KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 17 April 2011

Kelantan, Sabah Seri Tanpa Jaringan.





Hajat Kelantan untuk memungut tiga mata penuh tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan dengan Sabah di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Perlawanan bermula rancak dengan Kelantan mengatur serangan seawal minit pertama melalui ancaman Nidzad Ayub tetapi Syed Adney lebih pantas keluar dari pintu gol untuk menyelamatkan keadaan.

Selang seminit selepas itu, Red Warriors menerima sepakan percuma dari luar kotak penalti selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan pemain pertahanan pelawat namun sepakan Rizal Fahmi Rosid melambung tinggi keluar dari kawasan perlawanan.

Pada minit ke-4, Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi melakukan percubaan tinggi dari luar kotak penalti.

Memasuki minit ke-14, Sumardi Hajalan mendapat hantaran cantik dari kawasan tengah namun percubaan pemain ini tersasar jauh.


Kelantan terus menekan pertahanan pelawat melalui percubaan jarak dekat Nurul Azwan Roya hasil kekalutan didepan pintu gol Sabah pada minit ke-29 namun Syed Adney bingkas menepis sebelum dikeluarkan pertahanan pelawat.



Kelantan melakukan pertukaran pertama mengeluarkan S. Chanturu yang mengalami kecederaan dan mengantikan pemain ini dengan Solehin Kanasian Abdullah. Ternyata kemasukan Solehin membuka serangan dari sebelah sayap selepas tempang kehilangan Norshahrul Idlan Talaha.


Danial Fadly turut hampa setelah tandukan satu lawan satu hasil hantaran Badri Radzi pada minit ke-38 mudah diselamatkan Syed Adney.

Tanpa diduga, hasil satu serangan balas, Sabah hampir mendahului melalui sepakan jarak jauh pemain tengah mereka namun Khairul Fahmi lebih bersedia untuk menumbuk keluar percubaan tersebut pada minit ke39.

Kelantan sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan melalui Nidzad Ayub namun pemain ini memilih menanduk keluar hantaran Nurul Azwan Roya pada minit ke-41.

Dua minit selepas itu, Solehin Kanasian pula menghampakan 17 000 penyokong setia Kelantan selepas sepakan susulan percubaan awal Nurul Azwan Roya yang terkena tiang berjaya ditampan Syed Adney.

Pada babak kedua, Kelantan membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Khalid Jamlus mengantikan Wan Rohaimi.

Pertukaran pemain memberikan peluang demi peluang untuk jaringan gol dan Kelantan melakukan serangan pertama melalui cubaan jarak jauh meliar dari Farisham Ismail pada minit ke-47.

Minit ke-58, Kelantan dianugerahkan satu sepakan percuma dari luar kotak penalti tetapi Syed Adney terus menjadi penghalang setelah mudah menangkap kemas cubaan tersebut.

Sabah sekali sekala melakukan serangan hampir memecahkan kekebalan benteng Kelantan pada minit ke-60 namun cubaan kaki kanan Azlan Otto sedikit tersasar walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Solehin pula menyaksikan cubaannya dari sudut sukar pada minit ke-63 terkena jaring tepi.

Khalid Jamlus juga kecewa selepas sepakan kencang hasil umpanan Nurul Azwan Roya dari dalam kotak penalti pada minit ke-67 jauh tersasar ke sebelah kiri pintu gol Sabah.

Pada minit ke-70, Kelantan sekali lagi diberikan sepakan percuma oleh pengadil perlawanan betul-betul dihadapan pintu gol Sabah namun Azwan Roya menyepak kepada benteng pelawat sebelum dikeluarkan dari kawasan kotak penalti.

Selepas itu, perlawanan dihentikan seketika selepas penjaga gol Sabah, Syed Adney membuat bantahan akibat pancaran laser penyokong Kelantan kepadanya.

Bersambung perlawanan, pemain Kelantan terus melakukan asakan bertali arus kearah pintu gol Sabah namun pertahanan pelawat bertahan dengan baik.

Mereka hanya melakukan serangan balas pantas dan turun kebawah dengan cepat untuk mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga tamat perlawanan.

Satu kad merah dilayangkan kepada ketua jurulatih Sabah, Gary Phililips selepas membantah beberapa keputusan pengadil manakala Kelantan menerima satu kad kuning melalui, Mohd Izuan Salahudin.

Kesebelasan Utama:

Kelantan: Datuk M. Karathu.
Khairul Fahmi Che Mat (Gk), Wan Rohaimi Ismail (Khalid Jamlus), Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam, Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Nurul Azwan Roya, S. Chanturu (Solehin Kanasian), Mohd Badri Radzi, Danial Fadly Abdullah dan Nidzad Ayub (Izuan Salahudin).

Sabah: Gary Philips
Syed Adney Syed Hussein, Hariri Mohd Safii, Mohd Reithauddin Awang Emran (KP), Alto Linus, Mafry Balang, Rosdin Wasli, Sabri Sahar, Sumardi Hajalan (Zainizam Marjan), Shahrul Azhar Ture, Razlan Oto (Julamri Muhammad) dan Leopold Alfonso Otong (Zuraindey Jumai).

Pegawai Perlawanan.
Pengadil: Dennis Anak Sayeng
Penolong Pengadil 1: Ahmad Zaini Awang Lah
Penolong Pengadil 2: Ismadi Ibrahim
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Nor

Posisi Bola (%)
Kelantan 55-45 Sabah

Pemain Terbaik Perlawanan: Syed Adney Syed Hussien.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular