KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 14 Januari 2012

Red Warriors Gigit Jari Di Laman Sendiri


KELANTAN 1
Mohd Badhri Radzi (m-72)

PKNS FC 1
Mohd Fauzan Dzulkifli (pen m-80)

KOTA BHARU – Aksi hambar barisan pemain The Red Warriors sepanjang tempoh 90 minit perlawanan nyata mengundang padah apabila dipaksa seri 1-1 oleh pasukan PKNS FC dalam aksi kedua Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Meskipun tanpa kelibat pemain import, pasukan PKNS FC yang dibimbing oleh Abdul Rahman Ibrahim di lihat beraksi cemerlang dan mampu menyaingi kehebatan Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cukup membosankan dengan Kelantan memulakan asakan awal menerusi rembatan S Chanturu pada m-11 perlawanan namun tinggi melewati pintu gol PKNS FC.

Dua minit kemudian, pasukan PKNS FC mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan menerusi rembatan Mohammad Khairul Akhyar Husain namun sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya melepasi perangkap ofsaid bijak memperdayakan dua pemain pertahanan PKNS FC namun rembatannya pula hanya tersasar beberapa meter di atas pintu gol pasukan pelawat pada m-19 perlawanan.

Kesilapan Mohd Shakir yang gagal menghantar bola dengan tepat pada m-32 perlawanan menyaksikan Helmi Remeli pantas merebut bola tersebut namun rembatan pemain tengah PKNS FC itu gagal menepati sasaran.

Pemain import, Denny Antwi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada di depan sebelum babak pertama berakhir apabila rembatan kencangnya terus ke dakapan penjaga gol PKNS FC, Razi Effendi Suhit.

Memasuki babak kedua, Kelantan melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad. Hasilnya pada m-50 perlawanan, Indra Putra bijak melakukan sepakan lencong di dalam kotak penalti namun Razi Effendi pantas membaca percubaan tersebut.

Lima minit kemudian, Mohd Norfarhan terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan di depan apabila tolakan beliau diselamatkan Razi Effendi setelah menerima umpanan cantik daripada Norshahrul Idlan sebelum itu.

Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan pasukan pelawat yang diterajui Ahmad Azlan Zainal apabila bijak mengekang pergerakan rangkaian penyerang Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Angkara kesilapan S Subramaniam pada m-66 perlawanan, pasukan pelawat hampir menjaringkan gol pertama mereka menerusi rembatan Rudie Ramli namun sempat di kuis keluar Mohd Shakir di depan pintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, pemain PKNS FC, Helmi Remeli sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila rembatan deras tepat menuju sasaran tetapi Muhammad Syazwan lebih bersedia menafikan peluang tersebut.

Mohd Badhri Radzi menamatkan keresahan penyokong The Red Warriors apabila menjaringkan gol pembukaan pada m-72 perlawanan. Sepak penjuru oleh Norshahrul Idlan gagal ditangkap kemas Razi Effendi dan Mohd Badhri yang tidak dikawal mudah menolak masuk untuk gol pembukaan Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kegembiraan pemain Kelantan tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian. Tindakan kurang bijak Subramaniam menolak bola ke belakang dan mencetuskan situasi merbahaya memaksa Muhammad Syazwan menjatuhkan Rudie di dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk memberikan sepak penalti kepada pasukan PKNS FC. Mohd Fauzan Dzulkifli yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mudah menyepak masuk ke penjuru sebelah kanan untuk gol penyamaan pasukan mereka.

Tempoh 10 minit terakhir nyata milik pasukan pelawat apabila mempunyai dua peluang terbaik untuk menambahkan jaringan menerusi tandukan cantik Helmi pada m-85 dan rembatan liar beliau tiga minit kemudian menutup tirai dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata dalam malam tadi.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berangkat menyaksikan perlawanan malam tadi. Turut hadir menyaksikan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Muhammad Syazwan Yusoff, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), S Chanturu (Mohd Norfarhan Muhammad), Mohd Nurul Azwan Roya (Indra Putra Mahayuddin), Norshahrul Idlan Talaha dan Denny Antwi (Mohammed Ghaddar).
FORMASI : 4-4-2

PKNS FC : Razi Effendi Suhit, Helmi Remeli, Ahmad Azlan Zainal, Mohd Zulharis Mohd Nor, Mohd Fadhil Hashim (KP), P Rajesh, Mohd Norhafizzuan Jailani (Mohd Nazrin Syamsul Bahri), Mohd Fauzan Dzulkifli (Mohamad Idris Ahmad), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Rudie Ramli dan Mohammad Khairul Akhyar Husain (Muhammad Khairu Azrin Khazali).
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) PKNS FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (9) PKNS FC (5)
Sepakan penjuru : Kelantan (9) PKNS FC (3)
Sepakan percuma : Kelantan (15) PKNS FC (15)
Ofsaid : Kelantan (1) PKNS FC (5)
Kekasaran : Kelantan (14) PKNS FC (10)
Kad kuning : Kelantan (Muhammad Syazwan Yusoff) PKNS FC (Ahmad Azlan Zainal dan Razi Effendi Suhit)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (51%) PKNS FC (49%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Ramli Mat Dahan
Penolong Pengadil 1: Azmi Khalid
Penolong Pengadil 2: Mohd Juhairi Idris
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Kommissioner Perlawanan : Azman Sulong
Penilai Pengadil : Mat Lazim Awang Hamat
General Koordinator : Arif Hassan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular