KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 6 Januari 2012

Ghaddar sedia bukti kemampuan

KOTA BHARU - Penyerang import Red Warriors dari Lebanon, Mohammad Ghaddar mahu membantu pasukannya mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah pada Perlawanan Sumbangsih menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Pemain kelahiran Beirut, Lebanon itu berkata, corak latihan yang diterapkan jurulatih Peter Butler sangat baik, namun dia masih berusaha mencari keserasian bersama rakan pada bahagian serangan.

Menurutnya, perlawanan esok merupakan pentas terbaik buatnya membuktikan ketajaman penyudah selepas gagal membantu Kelantan menjulang kejuaraan Piala Unity, baru-baru ini.

"Beraksi bersama pasukan baru dengan suasana yang cukup berbeza, saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Saya tahu peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

"Saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik buat pasukan, seterusnya membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini," katanya di sini, kelmarin.

Mengulas perlawanan esok, bekas Penjaring Terbanyak Piala AFC 2007 itu memberitahu, dia mengetahui mengenai kekuatan pasukan lawan, namun yakin Kelantan mampu mencatatkan kemenangan.

"Kelantan sebuah pasukan yang kuat dan kami memiliki pemain yang sentiasa hebat ketika di padang. Perlawanan Sabtu ini merupakan pentas terbaik untuk saya buktikan kemampuan.

"Sasaran saya untuk memecahkan rekod jaringan penyerang import Kelantan musim 2008, Mohamadou Mustapha yang meledak 28 gol. Dengan bantuan rakan sepasukan, saya yakin dan percaya sasaran itu mampu dicapai," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular