KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 14 Mei 2010

Preview- Kelantan vs Terengganu emel



Kesebelasan utama Kelantan sedia gempur kubu pasukan Terengganu apabila mereka turun beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Masih lagi kebal di stadium keramat, skuad bimbingan B. Sathianathan tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan dihadapan ribuan wira merah.

Mempertaruhkan bintang yang berpengalaman dalam perlawanan besar, Kelantan diharapkan tampil menyengat dan tidak memberi laluan mudah kepada pasukan lawan untuk mencari tiga mata.

Pemain Kijang juga perlu sentiasa fokus selain bersiap siaga menghadapi ancaman kerana diperhatikan dalam perlawanan sebelum ini, pemain mudah hilang tumpuan setelah mendahului pasukan lawan.

Berbalik kepada kesebelasan jangkaan, walau Syed Adney diturunkan dalam dua perlawanan awal sebelum ini, posisi no-1 tersebut mungkin akan kembali kepada Khairul Fahmi Che Mat yang tidak diturunkan setelah menghidap demam di Kuantan dan Johor Bharu. Malah, khabar dari kem Malaysia mengatakan pemain ini dipanggil membarisi skuad Kebangsaan bakal memberikan semangat tambahan kepada Khairul Fahmi menampilkan aksi memberangsangkan.

Barisan pertahanan yang rapuh setelah melepaskan empat gol dalam dua perlawanan pasti menghadapi sedikit pertukaran setelah dikhabarkan S. Subramaniam akan kembali mengisi posisi pertahanan tengah bersama Azizi Mat Rose dibantu Daudsu dan Farisham Ismail yang masuk mengantikan Zairul Fitree yangt tidak sempat sembuh akibat kecederaan.

Mereka menghadapi cabaran hebat untuk membantu Khairul Fahmi dari dibolosi dua penyerang kembar berbisa Terengganu, Ashaari Shamsudin dan Abdul Manaf Mamat. Dua pemain ini menampilkan aksi hebat selain membantu pasukan jiran tersebut menewaskan beberapa lawan dengan jaringan gol mereka.

Tidak mudah pertahanan Kelantan untuk menyekat dua pemain ini namun segalanya tidak mustahil jika pemain yang diturunkan menampilkan aksi seperti yang biasa mereka tunjukkan sejak dari permulaan saingan liga.

Ketajaman pemain tengah turut menjadi faktor penentu kemenangan Kelantan di Kota Bharu malam esok. Lima gol dari lima perlawanan terakhir Mohd Badri Radzi dengan Indra dan Norfarhan sudah menjumpai sentuhan gol disamping kehadiran perancang kreatif, Mohd Shakir Shaari, barisan tengah Kelantan dijangka mampu menggegar jaring lawan disamping membantu pemain penyerang membolosi gawang kawalan Mohd Sharbinee Alawee.

Selain itu, kejayaan Hairudin menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan seterusnya melakukan beberapa jaringan gol melegakan pihak pengurusan. Justeru itu, Hairudin sekali lagi dipertaruhkan Kelantan untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha yang sudah meledak 10 gol untuk pasukan Red Warriors.

Mereka berdua diberi harapan tinggi membolosi gawang lawan setelah Kelantan kehilangan Akmal Rizal akibat kecederaan paha manakala pemain muda lain seperti Nidzad Ayub, Ailim Fahmi serta penyerang veteran, Che Hishamudin masih belum bersedia membarisi kesebelasan utama.

Satu kelebihan buat Kelantan, pertahanan kebal pasukan lawan, Marzuki Yusof dilaporkan tidak dapat diturunkan akibat digantung perlawanan. Kehilangan pemain ini perlu digunakan pemain tengah dan penyerang untuk memecahkan kubu lawan.

Namun, tugas getir turut dihadapi semua pemain Kijang kerana beberapa pemain berpengalaman dalam skuad Penyu mampu membuatkan Kelantan menggigit jari di arena sendiri.

Dengan keupayaan Ronny Harun, Joseph Kalang, Zairol Anuar, Tengku Hazman, Tengku Hasbullah dan Wan Mohd Aliff, Kelantan pasti berdepan laluan sukar untuk mengecewakan lawan.

Pertembungan ini sememangnya menarik kerana Sathianathan perlu bertungkus lumus menyekat taktikal jurulatih Terengganu berasal dari Kelantan, Irfan Bakti. Oleh itu, Sathianathan perlu memikirkan cara bagaimana untuk menyekat jurulatih ini dan pemain Terengganu dari berleluasa diatas padang.

Misi besar untuk menjarakkan kedudukan, Sathia berharap anak didiknya dapat menundukkan lawan manakala Irfan hadir ke Kota Bharu dengan tujuan tiga mata kerana tidak mahu ketinggalan jauh kepada Kelantan dan Selangor dalam perebutan kejuaraan liga super.

Dengan pengalaman yang ada pada kedua-dua pengendali, tidak mustahil perlawanan Kelantan dan Terengganu menunjukkan tahap permainan taraf tinggi dan laju serta mendebarkan setiap peminat kedua-dua pasukan yang mengikutinya di Stadium ataupun di kaca televisyen.

Diharapkan, kedua-dua pasukan tampil memberikan persembahan bertenaga selain bertindak profesional bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak sepatutnya.

Para penyokong yang hadir turut dinasihatkan tidak melakukan tindakan kurang bijak kerana tindakan yang melampau akan menganggu konsentrasi para pemain kedua-dua pasukan diatas padang.

Berikan sokongan padu dan jangan terlalu memprovokasi pihak lawan dan penyokong Kelantan sendiri kerana tidak semua penyokong yang hadir ke stadium datang untuk melihat aksi tidak bertamadun anda.

Go More Kelate Go More. Go More! With You.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular