KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 5 Januari 2012

Preview Liga Super 2012.

Musim lalu berkesudahan dengan Datuk M. Karathu mengemudi anak buahnya dinobat selaku raja Liga Super dan antara pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak Malaysia. Kini Kelantan dilihat sudah bersedia bersama pencabar terdekat yang lain seperti Terengganu, Selangor dan Kedah untuk memburu mahkota kejuaraan musim baru yang akan bermula beberapa hari sahaja lagi.

Dengan penambahan hadiah yang lebih lumayan serta kebenaran FAM mengembalikan pemain import untuk setiap pasukan yang bertanding akan merancakkan lagi keinginan pasukan yang bertanding untuk muncul selaku pemenang keseluruhan.



Fokus utama bukan kepada pasukan juara sahaja malahan semua pasukan yang bertanding kerana prestij Liga Super sudah mula membuka mata sesetengah pasukan untuk turut sama kembali dalam persaingan selepas suram dengan pelbagai masalah dalam dan luar sejak beberapa musim terdahulu.

Lihat Perak, Negeri Sembilan serta Sabah, pengurusan mereka bertekad untuk membina pasukan impian bagi merealisasikan kejayaan besar pada akhir kejohanan dan mereka boleh dikatakan berjaya melakukan setelah muncul antara pasukan terbaik dalam kejohanan piala.

Begitu juga dengan status pasukan kelab, siapa sangka Felda United, Johor FC dan T-Team akan terus bersaing di pentas tertinggi Liga Malaysia biarpun tidak menunjukkan aksi konsisten malahan selepas tamat saingan musim lalu, pihak pengurusan masing-masing turut serta dalam pasaran perpindahan pemain untuk memperkuatkan pasukan pada masa depan. Mereka juga merekrut jurulatih baru serta pemain dari skuad Negara untuk bersaing rapat dengan pasukan elit lain.

Bagaimanapun, selamat datang diucapkan kepada pasukan baru yang menjengah bahagian tertinggi kejohanan yang dianjurkan di Negara kita. Juara Liga Perdana, PKNS FC dilihat berkemampuan besar memecahkan monopoli pasukan elit, Sarawak dengan pengurusan baru pasti mahu lebih menyengat pada saingan panjang tahun depan selain mengalu alukan pasukan negara seberang, Singapura Lions yang akan bersaing di Liga-M sehingga 2016 hasil memorandom persefahaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapore (FAS).

Misi Pecah Monopoli “Big Three”

Sukar buat pasukan pertengahan dan bawahan untuk memecahkan monopoli Kelantan, Terengganu dan Selangor selepas dua musim mencabar antara satu sama lain untuk kedudukan teratas Liga Super. Dengan dipenuhi pemain bintang dari skuad Negara dan yang terbaik di Malaysia, pasukan lain hanya mampu untuk melihat sahaja tiga pasukan tersebut memecut laju untuk saingan pada musim depan. Namun, jangan pandang lekeh kepada pasukan lain kerana cita-cita untuk membenam pasukan atasan menjadi misi utama mereka sempena saingan pada musim depan.

Kedah menjadi calon terbaik untuk memecahkan pengusaan tiga pasukan teratas walaupun tidak dibarisi pemain yang dianggap ternama, mereka tetap berkeupayaan mengejar kedudukan terbaik kerana mereka mempunyai pengurusan dan pembangunan yang menunjukkan aras meningkat naik. Musim lalu mereka tidak begitu menyerlah di awal musim namun kembali bangkit pada penghujung saingan untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan selepas pertukaran ketua jurulatih daripada Mohamad Nik kepada Wan Jamak. Tugas sukar kepada bekas pengendali Negeri Sembilan pada awalnya untuk memberikan kejayaan kepada Sang Kenari namun hasil usaha tidak pernah jemu akhirnya Kedah kembali bangkit mencabar namun sudah terlambat untuk mengejar “Top Three”. Jika mereka mampu melakukan permulaan baik awal musim depan dengan kehadiran pemain baru, tidak mustahil Kedah akan kembali pada landasan tepat untuk merampas mahkota kejuaaraan daripada pasukan Kelantan.

Begitu juga dengan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan, mereka sebenarnya mempunyai skuad bintang tetapi gagal memberikan saingan bermakna pada kejohanan Liga Super. Menamatkan kedudukan di tempat kelapan bukan satu pencapaian yang terbaik. Ramai pelik mengapa skuad yang dibina dengan pelaburan besar mampu menjuarai saingan piala tetapi menunjukkan persembahan buruk ketika kejohanan liga berlangsung. Pada musim depan, selaku pasukan mempunyai status juara, Negeri Sembilan harus membangkitkan semangat untuk memecah kedudukan tiga teratas. Biarpun kehilangan beberapa pemain tonggak terutamanya penyerang terbaik, Hairudin Omar dan Zaquan Adha serta beberapa pertahanan termasuk Aidil Zafuan, skuad Jang mempunyai pelatih berkaliber dijangka membentuk kembali skuad muda menjadi “hero” mencabar kedudukan teratas seterusnya menjadi calon utama untuk cuba menewaskan Kelantan, Terengganu dan Selangor pada akhir musim nanti.

Satu lagi pasukan yang dijangka dapat memecahkan monopoli ialah Perak. Sang Seladang sudah memasuki musim kedua pembinaan kembali pasukan daripada zaman kegelapan. Mereka yang dulu dilihat mengalami masalah pengurusan bagaimanapun dapat bangkit dan terus mengekalkan rekod pasukan utama yang tidak pernah jatuh ke divisyen bawahan. Dengan delegasi impian Norizan Bakar mendapat sokongan penuh jawatankuasa terbaru PAFA, Perak wajib menampilkan aksi sebenar menjadi calon untuk menamatkan kedudukan di tiga terbaik pada musim depan. Tiada alasan lagi kerana kedudukan kelima pada 2011 seharusnya diubah menjadi pasukan pencabar paling rapat dan terutamanya wajar menamatkan musim baru nanti di tempat juara. Rekrut terbaru mereka dilihat terbaik terutamanya penyerang yang menjaringkan lima gol pada Piala Malaysia dan seharusnya itu sudah menjadi tonik kepada Seladang untuk memalukan pasukan tiga teratas yang masih unggul tanpa cabaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular