KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 27 Mei 2010

Kelantan perlu fokus perlawanan

KOTA BHARU - Skuad The Red Warriors perlu fokus dalam setiap perlawanan bukannya terlalu memikirkan bagaimana mahu memintas pasukan Selangor yang kini jauh meninggalkan mereka dengan lapan mata di persada Liga Super.

Ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkata, mentaliti seperti ini menjadi punca kepada prestasi merudum pasukan Kelantan ketika berhadapan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, semalam.

Justeru, beliau meminta agar semua pemain melupakan pasal Selangor dan menumpukan untuk mendapat tiga mata dalam setiap baki perlawanan musim ini.

"Sikap sebegini perlu dikikis jika kita mahu menjulang Liga Super untuk musim ini. Saya dah beritahu pemain jangan terlalu fikirkan pasal Selangor.

"Lebih baik kita fokus pada setiap perlawanan yang dihadapi. Ini penting agar setiap perlawanan yang diharungi dapat memberikan tiga mata buat pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada perlawanan semalam, Kelantan gagal meneruskan rentak cemerlang tiga kemenangan berturut-turut yang dicatatkan sebelum ini apabila seri tanpa jaringan menentang pasukan Kenari.

Walaupun hanya kemenangan yang mampu mencerahkan peluang menjadi juara, skuad bimbingan Sathianathan gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang di depan gol.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu tetap optimis pasukannya masih berpeluang untuk mencapai cita-cita menjadi juara pada penghujung musim ini.

Katanya, dalam situasi ini setiap peluang perlu disambar sambil mengelakkan daripada melakukan kesilapan seperti perlawanan semalam.

"Peluang masih terbuka. Sempat lagi untuk kita mengejar Selangor dengan syarat kita mesti gunakan setiap peluang yang ada.

"Kita masih ada lagi lapan perlawanan, jadi sesiapa pun tidak boleh kata mereka berada pada zon selesa. Harus diingat bola itu bulat," ujarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular