KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 20 April 2011

Badri Bukti Sudah Kembali?




Nama Badri Radzi sudah tidak asing dalam arena bola sepak tanahair selepas mengetuai Kelantan selain mencipta beberapa jaringan gol untuk membantu Kelantan mencatatkan kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

Antara jaringan yang paling diingati para peminat ialah jaringan gol dalam perlawanan akhir 2010 menentang Negeri Sembilan membawa Kelantan muncul juara buat kali pertama Piala Malaysia selepas 89 tahun menanti.

Pemain yang memakai jersi 16 ini turut menjadi penyumbang gol dalam perlawanan Piala Sumbangsih menyaksikan Kijang merampas piala permulaan Liga Malaysia dari tangan Selangor, awal Februari tempoh hari.

Terbaru, pemain yang baru kembali dari tempoh rehat ekoran persembahan longlai berjaya menjaringkan tiga gol untuk membantu Kelantan membelasah Perlis di Kangar.

Ternyata jaringan yang dilakukan pemain yang bakal menjadi lagenda The Red Warriors satu ketika nanti telah menutup seketika mulut para pengkritik tegar ketua pasukan Kelantan ini.

Badri Radzi hadir hebat bersama Norshahrul Idlan untuk mengumpul sejumlah 18 jaringan buat Sang Kijang seterusnya membuka mata para peminat setia bahawa pemain ini sudah kembali dari prestasi hambar.

Namun, keupayaan pemain berusia 29 tahun ini bakal teruji sekali lagi pada hari Jumaat nanti menentang barisan sama Singa Utara dalam pusingan kedua Liga Super.

Dia perlu tampil cemerlang dan menepis segala tohmahan dari penyokong seterusnya membuktikan bahawa kehadiran dalam kesebelasan utama Kelantan mampu membantu pasukan mencatatkan kejayaan lebih gemilang.

Para penyokong turut berharap permainan yang ditunjukkan di Kangar bukan yang terakhir dari ketua pasukan Kelantan ini.

Prestasi konsisten disamping sentiasa meningkatkan tahap permainan bakal menarik kembali peminat untuk memberi sokongan kepadanya dalam karier bola sepak bersama pasukan Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular