KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 17 Julai 2010

Preview: KUALA LUMPUR mln KELANTAN

emel

Menewaskan Negeri Sembilan dan seri di Shah Alam melawan Selangor, bukan satu tugas sukar Sang Kijang untuk menjinakkan skuad Ibu Kota sementelah lawan masih lagi menampilkan aksi sederhana apabila melawan pasukan atasan.

Razip Ismail, ketua jurulatih Kuala Lumpur pasti sedang merencana pelbagai strategi untuk membenam cabaran Red Warriors kerana dendam ditundukkan di Kota Bharu beberapa bulan lalu masih tidak terbalas.

Pada perlawanan pertama di Kota Bharu, Kelantan menang mudah 3-0 membelasah Kuala Lumpur namun pertemuan malam esok bukan satu tugas mudah kepada Sathianathan kerana lawan pasti bermain berhati-hati di hadapan penyokong mereka untuk sekurang-kurangnya satu mata dapat digenggam di akhir perlawanan.

Kuala Lumpur dibarisi skuad muda dan kurang pengalaman tetapi jangan dipandang mudah kerana beberapa pasukan ternama sudah dikejutkan mereka terutamanya ketika menundukkan Perlis, Negeri Sembilan dan Johor Fc.

Tiada yang istimewanya pada skuad Kuala Lumpur kecuali dibarisi beberapa nama terkenal seperti Ramezey Che Rose, Azlan Zainal, Azidan Razudin, S. Sivaraj serta Norazlan Razali, bekas penjaga gol utama Johor Pasir Gudang.

Yang lain-lain merupakan pemain yang baru direkrut untuk menghadapi Liga Super setelah dinaikkan pangkat secara mengejut ke saingan tertinggi bola sepak Malaysia.

Dari segi pencapaian, Kuala Lumpur maju setapak melebihi Kelantan namun rekod lama tidak menjadi sandaran dalam pemburuan tiga mata dalam perlawanan nanti.

Paling utama, konsentrasi serta fokus yang perlu dititipkan kepada pemain agar menampilkan aksi kemas dan mengancam lawan seterusnya hadir selaku wira memungut mata semaksimum mungkin.

Melihat pada perlawanan terdahulu, posisi utama penjaga gol Kelantan akan terus diterajui Khairul Fahmi Che Mat. Penjaga gol muda yang mula mendapat tempat dihati peminat apabila melakukan banyak aksi menyelamat menarik dalam kebanyakan perlawanan liga. Diharapkan Khairul Fahmi terus fokus untuk mengawal kubu Sang Kijang dari dibolosi lawan.

Andai pertemuan dengan Selangor menjadi ukuran, serasanya posisi pertahanan tiada perubahan ketara setelah kelihatan Azizi Mat Ros memberikan persembahan menarik serta kemas untuk membimbing S. Subramaniam, Farisham Ismail dan Daudsu Jamaludin untuk mengawal kawasan mereka dari dicerobohi.

Mereka berempat kelihatan tenang tetapi keras untuk menghadang pemain Selangor tempoh hari dan malam ini, kudrat mereka sekali lagi ditagih untuk membantu Khairul Fahmi mengawal pintu gol Kelantan.

Barisan tengah Kelantan pula cukup mantap dan tersusun apabila mampu melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan sejak akhir-akhir ini. Malah, jaringan gol ketika menentang Negeri Sembilan dan Selangor dijana melalui bantuan pemain sayap.

Justeru itu, kapten pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayudin terus diberi tanggungjawab untuk memimpin Norfarhan, Shakir Shaari dan Badri Radzi mencipta gerakan gol kepada penyerang selain menjaringkan gol jika mendapat peluang yang terhidang.

Jentera serangan Kelantan pula dilihat tumpul selepas cuti rehat yang panjang malah berdepan dengan masalah kecederaan berulang. Tetapi situasi ini tidak membimbangkan sangat kerana Red Warriors mempunyai beberapa penyerang yang boleh diharapkan untuk menjaringkan gol.

Andai kehilangan Norshahrul Idlan, B. Sathianathan tidak mempunyai masalah kerana Akmal Rizal, Hairudin, Nidzad Ayub dan Ramzul masih ada untuk mengantikan pemain ini seterusnya digandingkan bersama dengan S. Chanturu.

Namun persoalan kini, mampukah penyerang gantian memberi impak dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur.

Begitu juga posisi tengah, andai berlaku masalah, ada pemain simpanan yang boleh diharapkan untuk masuk menggalas tugas membantu. Khairan Eroza, Zulyusri dan Wan Zaman bukan nama asing malah masih boleh diharapkan untuk diletakkan di dalam pasukan.

Yang membimbangkan ialah posisi pertahanan, jika berlaku masalah kepada pemain utama, hanya Rizal Fahmi dan Zairul Fitree yang boleh diharapkan. Selain mereka, semuanya pemain yang dinaikkan dari skuad simpanan dan Sathianathan tentu tidak mengambil risiko untuk menurunkan pemain ini dalam perlawanan yang boleh dikatakan penting.

Perlu dititik berat pengurusan Kelantan malam nanti kepada pemain kesebelasan utama ialah memberikan aksi terbaik mereka dan jangan memandang remeh kepada pasukan lawan yang kurang ternama.

Rekod telah menceritakan bahawa pasukan yang terlalu memandang rendah keupayaan lawan akan dimalukan dan ditewaskan.

Tempoh 90 minit perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Tampilkan bola sepak sebenar setaraf dengan nama yang sudah gah di persada bola sepak tanah air.

Gomo Kelate Gomo

Datang Untuk Menyokong Bukan Untuk Menghukum.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular