KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 18 Julai 2010

Kelantan belum mengalah hambat Selangor


PEMAIN Kelantan, Mohd. Shakir Shaari (kanan) berebut bola dengan pemain Kuala Lumpur, Muhamad Syafiq Johari pada perlawanan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, semalam. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR - Kelantan belum mahu mengalah dalam misi menghambat pendahulu Liga Super, Selangor apabila terus menambah tiga mata selepas menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Mohd. Nor Farhan Muhammad menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-29 melalui tandukan yang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Ketika Kuala Lumpur leka mengasak, Mohd. Badri Razi menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-62, selepas menerima hantaran lintang Hairuddin Omar.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim yakin skuadnya masih berpeluang muncul juara walaupun hanya tinggal tiga perlawanan.

''Pada baki tiga perlawanan, kami akan beraksi dua kali di tempat sendiri dan satu pertemuan di gelanggang lawan menentang Johor FC.

''Oleh itu, kami akan cuba sedaya upaya mengejar kedudukan Selangor. Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku walaupun Selangor selesa dengan kelebihan lima mata, '' katanya.

Selangor pula cemas di awal permainan sebelum meraih kemenangan selesa ke atas pasukan di tangga tercorot, Pulau Pinang 3-0 di Stadium Shah Alam.

Ketiga-tiga gol diperolehi pada separuh masa kedua melalui Mohd Nasriq Baharom pada minit ke-75, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-80 dan Safee Sali minit ke-85.

Sementara itu, Kedah gagal mengatasi KL Plus apabila sekadar seri 1-1 di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

KL Plus mendahului melalui Rosli Shamsudin pada minit ketujuh, sebelum pemain muda, Faizal Abu Bakar menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Terengganu mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga apabila menundukkan Johor 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menerusi jaringan Joseph Klang Tie (m-72) dan Mohd. Zubir Azmi (m-75).

Pahang pula mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Perlis di Stadium Darul Makmur untuk kekal di tangga kelapan.

Di Stadium Paroi, Seremban, juara Piala FA, Negeri Sembilan sekadar seri tanpa jaringan dengan Perak.

Di Stadium J-Corp, Johor FC hampa selepas diikat 2-2 dengan T-Team, walaupun pasukan tuan rumah dua kali mendahului pasukan pelawat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular