KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 2 November 2010

Piala Malaysia mula jelajah Kelantan

GUA MUSANG - Buat pertama kalinya sejak 89 tahun, Piala Malaysia dijulang di bumi Cik Siti Wan Kembang apabila piala kemegahan itu tiba bersama skuad Red Warriors di bandar Gua Musang, destinasi pertama sebelum singgah di pekan Kok Lanas dan kemuncaknya di perkarangan Kelantan Trade Center (KTC) Kota Bharu, semalam.

Walaupun bas yang yang dinaiki sebahagian pemain mengalami kerosakan di pertengahan jalan, namun semangat pemain serta pihak pengurusan untuk berkongsi kegembiraan bersama peminat setia yang memenuhi setiap sudut Dataran Kesedar tidak luntur.

Berucap di majlis bersejarah itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan yang dikecap adalah kegigihan semua pihak, termasuk penyokong yang memberikan komitmen kepada skuad berkenaan.

“Terima kasih kepada jurulatih, B Satianathan, kita tidak pernah ikat kontrak dengannya, hanya berjabat tangan, beliau pernah bertemu dengan saya untuk meletak jawatan kerana desakan penyokong.

"Saya kata kepadanya, sekali kita genggam bara api, kita jangan berhenti, semangat rakyat Kelantan mesti diteruskan,” katanya, lalu disambut sorakan 5,000 penyokong.

Menjelaskan saat sukar pengurus pasukan itu, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya beberapa kali menghadapi masalah kewangan, namun sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak banyak membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Kutipan stadium hanya 30 peratus daripada perbelanjaan kita. Saya nak menyatakan, setiap kali Kafa terhimpit, Datuk Seri Najib sendiri yang membantu, sebab itu hanya ada satu pasukan yang meletakkan logo ‘1Malaysia’ di jersinya,” katanya.

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Tahun Bola Sepak Kelantan, Datuk Ramzi Abd Rahman.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan itu dan perkara itu diakui oleh pemimpin pasukan lain yang mengiktiraf penyokong Kelantan yang mempunyai semangat luar biasa berbeza daripada negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kegigihan dan pengorbanan Annuar harus diberi penghargaan kerana kejayaan dan pengorbanannya meletakkan pasukan Red Warriors paling digeruni pasukan lawan ketika ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular