KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 22 November 2011

Analisis Ringkas Malaysia dalam Sukan Sea 2011.

Berikut adalah analisis ringkas yang dibuat RedsfcNews tentang prestasi keseluruhan pasukan negara dalam Sukan Sea Indonesia 2011.



Sepanjang kejohanan berlangsung, Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan dimana mencatatkan lima kemenangan dan satu kali seri serta mempertahankan rekod tanpa kalah sejak peringkat kumpulan.

Mereka menjaringkan keseluruhan sembilan gol dan tiga kali bolos sepanjang kejohanan berlangsung.

Enam pemain berlainan menjaringkan gol buat Malaysia dalam Sukan Sea kali ini dimana Badrol muncul penjaring terbanyak dengan tiga gol diikuti Izzat Faris dengan dua gol. Empat lagi jaringan dari keseluruhan sembilan disumbangkan oleh Wan Zaharul Nizam, Shahrul Azwari, Fakri Saarani dan Asrarudin Putra.

Peringkat Kumpulan


Malaysia 0-0 Singapura


Tidak banyak yang menarik untuk diperkatakan tentang perlawanan pembukaan diantara Malaysia menentang Singapura kerana rentak permainan kerap terhenti dengan bunyi tiupan wisel daripada pengadil perlawanan. Bagaimanapun, Malaysia jelas menguasai perlawanan dari minit awal hingga akhir tiupan wisel tetapi kegagalan barisan serangan menjelmakan jaringan memaksa kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Malaysia 2-1 Thailand


Perlawanan kedua, Malaysia menghadapi saingan getir daripada Thailand tetapi bangkit dari pemulaan hambar untuk mengejutkan skuad Gajah Putih 2-1 di penghujung perlawanan. Pada babak pertama bagaimanapun jelas dikuasai Thailand dengan beberapa cubaan bahaya kearah kubu Malaysia tetapi gagal menembusi benteng terakhir kawalan Khairul Fahmi Che Mat. Serangan bertali arus yang dilancarkan Thailand bagaimanapun diserap dengan baik pemain negara seterusnya turut melancarkan beberapa serangan balas kearah pintu gol pihak lawan. Nyata kesempatan terbuka berjaya digunakan dengan sebaik mungkin oleh Badrol Bakhtiar untuk melakukan jaringan pertama. Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan jaringan tunggal tersebut, T. Natarid mengejutkan seketika kem Harimau Malaya dengan satu sepakan menarik dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan pada sepuluh minit terakhir tetapi Izzat Faris muncul selaku wira dengan sepakan lencong cantik dari luar kotak tidak lama kemudian untuk membawa Malaysia ke kedudukan kedua carta kumpulan.

Malaysia 4-1 Kemboja


Walau mencatatkan kemenangan pertama keatas Thailand, skuad Malaysia berdepan kritikan dari peminat kerana ketumpulan jentera penyudah dilihat menjadi permasalahan berat kepada keseluruhan perlawanan. Bagi membuktikan tanggapan itu salah, Sang Harimau garang turun perlawanan ketiga dengan melakukan tiga jaringan pada babak pertama untuk melemahkan semangat Kemboja dari persaingan. Tetapi entah dimana silapnya, pemain negara pula berdepan tekanan hebat pada separuh masa kedua sehingga membenarkan pasukan lawan membocori gawang buat kali pertama seterusnya kembali kepada perlawanan. Ketika tekanan semakin memuncak, beberapa pemain mula menunjukkan sikap kepimpinan untuk menyerap segala asakan pihak lawan. Akhirnya, selepas melalui beberapa kali mencuba, Wan Zaharul Nizam datang dengan rembatan lencong ala Rooney untuk mengesahkan kemenangan.

Malaysia 1-0 Indonesia


Ramai pihak beranggapan Indonesia mudah meratah Malaysia selepas menampilkan corak permainan kental sepanjang peringkat kumpulan selain menerima bantuan menyeluruh dari para penyokong setia mereka serta pengadil perlawanan. Tetapi, pemain negara yang turun berjuang tidak mempedulikan serangan provokasi dengan mempraktikkan segala tunjuk ajar daripada Ong Kim Swee untuk menyekat pemain Indonesia dari mengancam kubu mereka. Biarpun tuan rumah menguasai sepenuh masa permainan dengan berpuluh puluh percubaan kearah pintu gol Malaysia, satu jaringan daripada serangan balas Shahrul Azwari dan Mahali Jasuli pada pertengahan babak pertama memberikan Malaysia kemenangan ketiga dan mengangkat pasukan negara selaku juara kumpulan A seterusnya menempah pertemuan separuh akhir dengan Myammar.

Separuh Akhir

Malaysia 1-0 Myammar


Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan lanjutan ke masa tambahan, Ahmad Fakri Saarani muncul dengan jaringan kemenangan pada minit ke-85 untuk membawa Malaysia ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut. Permulaan awal perlawanan kedua-dua pasukan bagaimanapun saling melakukan serangan kearah pintu gol masing-masing tetapi gagal meletakkan bola kedalam jaring. Tamat babak pertama dengan tiada jaringan namun babak kedua, perlawanan sedikit berubah dimana Malaysia dan Myammar mencuba sedaya upaya untuk menjaringkan gol. Banyak percubaan berjaya dilepaskan tetapi penjaga gawang masing-masing bijak mempertahankan kubu terakhir dari bolos. Segala usaha yang dilakukan mereka tetap gagal sehinggalah gerakan yang dicetuskan Izzat Faris dari kawasan tengah melantun ke kaki pertahanan Myammar memberikan Fakri ruang cukup luas untuk meledak dengan sepakan kaki kanan.

Perlawanan Akhir

Malaysia 1-1 Indonesia
Malaysia menang penalti 4-3


Kehangatan perlawanan akhir bukan sekadar didalam padang tetapi turut berlarutan sehingga ke luar padang dimana sehari sebelum aksi, penyokong lawan sudah memberikan provokasi keatas pasukan negara. Media mereka mencetuskan suasana panas tetapi tidak diendahkan. Tuan rumah turun dengan skuad penuh mudah merencana gerak untuk jaringan pertama seawal lima minit pertama tetapi pemain Malaysia tetap utuh untuk bangkit mencari jaringan penyamaan. Permulaan serangan mereka mudah diselamatkan Meiga Kurnia dan beberapa percubaan Malaysia selepas itu turut ke dakapan penjaga gol Garuda. Tanpa diduga, Badrol Bakhtiar meloloskan diri dari kawalan tiga pertahanan Indonesia sebelum melakukan silangan cantik buat Asrarudin menerbangkan badan menanduk masuk ke penjuru kanan pintu gol. Gol penyamaan kembali membuka perlawanan tetapi kedua-dua pasukan buntu melakukan penyudah walaupun mempunyai deretan peluang didepan gol. Memasuki tambahan masa 30 minit tetap gagal menamatkan perlawanan memaksa keputusan ditentukan dengan sepakan penalti. Indonesia membuka tirai dengan jaringan Titus tetapi mudah disamakan kembali oleh Mahali. Sepakan Gunawan bagaimanapun tersasar mengena tiang memberi sedikit kelegaan kepada Fandi menyepak masuk penalti kedua. Bagaimanapun, Egi megliansyah menepati sasaran menyebabkan Fakri melakukan kesilapan dengan sepakan lemah kepada Meiga. Abdul Rahman melakukan sepakan cantik menewaskan Khairul Fahmi tetapi Fadhli Shas tenang menyamakan kedudukan. Pemain kelima Indonesia pula menyepak tepat kearah penjaga gol Malaysia memberikan Badrol Bakhtiar status wira untuk sepakan penalti terakhir membawa pungutan emas kedua kepada Malaysia dalam kejohanan dwi tahunan tersebut.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Malaysia membuktikan kepada semua pihak kejagohan mereka di pentas Asia Tenggara dengan merangkul pingat emas kedua dalam Sukan Sea. Namun, prestasi keseluruhan pemain negara dalam kejohanan ini masih perlu diperbaiki terutamanya barisan serangan yang dilihat sangat tumpul sehingga menjejaskan corak permainan keseluruhan pasukan negara. Walaupun mempunyai pemain yang sudah berpengalaman, mereka lansung tidak merbahaya di kawasan penalti menyebabkan banyak peluang terhidang terlepas begitu sahaja. Dengan kejohanan Olimpik perlu dihadapi dalam masa terdekat, tidak banyak perubahan dapat dilakukan Ong Kim Swee kecuali mengharapkan pemain yang ada untuk melakukan dengan baik tugasan utama tersebut. Setakat ini, posisi penjaga gol dan pertahanan menunjukkan konsistensi yang dapat memberikan kelegaan berterusan kepada kem Malaysia. Andaikata berlaku sedikit kesilapan di dua posisi ini maka keputusan perlawanan bakal berubah secara menyeluruh. Satu yang positif, jentera tengah dilihat mempunyai masa depan baik kerana dapat membantu penyerang melakukan penyudah. Terutamanya dengan kemunculan Nazmi Faiz begitu membanggakan dan sewajarnya pendedahan yang diberikan pihak pengurusan Malaysia dalam sukan Sea digunakan sebaik mungkin oleh pemain ini untuk menunjukkan bakat pada masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular