KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 8 Januari 2012

Kelantan Gagal Pertahan Kejuaraan



KELANTAN 1
Norshahrul Idlan Talaha (m-20)

NEGERI SEMBILAN 2
Jean Emmanuel Effa Owona (m-30, 63)

KUALA LUMPUR – Hasrat The Red Warriors untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kedua berkecai setelah tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi perlawanan Sumbangsih yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Dua gol menerusi jaringan penyerang import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona dalam babak berbeza memastikan skuad Jang gah dinobatkan selaku juara baru tatkala tirai saingan Liga Malaysia musim ini dibuka malam tadi.

Beraksi dihadapan hampir 50,000 penyokong, Kelantan jelas mendominasi awal perlawanan apabila mempunyai peluang terbaik seawal minit kelima menerusi hantaran lintang Mohammed Ghaddar tetapi sempat ditepis keluar penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias namun rembatan susulan Norshahrul Idlan Talaha pula dikeluarkan oleh pertahanan lawan.

Seminit kemudian, giliran Negeri Sembilan pula mencemaskan gawang gol Kelantan namun tandukan kurang cermat penyerang importnya, Effa Owona menyaksikan bola tersasar di sebelah kiri.

Effa Owona terus menghadirkan rasa gerun kepada anak buah Peter Butler apabila menanduk cantik sepakan penjuru oleh S Kunanlan namun pantas ditanduk keluar pemain pertahanan, Mohamad Ab Aziz Ismail di atas garisan pintu gol Kelantan.

Pada m-20 perlawanan, Norshahrul Idlan menceriakan penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol pertama untuk The Red Warriors. Tindakan bijak Mohammed Ghaddar melakukan hantaran pendek di dalam kotak penalti pantas ditolak masuk oleh Norshahrul Idlan untuk menewaskan Mohd Farizal di gawang golnya.

Namun kegembiraan penyokong setia The Red Warriors terpadam apabila Effa Owona menyamakan kedudukan pada m-30 perlawanan. Kegagalan pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan pantas dihukum oleh Effa Owona apabila bola rembatannya di dalam kotak penalti terbias pemain pertahanan dan mengelirukan Khairul Fahmi bagi gol penyamaan pasukannya.

Ternyata gol tersebut kembali membakar semangat pemain skuad Jang untuk memburu jaringan seterusnya tatkala moral pemain Kelantan dilihat mula merudum setelah kehilangan bek kental, Azizi Matt Rose yang terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan selepas itu.

Minit-minit akhir babak pertama, Effa Owona terlepas peluang untuk memastikan pasukannya berjalan masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol apabila gagal meletakkan bola ke dalam jaring meskipun hanya berhadapan dengan Khairul Fahmi.

Sepuluh minit babak kedua, Kelantan terlepas peluang untuk mengatasi Negeri Sembilan apabila hantaran cantik Antwi gagal disudahkan oleh Mohammed Ghaddar apabila sepakan lipasnya terkena jaring sisi sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Namun dua minit berselang, Negeri Sembilan hampir memperolehi gol keduanya apabila bola sepakan jauh Kunanlan terkena tiang gol meskipun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas diposisinya.

Effa Owona akhirnya menterjemahkan gol kedua untuk pasukannya apabila menanduk masuk sepakan lambung Kunanlan untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua pada m-63 perlawanan.

Ternyata gol kedua itu memberi tekanan berganda kepada Kelantan. Malah barisan pertahanan Kelantan dilihat beraksi kelam-kabut untuk menahan asakan rangkaian penyerang Ahmad Shakir dan Effa Owona yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan malam tadi.

Ketumpulan jentera serangan memaksa Butler menggantikan Antwi dengan Mohd Badhri pada m-60 perlawanan bagi menghidupkan bahagian tengah pasukan Kelantan. Namun itu tidak banyak membantu apabila gandingan Norshahrul Idlan dan Mohammed Ghaddar seakan hilang arah di atas padang rentetan kurang mendapat sokongan daripada rakan yang lain.

Sebaliknya Negeri Sembilan terus unggul, apabila aksi cemerlang Mohd Farizal di gawang golnya menafikan percubaan terbaik Kelantan menerusi sepakan percuma pada jarak 25 meter oleh Indra Putra Mahayuddin pada m-75 perlawanan.

Mohd Farizal sekali lagi beraksi cemerlang apabila menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi menerusi tandukan cantik Indra Putra dan rembatan susulan Norshahrul Idlan pada m-88 perlawanan.

Tambahan masa empat minit oleh pengadil perlawanan, Shokri Nor tidak membawa apa-apa erti bagi Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua apabila gagal memburu gol penyamaan dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang berangkat menyaksikan perlawanan malam tadi menyampaikan trofi kejuaraan kepada pemain Negeri Sembilan. Turut hadir menyaksikan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Azizi Matt Rose (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail (Mohamad Zamri Ramli), Mohd Shakir Shaari (KP), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha, Denny Antwi (Mohd Badhri Radzi) dan Mohammed Ghaddar.

FORMASI : 4-3-3

NEGERI SEMBILAN : Mohd Farizal Marlias, Norhafiz Zamani Misbah (KP), Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, S Kunanlan, Muszaki Abu Bakar, G Mahathevan, Rashid Mamud (Mohd Alif Samsudin), Abdul Halim Zainal (Norismaidham Ismail), Shahurain Abu Samah, Ahmad Shakir Mohd Ali (Mohd Firdaus Azizul) dan Jean Emmanuel Effa Owona.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (2) Negeri Sembilan (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Negeri Sembilan (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Negeri Sembilan (7)
Sepakan percuma : Kelantan (19) Negeri Sembilan (16)
Offsaid : Kelantan (5) Negeri Sembilan (3)
Kekasaran : Kelantan (7) Negeri Sembilan (16)
Kad kuning : Kelantan (Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Badhri Radzi)
Negeri Sembilan (Abdul Halim Zainal, Rashid Mamud, Mohd Alif Samsudin dan
Jean Emmanuel Effa Owona)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (47%) Negeri Sembilan (53%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shokri Nor
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Mohd Yusri Mohammad
Pegawai Keempat : Nagor Amir Noor Mohamed
Kommissioner Perlawanan : Ismail Yacob
Penilai Pengadil : Azman Sulong
General Koordinator : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Media : Joe Marcose

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular