepas setelah berlaku huru-hara diluar stadium dan digantung beberapa perlawanan daripada bermain di negeri sendiri.

Peristiwa ini bukan sahaja mencacatkan sejarah kegemilangan bolasepak di zaman Tan Sri Annuar Musa malah turut merosakkan kenderaan pacuan 4 roda milik presiden dan timbalan presiden KAFA sendiri. Peristiwa hitam pada 8 April 2009 ini juga menimpa Muhammad Huzaifah Mohd Noor, dari Kampung Pasir Tok Kambing, Kedai Lalat, seorang pelajar jurusan Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa buta sebelah mata setelah terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar Stadium Sultan Muhammed IV dan yang menyedihkan matanya gagal dipulihkan walaupun menjalani pembedahan lebih empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejurus selepas kejadian, peristiwa ini perlu dijadikan iktibar selamanya bagi setiap pendukung dan pencinta bolasepak Kelantan. Tidak dapat bayangkan kesedihan Muhammad Huzaifah dan keluarganya sekiranya masih ada hati busuk dikalangan penyokong untuk mencetus huru-hara lagi, cukuplah sekadar apa yang berlaku pada dirinya. Apakah ada yang gembira dengan apa yang berlaku ini? tepuk dada tanya diri perlukah perkara seperti terjadi lagi.

Namun jika diperhatikan setelah 20 perlawanan berlalu pada tahun ini, penyokong dan pemain Kelantan berada di situasi emosi dan prestasi yang amat baik. Tiada lagi berlaku provokasi, bunyi mercun dan pergaduhan di dalam dan luar stadium, prestasi sokongan peminat berada di kemuncak sokongan profesional. Perkara ini diakui sendiri oleh media massa dan penyokong bola sepak negeri lain yang jelas menyatakan kekaguman mereka tentang perubahan sikap penyokong Kelantan pada tahun ini malah mereka turut berkongsi kekaguman mereka tentang kepantasan laman web rasmi KAFA ini dalam memaparkan keputusan dan carta liga perlawanan seluruh negeri pada malam perlawanan, malah ada yang turut berterima kasih kerana sekarang mereka dapat mendengar ulasan perlawanan pasukan negeri masing-masing apabila bertemu Kelantan melalui TRW Radio.

Perkembangan KAFA, penyokong dan saluran media rasmi KAFA sememangnya menjadi perhatian pasukan negeri lain dikala suasana suram bola sepak di negeri lain, di Kelantan KAFA berjaya mencipta pelbagai sejarah tersendiri untuk kemeriahan bola sepak Malaysia.

Sekiranya diteliti perlawanan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Stadium Paroi pada musim pertama Liga Super 2010, Kelantan berjaya menundukkan Negeri Sembilan 3-1, perlawanan yang dianggap genting bertukar mudah apabila skuad Rusa berjaya dijinakkan Sang Kijang dengan senang. Namun rehat yang panjang mungkin akan memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan ketika bertandang ke Kota Bharu esok. Mungkin teknik dan skil daripada kehebatan pasukan piala dunia akan digunakan oleh kedua-dua pasukan. Oleh itu, Kelantan perlu memandang berat tugasan pada malam esok. Pemain Kelantan Ramzul Zahini ketika ditemuramah baru-baru ini menyatakan ramai dikalangan pemain kecewa dengan perubahan jadual perlawanan yang sepatutnya pemain perlu memfokuskan kepada perlawanan Selangor 100% kini terpaksa akur dan bersedia menggalas tugas menentang Negeri Sembilan.

Ketua Jurulatih B. Sathinathan dengan tenang mengatakan semua pemainnya telah bersedia menghadapi mana-mana perlawanan dan tugasan ini juga dianggap berat. Oleh itu beliau menyeru semua pemain jangan ambil mudah baki-baki perlawanan yang ada, hilangkan dulu sementara fokus fikiran pada Selangor dan berikan tumpuan perlawanan malam esok. Ketika ditanya tentang kecederaan, beliau menjelaskan semua pemainnya berada dalam situasi kesihatan yang baik dan tiada yang serius kecuali Che Hishamuddin yang masih direhatkan akibat kecederaan lepas.

Dengan ini Kami menyeru semua peminat dan penyokong Kelantan untuk turun beramai-ramai ke stadium pada malam esok bagi memastikan sokongan padu kita dapat memberi semangat kepada pemain untuk terus mengutip mata kemenangan pada malam esok. Kami juga turut menasihati semua penyokong mengelakkan diri mencetus sebarang provokasi.

Sokong bia bijok , napok bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular